Author: Bernama

  • Haji: Pujian Arab Saudi, penghargaan sangat besar buat Malaysia

    Haji: Pujian Arab Saudi, penghargaan sangat besar buat Malaysia

    Daripada ZALINA MAIZAN NGAH

    PUJIAN Arab Saudi tentang kecekapan Malaysia dalam mengendalikan operasi haji adalah sesuatu yang amat bermakna, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    Menurutnya, rekod kecemerlangan agensi itu tidak hadir begitu sahaja tetapi ia adalah usaha berterusan dengan kerjasama erat antara petugas serta jemaah haji Malaysia.

    “Sangat membanggakan apabila Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Taufiq Fawzan Al-Rabiah mengungkapkannya di hadapan barisan pemimpin Islam dari pelbagai negara Islam dan menasihatkan mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh terbaik.

    “Ia kebanggaan kepada kita. Panel-panel lain juga ada menyebut tentang pengurusan Malaysia dan TH. Apa (kelebihan) yang diberi kepada Malaysia oleh Arab Saudi bukan berlaku begitu sahaja tetapi mestilah berdasarkan merit dan rekod baik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Simposium Perdana Haji di Makkah, Isnin.

    Pada musim haji tahun ini, Malaysia diiktiraf sebagai negara pertama yang memperoleh permit pengoperasian hospital di Arab Saudi, menjadi negara pertama yang memilih waktu melontar serta terpilih antara lima negara dalam program Makkah Route.

    Sementara itu, Idris yang berucap dalam bahasa Arab sempat berkongsi tentang peranan yang dimainkan TH sejak 59 tahun lepas dan model pengurusan agensi itu.

    Beliau juga menyentuh berkaitan kesiapsiagaan TH dalam memastikan kesihatan jemaah berada pada tahap terbaik, pematuhan terhadap arahan kerajaan Arab Saudi serta usaha TH dalam membangunkan aplikasi digital untuk kegunaan jemaah di Tanah Suci. – BERNAMA

  • JAKIM diarah selaras bantuan Musa’adah bantu mangsa banjir Baling

    JAKIM diarah selaras bantuan Musa’adah bantu mangsa banjir Baling

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah menyelaras segera bantuan Musa’adah bersama-sama pihak berkuasa di Kedah bagi membantu penduduk yang terkesan dan terjejas akibat banjir di Baling, semalam.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, selain JAKIM, agensi-agensi hal ehwal Islam di bawah jabatannya juga telah diminta untuk turut bersama turun ke lapangan bagi menghulurkan bantuan.

    “Saya mengikuti laporan media yang melaporkan kejadian banjir lumpur melanda beberapa kawasan di daerah Baling, Kedah. Dari lubuk hati yang dalam, saya berasa amat dukacita dan bersimpati dengan para penduduk yang terlibat,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya.

    Beliau turut mendoakan semua pihak yang terlibat dikurniakan kesabaran serta ketabahan menghadapi ujian itu, selain menyeru seluruh masyarakat termasuk jemaah haji di Makkah bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara.

    Setakat pukul 2 pagi tadi 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di Baling dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan 85 rumah dilaporkan terjejas ekoran bencana banjir kilat kira-kira pukul 4 petang semalam.

    Sementara itu Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Jabatan Pendidikan Kedah serta Pejabat Pendidikan Baling telah diminta bersiap sedia dan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membuka sekolah untuk dijadikan PPS banjir.

    “Saya akan terus mengikuti perkembangan situasi ini dan memastikan kebajikan warga pendidikan yang terkesan diberikan perhatian. Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan usaha membantu serta menyelamatkan penduduk terlibat dipermudahkan,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

    Beliau berkata, setakat ini kira-kira sembilan sekolah di bawah KPM di kawasan itu dilaporkan terkesan akibat banjir. – BERNAMA

  • Warga emas berpaut pada pokok elak dihanyut arus deras

    Warga emas berpaut pada pokok elak dihanyut arus deras

    SEORANG wanita warga emas yang dihanyutkan air dalam kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di Baling petang semalam, sempat berpaut pada sebatang pokok pinang sebelum diselamatkan.

