Author: Bernama

  • Stadium Shah Alam bakal berwajah baharu, diinspirasikan Stadium Ajax Amsterdam

    Stadium Shah Alam bakal berwajah baharu, diinspirasikan Stadium Ajax Amsterdam

    KERAJAAN negeri Selangor melantik Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk melaksanakan pembangunan baharu Stadium Shah Alam dan fasiliti sukan sekitarnya dengan kos ditetapkan sekitar RM787 juta.

    Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari,  berkata  kerajaan negeri hari ini menyerahkan surat niat (LOI) kepada MRCB  selepas melalui proses yang panjang dan teliti bermula 2013 melibatkan 15 syarikat.

    “MRCB dipilih berdasarkan kemampuan teknikal dan kewangan mereka, malah syarikat itu pernah terlibat dengan projek baik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2017 dengan kos berjumlah RM1 bilion,” katanya.

    Terdahulu, Amirudin menyaksikan penyerahan LOI tersebut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim kepada Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam.

     Amirudin berkata projek itu akan dilaksanakan secara perkongsian awam-swasta dengan MRCB akan menanggung kos pembangunan tanpa menggunakan dana awam dan syarikat itu akan dianugerahkan pertukaran tanah kawasan sekitarnya untuk dibangunkan.

    Katanya, projek tersebut dijangka bermula seawal tahun hadapan dan dijangka siap pada 2026 seiring dengan pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 yang berdekatan dengan kawasan kompleks berkenaan.

    “Stadium Shah Alam ini akan diinspirasikan berdasarkan Stadium Ajax Amsterdam dengan kapasiti sekitar 60,000 ke 70,000 penonton,” katanya.

    Beliau berkata Stadium Shah Alam berusia 28 tahun itu mengalami kerosakan termasuk bilik persalinan, bekalan elektrik, tempat duduk penonton ekoran tiga kejadian banjir pada 2006, 2015.

    Kos pembinaan stadium tersebut menelan belanja RM400 juta dan dirasmikan pada 16 Julai 1994.

    -Katanya, tahun lalu, kos penggantian bumbung polikarbonat menelan belanja antara RM500 hingga RM1,000 sekeping.

    Amirudin berkata satu pameran mengenai pembangunan kompleks itu akan diadakan pada September ini  agar orang ramai dapat memahami rancangan pembangunan berkenaan dan turut boleh berkongsi maklum balas mereka di pameran itu.

    — BERNAMA

  • Op Hire: Ketua kerani antara tiga lagi individu ditahan SPRM

    Op Hire: Ketua kerani antara tiga lagi individu ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lelaki, masing-masing satu di Johor dan dua di Pulau Pinang, semalam, bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

    Menurut sumber, suspek di Johor merupakan ketua kerani kanan berusia 41 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan, ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 7.45 malam ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

    Sumber itu berkata suspek dipercayai menerima wang berjumlah RM5,000 daripada salah seorang pemilik syarikat, sebagai balasan untuk membantu syarikatnya dalam urusan tuntutan bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja.

    Dua lagi suspek yang berusia 40 dan 26 tahun ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang masing-masing pada pukul 6.50 petang dan 7.25 malam ketika hadir memberi keterangan.

    “Mereka dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butiran palsu secara dalam talian, bagi menuntut bayaran insentif pengambilan pekerja dan latihan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA),” katanya kepada Bernama hari ini.

    Menurut sumber, ketua kerani terbabit telah direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 17 Julai yang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, manakala dua lagi suspek direman selama enam hari mulai hari ini sehingga 20 Julai dan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan tersebut dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam tempoh terdekat.

    SPRM sebelum ini telah menahan reman seramai 37 individu bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Penjana Kerjaya di beberapa negeri menerusi ‘Op Hire’ yang bermula Rabu lalu.

    — BERNAMA

  • PRU-15: Wanita PKR tuntut lebih ramai calon DUN, Parlimen

    PRU-15: Wanita PKR tuntut lebih ramai calon DUN, Parlimen

    PERWAKILAN Wanita PKR hari ini menuntut lebih ramai wakil wanita dari parti itu diketengahkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Rata-rata perwakilan mahu PKR lebih serius, dalam memastikan matlamat sasaran 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan, selain menuntut agar peluang sama turut diberikan kepada wanita muda.

    Perwakilan Negeri Sembilan, Noraini Nordin mengesyorkan agar PKR memperkenalkan Akademi Wanita Keadilan, untuk menggilap potensi wanita dalam bidang politik sekali gus melahirkan lebih ramai pemimpin berkualiti.

