Author: Bernama

  • Jemaah haji Malaysia tinggalkan khemah lebih bersih dari asal

    Jemaah haji Malaysia tinggalkan khemah lebih bersih dari asal

    KEADAAN sesak dan sempit tidak menjadi halangan jemaah haji Malaysia untuk terus menjaga kebersihan dan berdisiplin dalam tempoh operasi Masyair.

    Sebaliknya ia memberi semangat untuk mereka memastikan penginapan di Arafah, Muzdalifah dan Mina selesa untuk diduduki dalam tempoh persiapan operasi Masyair.

    Tinjauan Bernama mendapati sesetengah khemah jemaah haji Malaysia di Arafah ditinggalkan dalam keadaan lebih bersih berbanding sebelum ketibaan mereka, malah ada yang bergotong-royong menyusun tilam, selimut serta bantal dengan lebih kemas dan teratur sebelum berangkat ke Muzdalifah.

    Ketika bermabit (bermalam) di Muzdalifah pula, rata-rata jemaah membawa plastik sampah masing-masing dan memastikan tiada sisa sampah sebelum bergerak ke Mina dengan menaiki bas.

    Dicelah laluan khemah-khemah di Mina yang sempit juga menunjukkan tiada pembuangan sampah-sarap merata-rata dan TH menyediakan tong sampah di pelbagai lokasi.

    Kebanyakan khemah jemaah membuat peraturan tersendiri dalam mematuhi penjagaan kebersihan hingga ada yang menyusun selipar dengan teratur di dalam serta di luar khemah.

    Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata beliau terharu dengan sikap yang ditunjukkan jemaah haji malah Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sentiasa memuji dan menganggap jemaah Malaysia adalah contoh terbaik.

    Katanya, disiplin tinggi jemaah Malaysia telah diketengahkan dalam Program Kebersihan Masyair dan ternyata sikap itu berjaya membentuk keperibadian terpuji seperti mana misi program tersebut iaitu Kebersihan Mencerminkan Kemabruran Haji.

    “Ketika jemaah haji berada di Arafah, sebelum mereka berangkat ke Muzdalifah mereka telah membersihkan perkhemahan dengan bersih dan kita dapat lihat usaha yang telah dilaksanakan.

    “Begitu juga ketika di Muzdalifah, jemaah haji telah memberi kerjasama terhadap program ini. Di Mina mereka akan tinggal lebih lama iaitu antara tiga ke empat hari, tempoh agak lama untuk mereka bersihkan di bilik air, kawasan dalam khemah dan lorong-lorong khemah”, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tersebut.

    Di Arafah sebanyak 200 khemah disediakan untuk jemaah Malaysia dan di Muzdalifah, jemaah haji perlu bermabit beralaskan tikar di kawasan lapang.

    Keadaan di Mina agak mencabar kerana bukan sahaja membabitkan 600 khemah untuk jemaah Malaysia tetapi juga berada dalam kawasan yang sangat hampir dengan khemah umat Islam negara lain. – Bernama

  • Hukuman penjara agensi tipu jemaah haji – MATA

    Hukuman penjara agensi tipu jemaah haji – MATA

    PERSATUAN Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mencadangkan pihak berkuasa menjadikan kes penipuan jemaah haji oleh agensi pelancongan sebagai satu jenayah berat dengan hukuman penjara supaya perkara itu dapat dibanteras.

    Presiden MATA, Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, bagi mengelakkan ditipu, bakal jemaah haji yang berurusan dengan agensi pelancongan boleh menghubungi pihak MATA sekiranya mempunyai keraguan.

    Beliau berkata, bakal jemaah mesti mempunyai visa haji bagi menunaikan ibadah itu.

    “Tentukan ada visa haji. Mohon penjelasan bukti sebelum memberi sebarang dokumen seperti pasport dan jangan bayar sebelum ada jaminan penerbangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mohd Khalid turut mengingatkan agensi pelancongan supaya tidak memperdagangkan visa haji yang dianugerahkan kepada mereka sesuka hati dan mengenakan caj perkhidmatan yang berpatutan.

    “Pastikan agensi pelancongan sudah menerima tawaran (visa haji) yang diamanahkan baru mengundang jemaah haji,” katanya.

    Pada 7 Julai Bernama melaporkan 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

    Mereka dipercayai menggunakan visa furada iaitu visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH).

    TH sebelum ini memberi peringatan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). – BERNAMA

  • Tujuh juta rakyat Malaysia masih belum ambil dos penggalak COVID-19 – PM

    Tujuh juta rakyat Malaysia masih belum ambil dos penggalak COVID-19 – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai tujuh juta rakyat Malaysia masih belum mengambil dos penggalak COVID-19 setakat ini dan menasihati mereka segera berbuat demikian.