    Mangsa, Hasnah Ismail, 58, berkata, sebaik melihat air naik dengan cepat dan masuk ke dalam rumah, dia dan suami memanjat sebatang pokok rambutan berhampiran rumah mereka.

    “Bila nampak pokok rambutan macam nak tumbang, mak cik dan pak cik cuba berpaut pada kayu balak hanyut, tapi tangan pak cik terlepas dan dihanyutkan arus banjir.

    “Mujurlah dia sempat mencapai ranting buluh, mak cik pula hanyut bersama kayu balak sebelum berpaut pada pokok pinang…lebih kurang sejam juga kami kesejukan di dalam air menunggu sehingga pasukan penyelamat datang menyelamatkan kami kira-kira pukul 8 malam tadi,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai dekat sini malam tadi.

    Menurutnya, dia cuba menjerit meminta pertolongan, namun tiada siapa yang mendengar dan hanya mampu menunggu diselamatkan, malah suaminya, Che Nai Isa, 59, juga hanya berpaut pada ranting buluh.

    “Mak cik hanya ingat mati masa itu, tak nampak siapa yang boleh tolong…namun rasa bersyukur bila nampak bot penyelamat datang dan selamatkan kami berdua.

    “Sambil menahan sejuk di dalam air banjir, belakang mak cik beberapa kali berlanggar dengan kayu balak hanyut, mujur kami berdua tak cedera,” katanya.

    Hasnah berkata, dia yang sudah tinggal di Kampung Padang Empal sejak kecil, sering menyaksikan kejadian banjir di situ namun banjir yang berlaku kali ini adalah yang terburuk.

    “Selalu kalau air naik, sampai buku lali atau betis, ini kali pertama naik sampai ke bumbung rumah, tak tau apa nasib 30 ekor kambing di dalam kandang, barang dalam rumah semua tak sempat diselamatkan termasuklah dua motosikal.

    “Duit tunai kira-kira RM2,000 hasil jualan kambing baru-baru ini pun dihanyutkan air banjir,” katanya.

    Tambahnya, mujurlah anaknya, Nor Alia, 20, seorang kurang upaya sejak lahir telah diselamatkan oleh seorang saudara lelakinya lebih awal.

    “Dia gendong anak saya walaupun masa itu air sudah naik ke paras leher…alhamdulillah dua-dua selamat,” katanya.

    Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Siti Mariam Abdul Isa, 70, berkata, suaminya yang lumpuh separuh badan sejak sembilan tahun lepas sudah terendam dalam air banjir sewaktu dia bersama anak dan cucu lelakinya sedang sibuk memindahkan barang ke tempat lebih tinggi.

    “Kami terlupa yang pak cik tidur di atas tilam di lantai…bila sedar sahaja terus kami bertiga angkat dan bawa dia ke tingkat atas rumah, dia menggigil juga sebab sejuk terendam dalam air banjir.

    “Sebelum air naik, mak cik suapkan nasi untuk pak cik, tak sangka air naik cepat sangat, anak dan cucu masa tu sedang angkat motosikal yang baru dibeli sebulan lepas ke tingkat atas rumah. Tapi dengan motosikal itu sekali tenggelam dalam banjir,” katanya.

    Seorang lagi mangsa, Siti Hajar Said, 32, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan sebarang harta bendanya, termasuk kucing dan arnab kesayangan anak-anaknya juga gagal dijumpai dalam kejadian itu.

    “Hujan turun pada jam 4 petang, dalam jam 5 petang air mula naik, tak sampai setengah jam air sudah naik sampai bumbung rumah.