    “Kita juga menuntut lebih ramai wakil wanita diketengahkan, jangan menafikan hak wanita untuk berpolitik… wanita harus ke hadapan untuk memperjuangkan suara golongan ini,” katanya membahaskan ucapan dasar pada Kongres Wanita PKR, sempena Kongres Nasional PKR ke-16 di Shah Alam hari ini.

    Perwakilan Sarawak, Zulhaida Suboh berkata, beliau sebagai wakil tunggal wanita menjawat jawatan ketua cabang di negeri itu, mahu golongan wanita diberikan peluang memimpin, dan corak pemikiran wanita yang berbeza berbanding lelaki mampu menghasilkan pelbagai idea yang segar dan memperkukuhkan parti.

    Isu berkenaan dibahaskan majoriti perwakilan antaranya dari Majlis Pimpinan Wanita Pusat, Melaka, Perlis, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Perak, yang antara lain menuntut peluang diberikan untuk wanita memimpin di peringkat tertinggi dalam parti.

    Wakil Srikandi PKR, Athirah Nurlisa Rusli berkata, peranan wanita muda dalam parti itu amat kritikal, malah menjadi antara penggerak utama gerak kerja setiap kali berlaku pilihan raya, untuk mendekati pengundi terutama golongan muda.

    Sementara itu, perwakilan wanita juga sebulat suara bersetuju dengan usul agar 11 Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat, dipilih secara automatik sebagai sebahagian daripada 50 perwakilan wanita ke Kongres Nasional PKR esok.

    Seramai 490 perwakilan wanita hadir pada kongres sayap parti itu hari ini yang berlangsung sehari melibatkan 16 pembahas, manakala proses pengundian 20 wakil untuk mengisi jawatan dalam barisan majlis pimpinan wanita pusat pada pagi tadi juga, lancar tanpa sebarang insiden. – BERNAMA

  • Operasi Masyair: Tugasan mencabar demi jemaah haji Malaysia

    Operasi Masyair: Tugasan mencabar demi jemaah haji Malaysia

    BERDIRI lebih tiga jam tanpa mengira cuaca panas, tengah malam mahupun subuh dan bertugas tanpa mengira bila bermula dan berakhir adalah realiti dihadapi petugas Lembaga Tabung Haji (TH) ketika operasi Masyair.

    Pengarah Operasi Masyair Mohd Norber Kassim berkata tanpa perancangan rapi dan keikhlasan petugas, pelbagai perkara tidak diingini mungkin boleh berlaku terutama risiko lewat sampai ke Arafah, masalah penginapan dan kesukaran menjejaki jemaah yang sesat ke khemah negara lain.

    “Keutamaan ketika operasi Masyair ialah membawa semua jemaah ke Arafah tetapi sebelum mereka tiba, kemudahan seperti khemah, tilam dan bantal mesti dipastikan tersedia.

    “Begitu juga dengan kemudahan elektrik dan air, penyaman udara serta tandas. Makan dan minum jemaah juga di bawah kendalian operasi Masyair. Kita ada sediakan 16 kali makan bermula 8 hingga 13 Zulhijah,” katanya dengan menambah makanan yang dimasak oleh muassasah juga perlu diperiksa supaya cukup untuk semua jemaah dan memenuhi cita rasa.

    Beliau berkata demikian kepada Bernama mengulas kejayaan unit Masyair melaksanakan operasi dengan teratur dan tersusun malah mendapat pujian jemaah haji.

    Dalam mengatur pergerakan bas, Mohd Norber berkata beberapa mesyuarat dan latihan telah diadakan memandangkan pergerakan itu melibatkan banyak pihak termasuk pemandu, petunjuk arah, muassasah, jemaah haji, pengurus maktab dan unit operasi Masyair.

    Lebih mengagumkan ketika operasi tersebut, kesemua pergerakan lancar mengikut jadual dan tiada sekatan daripada polis Arab Saudi.

    “Jemaah dari tiga bangunan penginapan perlu digerakkan secara teratur dan apabila bas sampai, kita perlu pastikan jemaah segera turun dari bilik masing-masing kerana bas tidak boleh menunggu lama, jika tidak polis Arab Saudi akan datang,” katanya.