    Beliau berkata walaupun suntikan itu tidak diwajibkan, namun ia amat penting memandangkan kes positif COVID-19 kembali menunjukkan peningkatan selain turut membantu berdepan varian baharu wabak itu terutamanya Omicron BA.5 yang lebih mudah menjangkiti.

    “Walaupun tiada paksaan (untuk mengambil dos penggalak), tetapi saya menasihatkan mereka yang belum menerima suntikan itu untuk mengambil booster bagi melindungi diri sendiri daripada jangkitan dan jika mempunyai simptom, segera berjumpa doktor untuk kepastian,” katanya.

    Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Parlimen Bera 2022 di Masjid Darul Fikri di Bera hari ini.

    Ditanya jika terdapat perancangan untuk kembali membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam skala besar mengambil kira jumlah mereka yang belum menerima dos penggalak, Ismail Sabri berkata perkara itu akan ditentukan Kementerian Kesihatan sama ada terdapat keperluan berbuat demikian.

    Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menutup semula sektor ekonomi atau sebagainya walaupun kes positif COVID-19 kini kembali meningkat.

    “Kehidupan akan berjalan seperti biasa cuma kita perlu mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri dan keluarga termasuk mengambil suntikan dos penggalak,” katanya.

    Ismail Sabri berkata rakyat juga dinasihatkan supaya mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak dijangkiti COVID-19 walaupun pelbagai kelonggaran telah diberikan sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lepas.

    “… Ini termasuk walaupun tidak lagi wajib memakai pelitup muka di kawasan terbuka, namun kita boleh mengambil inisiatif sendiri untuk melindungi diri jika berada di kawasan yang ramai orang,” katanya.

    Mengenai program hari ini, Ismail Sabri berkata menjadi tradisi tahunan di Parlimen Bera untuk mengadakan program korban perdana dengan tahun ini sebanyak 79 ekor lembu diagihkan kepada semua kawasan dan jabatan kerajaan sekitar daerah ini. – Bernama

  • Pembunuh Shinzo Abe uji senjata sebelum lakukan serangan

    Pembunuh Shinzo Abe uji senjata sebelum lakukan serangan

    PEMBUNUH Shinzo Abe menguji senjatanya sebelum dia menembak mati bekas perdana menteri Jepun itu, lapor Agensi Anadolu, memetik media tempatan.

    Penyerang dikenali sebagai Tetsuya Yamagami, 41, berkata dia telah menguji senjata api buatan sendiri di sebuah fasiliti sebagai persediaan sebelum serangan itu, menurut media tempatan NHK pada Ahad.

    Seorang detektif yang menyiasat kejadian itu berkata, Yamagami pada mulanya bercadang untuk menyerang ketua kumpulan keagamaan tertentu tetapi akhirnya menukar fikiran dan menyasarkan Abe.

    Abe ditembak pada Jumaat ketika sedang berkempen untuk pilihan raya di bandar Nara dan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan yang dialaminya. – Bernama

  • Kematian dua tentera disebabkan kecederaan akibat pokok tumbang

    Kematian dua tentera disebabkan kecederaan akibat pokok tumbang

    BEDAH siasat ke atas dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang maut semasa menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik awal pagi semalam mendapati kematian disebabkan kecederaan akibat pokok tumbang.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata bedah siasat ke atas jasad Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, telah selesai dijalankan di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang oleh doktor pakar hospital berkenaan pada 10.20 malam tadi.

    “Makluman awal daripada anggota kumpulan ronda (RJJ) menyatakan telah berlaku ribut di kawasan penempatan sub unit dan sebatang pokok telah tumbang pada kira-kira 1 pagi.

    “Apabila ribut reda, pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota RJJ dan mendapati pokok telah menghempap dua anggota,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua mangsa kemudian telah dibawa keluar dari tempat kejadian di kawasan sektor E 3 C, Hutan Belum Gerik dengan menggunakan helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang.

    Semalam, polis mengklasifikasikan kes dua tentera yang maut akibat ditimpa pokok itu sebagai mati mengejut.

    Kedua-dua mangsa merupakan anggota dari Batalion Kedua, Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), Kem Sungai Ara, Pulau Pinang. – Bernama

  • Polis Terengganu siasat agensi pelancongan gagal urus pakej haji

    Polis Terengganu siasat agensi pelancongan gagal urus pakej haji

    POLIS Terengganu kini sedang menjalankan siasatan ke atas sebuah agensi pelancongan yang didakwa gagal menguruskan pakej haji. 

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri Supt M. Zambri Mahmud berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 7 Julai lepas daripada seorang mangsa warga emas yang mendakwa ditipu agensi berkenaan.