    “Kesemua enam buah rumah yang terletak dekat dengan sungai, semuanya tenggelam. Kali terakhir banjir di sini, sebelum raya puasa lepas, tapi tidak seteruk banjir kali ini,” katanya. – Bernama

  • Syed Saddiq arah wang tunai RM1 juta dikeluarkan daripada akaun Armada – Saksi

    Syed Saddiq arah wang tunai RM1 juta dikeluarkan daripada akaun Armada – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengarahkan wang tunai berjumlah RM1 juta dikeluarkan daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) kerana bimbang berlaku pertukaran pucuk pimpinan sayap parti itu.

    Bekas Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, 32, berkata beliau pernah dimaklumkan oleh Syed Saddiq bahawa duit dalam akaun Armada Pusat (CIMB) merupakan hasil titik peluhnya mencari sumbangan dan beliau berhak untuk menggunakan duit itu sepenuhnya.

    Menurut Pegawai Khas kepada Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin itu, satu perjumpaan diadakan di rumah Syed Saddiq yang terletak di Petaling Jaya, Selangor pada awal Mac 2020.

    “Perjumpaan itu dihadiri oleh saya dan Rafiq Hakim Razali (Penolong Bendahari Armada) dan dalam perjumpaan itu, YB Syed Saddiq dan kami ada berbincang mengenai pertukaran kerajaan dan kedudukan Armada dalam kerajaan kerana YB Syed Saddiq berada dalam blok pembangkang bersama-sama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. YB Syed Saddiq telah mengarahkan Rafiq Hakim dan saya supaya mengeluarkan wang daripada akaun Armada Parti Bersatu secara tunai berjumlah RM1 juta,” katanya.

    Ahmad Redzuan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

    Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata Syed Saddiq mengatakan wang itu perlu dikeluarkan daripada akaun untuk kegunaan bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai Ketua Armada Bersatu sekiranya berlaku pergolakan dalam Armada melalui program-program melibatkan sayap parti itu.

    Menurut saksi, Syed Saddiq hanya memanggil beliau dan Rafiq Hakim kerana mereka pemegang amanah dan penandatangan cek CIMB Bank Armada Pusat dan perbincangan itu hanya diketahui oleh mereka bertiga sahaja.

    “Saya dan Rafiq Hakim mengeluarkan wang tunai berjumlah RM1 juta daripada akaun rasmi Armada pada 6 Mac 2020 atas arahan YB Syed Saddiq. Semasa YB Syed Saddiq mengarahkan saya dan Rafiq Hakim mengeluarkan wang itu, beliau tidak ada memberitahu saya dan Rafiq Hakim bahawa pengeluaran wang tunai RM1 juta ini telah mendapat kebenaran atau tidak daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu,” katanya yang turut memaklumkan Syed Saddiq ada memberitahu wang itu dikeluarkan untuk kegunaan parti.

    Saksi itu berkata semasa di dalam bank, Rafiq Hakim ada bertanya kepadanya, “tahu tak duit ni nak simpan kat mana?” dan beliau jawab “aku cadangkan duit ni kita simpan kat rumah Mohd Daniel kerana kat rumah dia ada peti besi”.

    Menurut Ahmad Redzuan, Rafiq Hakim bersetuju dengan cadangannya dan setelah wang itu dikeluarkan, Rafiq Hakim membawa wang yang diisi dalam sebuah beg ke rumahnya sebelum diberikan kepada Mohd Daniel.

    Ahmad Redzuan berkata beliau mengetahui arahan daripada Syed Saddiq adalah satu kesalahan selepas dipanggil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Jun 2020 kerana melanggar Fasal 24 Perlembagaan Bersatu.

    Ahmad Redzuan berkata menurut Fasal 24 itu, Bendahari Agung hanya dibenarkan menyimpan wang tunai runcit tidak melebihi RM50,000 pada satu-satu masa dan wang itu mestilah disimpan di tempat yang selamat di dalam Pejabat Berdaftar untuk kegunaan perbelanjaan runcit parti.

    Katanya, perbelanjaan yang melebihi RM500,000 pada satu-satu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran diperoleh terlebih dahulu daripada Majlis Pimpinan Tertinggi.

    “Saya sahkan YB Syed Saddiq sendiri tidak boleh mengeluarkan wang tunai daripada akaun CIMB Bank atas nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada Pusat) tanpa mengarahkan saya dan Rafiq Hakim mengeluarkannya.

    “Berhubung dengan isu RM1 juta itu, walaupun kelulusan dikeluarkan oleh YB Syed Saddiq kepada saya dan Rafiq Hakim untuk mengeluarkan wang bagi mengukuhkan kedudukannya, ianya melanggar etika tatacara pengeluaran wang daripada akaun Armada,” katanya dan menambah walaupun mengetahui terdapat perlanggaran tatacara pengeluaran wang, beliau terpaksa akur dengan arahan Syed Saddiq memandangkan kapasiti beliau sebagai Ketua Armada dan juga Ahli Parlimen Muar.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000  daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

    — BERNAMA

  • Peniaga nasi lemak didakwa tipu pelaburan emas  

    Peniaga nasi lemak didakwa tipu pelaburan emas  

    SEORANG peniaga nasi lemak dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas 25 pertuduhan penipuan berkaitan pelaburan emas melibatkan kerugian RM161,073, antara September hingga Januari lepas. 

    Wan Noraini Wan Abdullah, 43, yang beralamat di Jalan Gambang, Kuantan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

    Tertuduh didakwa atas 13 pertuduhan memperdayakan dua wanita berkaitan pelaburan itu di Syarikat Empire Gold Ventures di Sungai Isap Maju 1 di sini antara 6 Nov 2021 hingga 10 Jan lepas. 

    Wan Noraini didakwa melakukan kesalahan dengan menawarkan pakej pulangan nilai emas sehingga mendorong mangsa membuat bayaran RM900, RM11,500 dan RM12,100, namun dia dikatakan hanya menyerahkan nilai emas pada kadar lebih rendah iaitu sekitar RM4,658 ke RM4,865. 

    Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, namun tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan atas alasan dia hanya memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan. 

    “Suami juga bekerja sendiri dan kami mempunyai tujuh anak. Saya mohon mahkamah memberikan jumlah jaminan yang rendah,” katanya. 

    Nurul Farahah membenarkan jaminan sebanyak RM48,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 8 Ogos sebagai sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam. 

    Sementara itu, di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari, tertuduh mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan serupa melibatkan tiga mangsa yang didakwa dilakukan antara 28 Sept 2021 hingga 10 Jan lepas di tempat sama. 

    Ainis membenarkan jaminan sebanyak RM24,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 21 Julai sebagai sebutan semula. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aini Adilah Muhammad Faizal. – Bernama

  • Lelaki berbogel disyaki sembelih isteri, bayi 3 bulan ditahan

    Lelaki berbogel disyaki sembelih isteri, bayi 3 bulan ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki dalam keadaan berbogel yang disyaki membunuh isteri dan bayinya yang baru berumur tiga bulan di kawasan Permas Jaya, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada pukul 2.45 petang, dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu.

    Dalam satu kenyataan beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan sekitar pukul 12.42 tengah hari, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dengan menelefon 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat ASP R. Kathiresh dengan menelefon 013-4472909 bagi membantu siasatan.

    Terdahulu tular di media sosial rakaman video yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan berbogel di atas jalan raya.

    Sementara itu bapa mentua lelaki itu yang berumur 58 tahun ketika ditemui di tempat kejadian berkata, beliau hanya tahu mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi selepas dihubungi ahli keluarganya, sebelum terus bergegas ke rumah anak ketiganya itu.

    Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, beliau melihat anak perempuannya yang berumur 26 tahun terbaring berlumuran darah di pintu hadapan rumah, manakala cucunya dikendong seorang jururawat.

    “Saya nampak ada kesan seperti kelaran di leher mereka, kemudian polis tiba beberapa minit kemudian,” katanya dan menambah sebelum kejadian, beliau difahamkan jiran berdekatan mendengar anak dan menantunya bertengkar.

    Beliau berkata, anaknya telah berkahwin tahun lepas dan majlis persandingan dijadualkan berlangsung pada 24 Julai ini.

    “Anak saya kerja separuh masa pembuat kuih-muih, boleh dikatakan setiap hari saya jumpa dan kali terakhir adalah semalam, gelagat dia juga seperti biasa ceria sahaja. Sepanjang dia berkahwin ini tidak ada pula dia kongsi ada masalah (rumah tangga) atau tidak,” katanya. – BERNAMA

  • Kes Zakir Naik saman Kulasegaran selesai secara baik

    Kes Zakir Naik saman Kulasegaran selesai secara baik

    KES saman fitnah yang difailkan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik terhadap Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran selesai secara baik tanpa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Zakir berkata, terma-terma dalam perintah persetujuan telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak, namun ia tidak boleh didedahkan.

    “Pada prosiding hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin telah merekodkan perintah persetujuan itu. Kes saman itu berjaya diselesaikan secara baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Peguam K. Shanmuga yang mewakili Kulasegaran mengesahkan perkara itu.

    Sebelum ini, kes itu telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 26 dan 27 Jun tahun ini.

    Pada 27 Nov 2019, Dr Zakir memfailkan saman itu terhadap Kulasegaran berhubung kenyataan ahli politik tersebut yang didakwa telah mengundang kecaman awam terhadapnya dan menggambarkan beliau sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

    Dalam pernyataan tuntutannya, selain pampasan dan ganti rugi daripada Kulasegaran, Dr Zakir turut memohon perintah injunksi daripada mahkamah bagi melarang defendan menerbit serta menyebarkan empat artikel yang didakwa berbaur fitnah.

    Zakir turut menuntut permohonan maaf dikeluarkan oleh defendan serta disiarkan di akhbar dan portal berita secara dalam talian dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis diserahkan. – BERNAMA

  • Bekas Exco Armada tidak bohong dalam kes Syed Saddiq

    Bekas Exco Armada tidak bohong dalam kes Syed Saddiq

    BEKAS Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak berbohong semasa memberi keterangan dalam kes dihadapi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebaliknya berasa takut akan dituduh di mahkamah untuk kes lain.

    Abdul Hannaan Khairy, 29, berkata, keterangannya bahawa Ahli Parlimen Muar itu memintanya supaya undur tarikh sebut harga dan resit berjumlah RM250,000 berhubung cenderahati Armada, adalah benar namun tidak mengingati tarikh itu.

    “Saya tidak berbohong tetapi saya takut dituduh di mahkamah,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

    Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata beliau tidak akan meminta Muhammad Naqib Ab Rahim, yang ketika itu ahli Bersatu untuk undur tarikh pada kedua-dua dokumen berkenaan sekiranya Syed Saddiq tidak memintanya berbuat demikian.

    Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, saksi itu mengakui beliau berasa takut ketika memberi keterangan di mahkamah hari ini.

    Gobind: Kenapa kamu takut?, ada pihak SPRM tanya kamu berkenaan kes lain?

    Abdul Hannaan: Ya.

    Gobind: Kamu takut dituduh untuk kes-kes lain?, dan saksi menjawab, Ya.

    Gobind: Kamu rela memberi keterangan (di mahkamah) sebagai balasan kamu tidak dituduh atas kes lain?.

    Abdul Hannaan: Yang Arif, saya ingin pergi ke tandas.

    Selepas mendengar permintaan saksi itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memohon supaya beliau menjawab soalan peguam terlebih dahulu dan Abdul Hannaan kemudian menjawab, Ya.

    Sementara itu, Abdul Hannaan yang juga Ketua Editor Serius Kool Media Sdn Bhd berkata beliau telah ditangkap oleh SPRM pada 4 Jun 2020 selepas menerima panggilan telefon daripada Muhammad Saufi Yusof supaya menjemputnya pulang dari Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

    “Saya bertolak dari Southville City dalam pukul 11 malam untuk menjemputnya (Muhammad Saufi) dan sampai di sana (SPRM Putrajaya) kira-kira 12 tengah malam. Ketika sampai di lobi SPRM, saya tidak dapat menghubunginya dan tunggu Saufi keluar. Ketika saya menunggu beliau di dalam kereta, secara tiba-tiba ada dua atau tiga orang SPRM berlari ke arah saya dan meminta saya keluar dari kereta,” katanya.

    Disoal Gobind mengapa pihak SPRM menangkapnya, saksi menjawab: “Berhubung kehilangan wang RM250,000”.

    Menurut Abdul Hannaan, beliau turut disoal siasat berhubung kereta berjenama Volkswagen Passat yang dibelinya pada awal 2020 dan risau tindakan akan diambil oleh SPRM berhubung pembelian kereta tersebut.

    Jelas saksi, kereta itu dipulangkan semula kepadanya selepas setahun disita oleh pihak SPRM.

    Dalam pada itu, saksi berkenaan berkata, beliau juga kecewa dengan layanan yang diberikan oleh pegawai SPRM semasa menyoal siasat isterinya termasuk mengherdik wanita itu dengan kata-kata kesat dan satu laporan polis telah dibuat sebagai perlindungan diri daripada diancam oleh pihak luar.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Azhar bersambung esok. – BERNAMA

  • Shafee tak sihat, pemeriksaan balas Arul Kanda tangguh

    Shafee tak sihat, pemeriksaan balas Arul Kanda tangguh

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menunda pemeriksaan balas ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB kerana peguam bela utama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sihat.

    Seorang lagi peguam bela Najib, Rahmat Hazlan ketika dihubungi memberitahu prosiding hari ini dikosongkan kerana Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghidap “Laryngitis” yang menyebabkan beliau kehilangan suara.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam mengesahkan perkara itu dan berkata perbicaraan akan bersambung semula pada 12 Ogos ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

    Arul Kanda, 45, yang didakwa bersama Najib meminda laporan audit 1MDB sepatutnya melalui pemeriksaan balas hari ini.

    Pada 24 Jun, Mohamed Zaini membenarkan permohonan piohak pendakwaan memanggil Arul Kanda sebagai saksi perbicaraan di bawah Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sementara Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan sebarang tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Gempur penyeleweng subsidi minyak masak – Ismail Sabri

    Gempur penyeleweng subsidi minyak masak – Ismail Sabri

    KERAJAAN mengerahkan pihak penguat kuasa untuk menggempur daripada peringkat kilang pembungkusan hingga ke sempadan negara bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan minyak masak paket bersubsidi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Katanya, operasi akan dilaksana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu bertujuan memastikan peruntukan subsidi minyak masak RM4 bilion tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.

    “Tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi.

    “Kerajaan akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

    Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL).

    Mesyuarat itu turut dihadiri beberapa Menteri Kabinet serta wakil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM); Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER); Institut Penyelidikan Khazanah (KRI); Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM); Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS); Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).

    Ismail Sabri berkata perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak paket bersubsidi di dalam negara berjumlah 60,000 tan metrik sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara.

    Pada 22 Jun lepas, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan mengekalkan subsidi minyak yang telah bermula sejak Jun 2007 bagi minyak masak paket berharga RM2.50 satu kilogram untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40, berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM9.00.

    Katanya mesyuarat yang menyaksikan lima kertas kerja dibentangkan juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri bagi mengatasi masalah itu yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia.

    Selain itu, katanya kerajaan akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga lebih murah yang bakal melibatkan kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan serta diperluas ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

    Ismail Sabri berkata program yang akan diterajui bersama KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan turut dilaksanakan dalam konsep bergerak.

    “Kerajaan akan turut memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran-restoran koperasi dan kafeteria serta premis jualan makanan di IPT sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.

    “Kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia dan berusaha untuk memastikan cabaran kos sara hidup dapat dihadapi dengan sebaik mungkin,” katanya. – BERNAMA