    Mohd Norber berkata cabaran sebenar ditempuhi unit kendaliannya ialah ketika di Mina kerana jemaah tinggal agak lama iaitu empat hari bermula 10 Zulhijah dan pada masa sama jemaah perlu dipastikan melaksanakan ibadah melontar tanpa sebarang masalah.

    Beliau berkata pihaknya menyediakan 16 pos di laluan tertentu bagi mengelak jemaah tersasar memandangkan mereka perlu berjalan sejauh 10 kilometer pergi dan balik dari khemah di Mina untuk melaksanakan ibadah melontar di Kompleks Jamrah.

    “Ada juga kejadian jemaah yang ikut laluan lain daripada ditetapkan dan mereka tersasar. Alhamdulillah kita dapat selamatkan dan hantar mereka ke khemah masing-masing. Walaupun jauh dan ambil masa, petugas tetap akan pergi cari jemaah dengan berjalan kaki.

    “Setiap pos akan ada dua orang bertugas iaitu tiga jam bagi satu syif dan mereka perlu sentiasa bergerak kerana tentera Arab Saudi tidak benarkan mereka berdiri di situ sahaja untuk elak kesesakan,” katanya.

    Mohd Norber berkata secara keseluruhan, operasi berjalan lancar dan petugas Masyair dapat menyelesaikan masalah dengan cepat terutama berkaitan kemudahan penyaman udara dan makanan.

    “Pengorbanan petugas Masyair sangat besar, semoga ibadah dan pekerjaaan mereka memperoleh keberkatan,” katanya.

    — BERNAMA

  • Guru KAFA disyaki hempas murid hingga patah kaki direman

    Guru KAFA disyaki hempas murid hingga patah kaki direman

    SEORANG guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di Marang, direman tiga hari selepas disyaki menghempas seorang anak murid lelakinya sehingga patah kaki.

    Perintah reman terhadap lelaki itu yang bermula hari ini hingga Ahad itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Rabiatul Adawiyyah Che Khalid.

    guru KAFA terengganu pukul murid
    Tangkap layar video TV9.

    Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi berkata, perintah reman tersebut bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

    Sebelum ini, seorang murid lelaki berusia sembilan tahun dilapor patah kaki kanannya selepas didakwa dihempas ke atas kerusi oleh seorang guru KAFA sewaktu sesi pengajaran pada 6 Julai lepas.

    Kejadian itu dikatakan dilakukan kerana guru KAFA tersebut berang dengan perlakuan murid Tahun Tiga berkenaan di dalam kelas. – BERNAMA

  • Mahkamah benarkan premis Rumah Bonda dibuka semula

    Mahkamah benarkan premis Rumah Bonda dibuka semula

    PREMIS Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur, yang lebih dikenali sebagai Rumah Bonda dibenarkan untuk beroperasi semula selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan membuka ‘Lak’ yang difailkan pengerusi rumah perlindungan itu, Siti Bainun Ahd Razali.

    Majistret Nur Syafiqah Noorinda mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Rumah Bonda melalui Siti Bainun selaku plaintif yang memohon untuk menanggalkan lak yang telah dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL) pada 12 Julai 2021.

    Peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Siti Bainun ketika dihubungi berkata perintah menanggalkan lak diberikan oleh mahkamah di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 tidak dibantah oleh pihak JKM dan Rumah Bonda hendaklah berakujanji bahawa premis itu tidak akan digunakan sebagai pusat jagaan.

    “Rumah Bonda sudah dikompaun berjumlah RM5,000 dan ia telah dibayar pada 25 April lepas,” kata peguam itu.

    Prosiding hari ini turut dihadiri Peguam Persekutuan Fatin Shafira Ab Patah yang mewakili Pengarah JKM WPKL.

    Pada 7 Jun lepas, Rumah Bonda memfailkan saman terhadap JKM WPKL selaku defendan bagi memohon perintah menanggalkan lak yang telah dibuat pada 12 Julai 2021 ke atas premis itu di Taman Setapak, dan memohon perintah agar plaintif boleh menggunakan premis berkenaan bagi maksud lain selain daripada pusat jagaan, selain memohon kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

    Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Siti Bainun berkata beliau telah menerima Notis Lak daripada JKM WPKL, yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

    Dakwa Siti Bainun, tindakan lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar, memandangkan JKM WPKL telah mengetahui bahawa rumah perlindungan itu sedang dalam proses permohonan pendaftaran.

    “Pada 20 April 2022, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993 dan Rumah Bonda telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022,” katanya menerusi afidavit sokongan.