    “Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya siasatan awal mendapati, mangsa berusia 62 tahun yang juga merupakan seorang pesara telah membuat bayaran pertama sebanyak RM3,000 pada 2 Jun lepas.

     “Bayaran penuh pada transaksi kedua sebanyak RM35,000 dibuat ke dalam akaun atas nama agensi pelancongan tersebut menjadikan jumlah kerugian sebanyak RM38,000,” katanya.

    M. Zambri berkata pemilik agensi tersebut kemudiannya memberikan pelbagai alasan dan gagal menempah tiket penerbangan pengadu sehingga menyebabkan mangsa terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 Julai lepas.

    “Tangkapan ke atas suspek akan dibuat dalam masa terdekat selepas siasatan di kontinjen lain yang terlibat selesai.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam pemilihan pakej haji dan memilih agensi pelancongan yang berkeupayaan untuk melaksanakannya,” katanya. – Bernama

  • Dua anggota tentera maut dihempap pokok ketika operasi

    Dua anggota tentera maut dihempap pokok ketika operasi

    DUA  anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut setelah dihempap pokok sewaktu menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak dalam insiden pada awal pagi semalam.

    TDM dalam kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa terbabit ialah Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, yang merupakan anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

    Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada kira-kira 2.30 pagi di sebuah pangkalan sementara dalam kawasan operasi pasukan tersebut yang telah dilanda ribut kencang.

    “Setelah keadaan tenang pada kira-kira 2.50 pagi, pemeriksaan keselamatan dibuat sebelum mendapati kedua-dua anggota telah meninggal dunia akibat ditimpa pokok,” menurut kenyataan itu.

    TDM menzahirkan ucapan takziah kepada Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir dan Nurummi Amirah Chepa, yang masing-masing merupakan isteri kedua-dua anggota tentera serta seluruh ahli keluarga mangsa.

    “TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dalam memastikan kebajikan keluarga mereka terjaga,” katanya.

    Jenazah Mohd Kamal akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah manakala jenazah Muhammad Zaki pula di Chuping, Perlis.

    Di IPOH, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian kedua-dua anggota tentera pada 11.50 pagi.

    “Kedua-dua mangsa telah dikeluarkan dari kawasan operasi tentera dengan menggunakan helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia ke 2 RAMD, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

    “Mangsa dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang bagi tujuan bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Beliau berkata polis Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa.

    — BERNAMA

  • ‘King of sado’ lembu terbaik dikorbankan, manfaat 1,000 asnaf

    ‘King of sado’ lembu terbaik dikorbankan, manfaat 1,000 asnaf

    LEMBU ‘tersado’ di Malaysia seberat 1.2 tan yang dinamakan ‘Gemuk’ dipilih untuk ibadah korban kerana merupakan lembu yang terbaik.

    Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas, Ikhlas Kamarudin berkata Gemuk yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran melebihi RM30,000 itu merupakan haiwan kesayangan seorang kanak-kanak perempuan.

    Beliau berkata Gemuk dibesarkan oleh seorang penternak bernama Muhammad Bakri Bukhari dari Bera, Pahang iaitu seorang pelanggan pakej umrah yang ditawarkan Ikhlas Sdn Bhd yang telah menunaikan ibadah suci itu pada Mac lepas.

    “Semasa Gemuk diambil Muhammad Bakri, beratnya hanyalah 600 kilogram (kg) dan beliau telah menjaga Gemuk selama empat tahun sehinggalah menjadi seberat 1.2 tan. Jadi boleh dikatakan Encik Bakri adalah seorang pengembala terbaik di Malaysia.

    “Sebab apa kami pilihnya untuk ibadah korban tahun ini kerana Gemuk adalah lembu yang terbaik. Ibadah korban bukan sekadar memberi tetapi memberi yang terbaik,” katanya selepas ibadah korban di Masjid Ikhlasiah, Pantai Dalam dekat sini, hari ini.

    Ikhlas juga menceritakan bagaimana anak perempuan Muhammad Bakri bersedih apabila diberitahu oleh ayahnya bahawa Gemuk akan dijual untuk dikorbankan setelah mendapat gelaran King of Sado.

    “Anak perempuan dia banyak jaga lembu dengan bapanya. Dia banyak membantu untuk basuh dan memberi makan. Jadi apabila dia dapat tahu lembu ini akan dijual, dia merajuk dengan bapanya.

    “Tetapi, bapanya sudah menjelaskan bahawa Gemuk dipilih oleh Allah S.W.T untuk kebaikan orang ramai, dan sekarang anak dia sudah faham dan tidak bersedih lagi,” katanya.

    Gemuk yang berbaka Charolais itu sebelum ini telah dinobatkan sebagai King of Sado 2022 dalam Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 yang diadakan awal bulan ini.

    Gemuk disumbangkan oleh seorang individu melalui Ikhlas Sdn Bhd, sebuah platform gaya hidup Islam digital kepada Masjid Ikhlasiah bagi memanfaatkan 1,000 asnaf yang berada dalam kariah di sini.

    — BERNAMA

  • Video hina Islam: Operasi kelab komedi TTDI digantung sementara

    Video hina Islam: Operasi kelab komedi TTDI digantung sementara

    DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur susulan satu klip video tular dipercayai menghina agama Islam.

    Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan itu sebagai mesej jelas bahawa pihaknya dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

    “Isu ini juga turut mendapat kecaman daripada penduduk berhampiran dan netizen di media sosial yang berpendapat bahawa, video tular tersebut jelas dan terang merupakan perbuatan yang bertujuan menghina serta mencemarkan imej agama Islam.

    “Justeru, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, DBKL tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu-isu sebegini.

    “DBKL telah membuat siasatan lanjut terhadap lesen premis berkenaan dan tindakan menggantung sementara pengoperasian premis berkenaan telah dilakukan secara serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jalaluddin berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, selain berharap orang awam melaporkan sebarang insiden bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang.

    Video berdurasi 54 saat itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai komen dalam kalangan netizen apabila seorang wanita yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk Al-Quran sebelum menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.

    Sementara itu, kelab komedi tersebut, ‘Crackhouse Comedy Club House’ dalam catatan Facebooknya mengecam sekeras-kerasnya kandungan video tular itu dan telah membuat laporan polis mengenai perkara itu di balai polis TTDI.

    “Individu terbabit dan pasangannya telah dilarang berada di venue berkenaan sebaik sahaja selesai persembahan,” katanya. – BERNAMA

  • Mangsa banjir Baling pilu sambut Aidiladha tanpa tiga insan tersayang

    Mangsa banjir Baling pilu sambut Aidiladha tanpa tiga insan tersayang

    KEDATANGAN Aidiladha hari ini yang sepatutnya diraikan penuh kegembiraan, disambut dengan rasa pilu oleh Abd Rahman Said, 71, kerana masih terkenangkan tiga ahli keluarganya yang terkorban dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling pada Isnin lepas.

    Bencana itu menyebabkan isterinya, Salmah Mat Akib, 53, anak tirinya, Mohd Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dan menantunya yang sedang hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23, maut apabila rumah mereka di Kampung Iboi di Baling dihanyutkan arus deras.

    “Bukan tidak mahu melupakan kejadian itu tetapi saya masih sedih teringatkan isteri, anak serta menantu yang sudah tiada, lebih-lebih lagi pada hari raya ini. Suasana pada hari ini jadi lain.

    “Arwah isteri saya dulu strok, biasanya setiap pagi saya bangunkan dan mandikan dia, selain sediakan makan untuk dia, sama juga pada hari raya,” katanya ditemui pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Raudhatul Falah, Kampung Iboi, Kupang hari ini.

    Abd Rahman yang masih trauma dengan kejadian itu bagaimanapun berazam untuk menghadapi dugaan tersebut dengan tabah dan berusaha meneruskan kehidupan seperti biasa.

    Terdahulu, warga emas itu menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan yang diimamkan Timbalan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Kariah Kampung Iboi Mohammad Zawawi Ibrahim dan disertai kira-kira 300 jemaah termasuk Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

    Abd Rahman yang ketika ini masih tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, kemudian menziarahi pusara tiga ahli keluarganya itu di Tanah Perkuburan Kampung Charuk Bemban Dalam.

    Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Iboi, Norhayati Ismail, 38, berkata kebiasaannya pada hari raya dia akan berkumpul bersama ahli keluarga dan menikmati juadah seperti ketupat, lemang dan rendang.

    Katanya, berbeza pada hari raya kali ini apabila dia kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya yang terletak berhampiran Sungai Kupang musnah sepenuhnya dalam bencana tersebut.

    “Rumah saya terletak bersebelahan dengan rumah tiga sekeluarga yang meninggal dunia itu, tapi kami sekeluarga sempat menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut sebelum rumah saya musnah sepenuhnya,” katanya.

    Norhayati berkata, dia bersama suami dan empat anaknya berusia antara sembilan hingga 18 tahun kini menumpang di rumah mentuanya di Kuala Ketil.

    Menurutnya, setakat ini bantuan seperti pakaian, barangan keperluan harian dan makanan adalah mencukupi, namun dia mengharapkan bantuan pakaian serta peralatan persekolahan untuk anak-anaknya.

    Dalam kejadian pada petang Isnin lepas, beberapa kawasan di Baling dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam menyebabkan 1,490 penduduk terjejas selain meragut tiga nyawa. – BERNAMA