    Menurut Siti Bainun, beliau kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL bahawa, Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya. – BERNAMA

  • Lelaki Sierra Leone dituduh tipu wanita ganda wang guna cecair

    Lelaki Sierra Leone dituduh tipu wanita ganda wang guna cecair

    SEORANG lelaki warganegara Sierra Leone mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita tempatan untuk menyerahkan wang RM50,000 dua bulan lepas.

    Aruna Saccoh, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

    Saccoh didakwa menipu Chee Ting Han, 32, untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM50,000 dengan memperdaya wanita itu bahawa tertuduh boleh menggandakan wang menggunakan cecair kimia dengan cara cucian wang.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan tempat letak kereta OUG Parklane, Brickfields pada 30 Mei lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh bukan warganegara dan tiada dokumen perjalanan sah.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta lantikan peguam. – BERNAMA

  • Dua beranak terlibat kes khianat di CIQ Linkedua ditahan

    Dua beranak terlibat kes khianat di CIQ Linkedua ditahan

    SEORANG  wanita tempatan dan anak lelakinya warga Singapura yang terlibat dalam kes khianat di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), ditahan pada 9.15 malam semalam.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata wanita berusia 46 tahun yang juga memiliki taraf penduduk tetap (PR) Singapura dan anaknya berumur 18 tahun itu, ditahan di Pos Pemeriksaan Kastam laluan masuk Singapura ke Malaysia, Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang.

    Beliau berkata ketika siasatan kedua-duanya mengaku terlibat dengan kes tersebut dan direman sehari pada hari ini.

    “Dalam kejadian itu, suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana kenderaannya telah dihalang serta bergesel semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video berdurasi dua minit enam saat memaparkan tindakan seorang wanita berdiri di hadapan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan menahannya daripada bergerak di Linkedua.

    Dalam rakaman video itu, wanita terbabit dilihat mencabut nombor plat kenderaan berkenaan dan membalingnya, sebelum seorang lelaki muncul dari sebuah kereta berwarna merah dengan nombor pendaftaran Singapura dan menunjukkan isyarat lucah kepada pemandu MPV itu.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] Anak bekas Presiden Honduras ditembak mati

    [VIDEO] Anak bekas Presiden Honduras ditembak mati

    ANAK lelaki bekas Presiden Honduras, Porfirio Lobo Sosa, bersama tiga lagi lelaki maut ditembak di Tegucigalpa awal Khamis, menurut polis Honduras.

    Rakaman video yang dikeluarkan pihak media memaparkan lelaki bersenjata yang lengkap berpakaian seperti anggota polis telah menarik keempat-empat mangsa keluar dari sebuah kereta dan memaksa mereka berbaris menghadap dinding sebelum menembak kepala mereka.

    Kejadian berlaku pada 2 pagi waktu tempatan (0800 GMT) di tempat letak kereta bangunan Torre Morazan, lapor media tempatan.

    Mereka yang terbunuh ialah Said Omar Lobo Bonilla, anak lelaki Lobo Sosa, Luis Zelaya, anak saudara Jeneral Romeo Vasquez yang telah bersara.

    Bekas Presiden Honduras, yang memegang jawatan dari 2010 hingga 2014 menggelar penyerang sebagai “pembunuh terlatih.”

    Seorang lagi anak lelakinya yang berada dalam kenderaan lain tidak diapa-apakan. – BERNAMA

  • Awal Ashaari kemuka representasi tuduhan rosak palang pagar

    Awal Ashaari kemuka representasi tuduhan rosak palang pagar

    SELEBRITI Awal Ashaari yang didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan itu.

    Peguam Hamizah Sobree yang mewakili Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, memaklumkan kepada mahkamah pihaknya bercadang untuk mengemukakan representasi berdasarkan dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan hari ini.

    “Kami sahkan sudah menerima dokumen daripada pendakwaan dan bercadang untuk mengemukakan representasi berkenaan pertuduhan. Mohon arahan lanjut mahkamah,” katanya pada prosiding di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Ab Manaff.

    Muhammad Iskandar berkata pihak pembelaan boleh memfailkan representasi sekiranya dokumen yang diterima pada hari ini telah mencukupi dan menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

    Ketika ditemui media di luar mahkamah, Hamizah berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkaitan kes yang telah diserahkan oleh pihak pendakwaan sebelum memutuskan jenis representasi yang akan dikemukakan.

    Pada 17 Mei lepas, personaliti televisyen itu mengaku tidak bersalah melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600, di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA