Author: Bernama

  • Syed Saddiq arah agih wang RM1 juta sehari selepas SPRM geledah rumah

    Syed Saddiq arah agih wang RM1 juta sehari selepas SPRM geledah rumah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengarahkan wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) diagihkan dalam kalangan exco sayap parti, sehari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan menggeledah kediaman Ahli Parlimen Muar itu di Petaling Jaya pada 31 Mac 2020.

    Pegawai penyiasat SPRM, Mohd Syahmeizy Sulong, 37, berkata, wang yang dikeluarkan dari bank pada 6 Mac 2020 berada dalam kawalan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan tiada transaksi dibuat dalam tempoh berkenaan sebelum ia diagihkan pada 1 April 2020.

    “Wang itu disimpan di rumah Rafiq Hakim sebelum ia diagihkan kepada kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan Muhammad Daniel Kusari dan Muhammad Naqib Ab Rahim yang ketika itu ahli Bersatu,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Mohamed Tahir pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

    Disoal Muhammad Asyraf apa yang menyebabkan wang RM1 juta itu tiba-tiba diagihkan kepada Muhammad Daniel dan Muhammad Naqib, saksi menjawab: Wang diagihkan selepas pihak SPRM mula siasat dan geledah rumah YB Syed Saddiq pada 31 Mac 2020.

    Mohd Syahmeizy, yang menyiasat kes penyelewengan dana Armada dihadapi Syed Saddiq berkata berdasarkan keterangan saksi yang dirakam, duit itu dikeluarkan oleh dua pemegang amanah Armada, Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, yang ketika itu Penolong Setiausaha Armada atas arahan Syed Saddiq.

    Menurut Penguasa Kanan SPRM itu, cek pengeluaran wang berkenaan ditandatangani oleh Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan kerana Syed Saddiq tidak mempunyai masa untuk pergi ke bank selain tandatangannya sering berubah.

    Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata siasatannya juga mendapati, pada 31 Mac 2020, tertuduh telah menghubungi Rafiq Hakim dan arahkannya untuk ‘clear’ wang yang disimpan di rumah Rafiq Hakim kerana tertuduh risau wang itu akan dijumpai dan disita oleh pihak SPRM.

    Kepada soalan Muhammad Asyraf, saksi berkata pihak SPRM menggeledah rumah Syed Saddiq pada hari berkenaan (31 Mac) susulan siasatan dijalankan oleh seorang lagi pegawai penyiasat, Muhamad Khairi Muhamad Rodi untuk menyiasat kehilangan wang berjumlah RM250,000 di rumah ahli politik tersebut.

    Menurut Mohd Syahmeizy, daripada RM1 juta itu, wang berjumlah RM650,000 diagihkan kepada Muhammad Daniel manakala RM250,000 kepada Muhammad Naqib.

    Bagaimanapun, saksi berkata pihak SPRM hanya menemukan wang berjumlah RM425,537 daripada Muhammad Daniel dan menyita wang berkenaan.

    Disoal Muhammad Asyraf di mana baki wang itu, saksi menjawab: Hasil keterangan Muhammad Daniel, baki wang telah diagihkan kepada ketua bahagian dan ahli-ahli Armada.

    Terdahulu, Mohd Syahmeizy berkata terdapat perbincangan melibatkan Syed Saddiq, Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan pada awal Mac 2020 dan keterangan saksi menyatakan Syed Saddiq amat risau pergolakan yang berlaku selepas ‘Langkah Sheraton’.

    “Oleh itu, YB Syed Saddiq tanya Rafiq Hakim berapa wang yang ada dalam akaun Armada pusat. YB Syed Saddiq nyatakan wang dalam akaun Armada merupakan hasil titik peluh sepanjang beliau menjadi Ketua Armada. Rafiq Hakim kemudian beritahu YB Syed Saddiq baki semasa akaun berjumlah lebih RM1 juta,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan pengeluaran wang itu dibuat selepas kedudukan Syed Saddiq dalam Pakatan Harapan goyah dan ia disokong oleh beberapa keterangan saksi yang diambil iaitu Ahmad Redzuan, Rafiq Hakim dan bekas Exco Armada Abdul Hannaan Khairy.

    Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, mengapa Syed Saddiq dituduh kali pertama pada 22 Julai 2021 sedangkan izin untuk mendakwa dikeluarkan pada 4 Jan tahun sama, saksi menjawab: Untuk siasatan terhadap YB Syed Saddiq, pihak SPRM telah membuka lima kertas siasatan yang berbeza aduan dan maklumat.

    “Oleh itu, pertuduhan terhadapnya dibuat terlalu lama disebabkan saya memerlukan keterangan saksi bagi menyamakan dengan kertas siasatan lain kerana ketika itu ada kertas siasatan yang belum siap ke atas YB Syed Saddiq,” kata saksi.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung. – BERNAMA

  • Ibu dipenjara 20 tahun bunuh 2 anak akibat masalah kewangan

    Ibu dipenjara 20 tahun bunuh 2 anak akibat masalah kewangan

    SEORANG ibu berusia 41 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada Rabu kerana membunuh dua anak lelakinya berumur 8 dan 7 tahun akibat dihimpit masalah kewangan.

    Sebuah mahkamah di selatan Seoul mendapati tertuduh, yang identitinya dirahsiakan, bersalah membunuh anaknya — di rumahnya pada April lalu, menurut Agensi Berita Yonhap.

    Dia kemudian cuba membunuh diri tetapi gagal.

    “Defendan menjalani kehidupan yang sukar dan dilanda kebimbangan, tetapi mahkamah tidak menerima alasan tertuduh,” menurut mahkamah itu.

    Mahkamah turut memaklumkan bahawa tertuduh tidak berusaha untuk mengatasi kesukaran hidup, seperti mencari pekerjaan atau mendapatkan bantuan psikoterapi. – BERNAMA

  • Harga minyak masak botol dijangka turun dalam masa terdekat

    Harga minyak masak botol dijangka turun dalam masa terdekat

    HARGA minyak masak botol dijangka akan turun dalam masa terdekat selari dengan penurunan harga minyak masak mentah dari RM7,000 per tan metrik kepada RM3,600 per metrik tan minggu ini.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dalam pada itu, strategi dalam menangani inflasi dan kos sara hidup yang dilaksanakan dengan bekerjasama erat bersama Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi juga telah menampakkan hasil terutamanya berkaitan isu ayam dan telur.

    “Strategi lima serampang yang kita laksanakan adalah kawalan harga barang keperluan asas menerusi subsidi bersasar; libat urus berterusan bersama pemain industri bagi menstabilkan harga dan peningkatan penguatkuasaan melalui kolaborasi dengan semua agensi penguatkuasaan untuk mengurangkan ketirisan terutama barang bersubsidi.

    “Selain itu, strategi lain adalah dengan memperluaskan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) meliputi 613 kawasan Dewan Undangan Negeri dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat melalui tawaran barangan asas yang murah sehingga 20 peratus berbanding harga di pasaran setempat,” katanya.

    Strategi terakhir termasuk advokasi perubahan kecil terhadap gaya hidup pengguna untuk mempengaruhi permintaan dan seterusnya harga barangan di pasaran tempatan, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di Kuala Lumpur hari ini.

    Nanta berkata, KPDNHEP akan meneruskan strategi lima serampang ini dalam menangani inflasi dan kos sara hidup yang sedang dihadapi negara dan rakyat ketika ini.

    “Melalui sesi libat urus dengan pemain industri bersama kementerian lain termasuk Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi juga kami sudah bincang, memang sesi libat urus ini kami yakin akan beri kesan penurunan pada harga minyak masak dan barangan keperluan lain,” katanya.

    Dalam pada itu, Nanta berkata sehingga kini jualan Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia telah mencatatkan rekod baharu pada Mei 2022 dengan pertumbuhan 19.9 peratus tahun ke tahun berjumlah RM129.8 bilion seperti diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

    “Sehubungan itu, KPDNHEP telah menilai semula semua inisiatif dan program kementerian berimpak tinggi agar pemulihan ekonomi negara menerusi perdagangan dalam negeri dan pendayaupayaan pengguna terus berjalan seperti dirancang,” katanya.

    Terdahulu, Nanta dalam ucapannya berkata, insentif pengurangan kompaun menerusi Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang dilaksanakan bagi tempoh bermula 1 Mac 2022 hingga 30 Jun 2022 akan dilanjutkan untuk empat bulan lagi.

    “Menyelami kesukaran komuniti perniagaan yang rata-rata masih bergelut untuk kembali bangkit daripada kesan pandemik COVID-19, SSM mengambil langkah melanjutkan insentif ini untuk empat bulan lagi berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 hingga 31 Okt 2022.

    “Bersandarkan insentif ini, syarikat dan pengarah syarikat layak mendapat pengurangan 90 peratus daripada nilai asal kompaun yang ditawarkan mengikut Akta 125. Mengikut rekod semasa, sebanyak 1,578 syarikat menikmati pengurangan kompaun sejak inisiatif ini diperkenalkan,” katanya. – BERNAMA

  • Penganggur hina agama Islam ditahan reman

    Penganggur hina agama Islam ditahan reman

    SEORANG penganggur direman selama empat hari kerana disyaki menghina agama Islam melalui satu rakaman audio yang tular di aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

    Perintah reman bermula hari ini sehingga Sabtu (23 Julai) terhadap lelaki berusia 59 tahun itu dikeluarkan Majistret Nordiana Abd Aziz di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

    Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

    Sementara itu, menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, lelaki berkenaan ditahan kira-kira 2 pagi tadi di rumahnya di Kampung Laut, di Chendering dekat sini.

    “Siasatan awal mendapati audio tersebut telah dibuat pada tahun lepas, yang mengandungi kata-kata maki hamun termasuk menghina agama Islam, namun seorang pengadu baru membuat laporan mengenainya pada 19 Julai (semalam).

    “Mungkin laporan dibuat sekarang berikutan trend kes menghina agama Islam yang banyak dilaporkan pada masa ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Rohaimi berkata, suspek juga didapati mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes dadah, mencederakan orang serta ugutan terhadap ahli keluarga dan dia telah dihadapkan ke mahkamah tahun lepas.

    “Kami juga syak lelaki ini mengalami gangguan mental akibat ketagihan dadah… Semasa ditahan, ujian saringan urin mendapati dia positif dadah methamphetamine,” katanya.

    Rohaimi berkata, pihaknya memandang serius kes membabitkan penghinaan terhadap agama kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan tidak akan berkompromi dengan pihak terlibat.

    “Jangan sesekali jadikan agama sebagai bahan jenaka kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat,” katanya. – BERNAMA

  • KeTSA cadang pemberian subsidi bil elektrik bersasar

    KeTSA cadang pemberian subsidi bil elektrik bersasar

    KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar untuk tempoh kitaran Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang akan datang.

    Menteri berkenaan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selain itu, KeTSA merancang mengutamakan penggunaan bahan api paling murah untuk penjanaan elektrik yang merupakan antara pelan mitigasi jangka panjang bagi mengatasi krisis tenaga global dan kos ICPT yang dijangka meningkat.

    “Sekarang ini semua sama (golongan) M40 pun (menerima rebat) dua sen setiap kilowatt per jam (kWj), B40 dua sen dan T20 pun dua sen, semua menikmati rebat dua sen ini dalam bekalan elektrik negara kita.

    “Tapi masa akan datang mungkin diperlukan bersasar, mungkin T20 akan dikenakan surcaj atau ICPT ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai langkah kementerian untuk melindungi rakyat yang berhadapan dengan krisis tenaga global sehingga menyebabkan peningkatan kos harga bahan api.

    Pada 24 Jun lepas, kerajaan bersetuju untuk menampung subsidi elektrik berjumlah RM5.8 bilion bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2022 meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api di pasaran global sebagai langkah mitigasi jangka pendek berdepan krisis tenaga global.

    Takiyuddin berkata, kementerian berkenaan turut menyediakan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka masa panjang yang menetapkan hala tuju bagi perancangan pembekalan elektrik negara.

    Katanya, perkara itu termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import seperti arang batu secara berperingkat sekali gus kementerian itu menetapkan sasaran 31 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui pada tahun 2025 dan 40 peratus pada tahun 2035.

    Selain itu, beliau berkata, bagi menggalakkan amalan berjimat cermat dalam penggunaan tenaga elektrik, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencetak jumlah subsidi yang diberikan kerajaan pada bil elektrik pengguna bermula bulan ini. – BERNAMA

  • Bincang tuntutan kumpulan Sulu di Parlimen jejas kepentingan negara

    Bincang tuntutan kumpulan Sulu di Parlimen jejas kepentingan negara

    PERBINCANGAN berhubung tuntutan kumpulan Sulu terhadap Sabah di Dewan Rakyat boleh menjejaskan kepentingan Malaysia dalam prosiding litigasi kes berkenaan.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, perbincangan itu berkemungkinan akan mendedahkan strategi negara dalam hal berkaitan, sekali gus memberi manfaat kepada pihak lain.

    “Mahukah kita berbincang (di Dewan Rakyat) dan sedang perbincangan itu berjalan, tidak tahulah apa yang akan dikatakan, maka terserlah strategi kerajaan untuk berbuat itu dan ini, dan (mengakibatkan) akan ada kritikan terhadap tindakan kerajaan yang akan dibuat itu atau pun yang telah dibuat. Maka pihak yang satu lagi boleh membacanya.

    “Apakah itu tidak akan merosakkan kepentingan kerajaan di dalam prosiding litigasi tersebut? Mahukah kita tunjuk strategi kita kepada dunia?,” katanya semasa memberi penjelasan terhadap pertanyaan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) pada sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini, yang mempersoal keputusan Azhar menolak usul supaya tuntutan kumpulan Sulu itu dibahas di Parlimen atas alasan subjudis pada Isnin.

    Menurut Azhar, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36 (2), tidak boleh disebutkan apa-apa perkara yang sedang dalam timbangan mahkamah sekiranya pada timbangan Pengerusi harus merosakkan kepentingan-kepentingan pihak yang berbicara itu.

    Azhar berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk tidak membenarkan perkara itu berlaku.

    “Peraturan pertama litigasi adalah unsur kejutan, peraturan pertama perang pun serupa. Ini kita sedang mempertahankan kedaulatan kita, ahli-ahli Yang Berhormat merungut kita tidak mempertahankan kedaulatan. Kita sedang mempertahankan dan kita nak dedahkan strategi kita kepada orang lain? Mahukah kita berbuat begitu?,” katanya.

    Terdahulu, menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Ahli Dewan Rakyat diberikan penjelasan terperinci daripada Kementerian Luar mengenai isu itu, Azhar berkata perkara berkenaan pada pandangannya adalah subjudis.

    “Isu yang ditangani di mahkamah di Sepanyol dan Paris antara lain berbangkit daripada pemberhentian bayaran yuran (pampasan). Yang Berhormat Ketua Pembangkang mengatakan bahawa pemberhentian bayaran tersebut telah menyebabkan kita kalah.

    “Adalah terang isu tersebut ialah isu teras dalam litigasi di Sepanyol dan Paris serta prosiding arbitrasi tersebut, jadi ia tertakluk kepada pertikaian dan pembentangan hujah dalam proses-proses litigasi tersebut, maka ia subjudis pada pendapat saya,” katanya.

    Pada 12 Julai lepas, Mahkamah Rayuan Paris telah membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bertarikh 28 Feb 2022 yang dikeluarkan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa berikutan tuntutan kumpulan Sulu melalui satu prosiding timbangtara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

    Sebelum ini, dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh kumpulan Sulu, yang dikatakan menuntut US$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

    Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh kumpulan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878. – BERNAMA

  • [VIDEO] Salam tak pandang muka, lelaki tampar kepala jemaah masjid

    [VIDEO] Salam tak pandang muka, lelaki tampar kepala jemaah masjid

    HANYA kerana tidak memandang muka semasa bersalaman, seorang lelaki bertindak menampar belakang kepala seorang jemaah di Masjid An-Nur Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, pada Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, laporan diterima pihaknya daripada mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an yang berkhidmat sebagai tentera, menyatakan dia bersalaman dengan suspek yang tidak dikenali selepas selesai solat asar kira-kira 5.10 petang.

    “Secara tiba-tiba, suspek telah menampar belakang kepala mangsa dan terkena telinga sebelah kanan dengan kuat menyebabkan dia mengalami kesakitan di bahagian tersebut.

    “Siasatan awal mendapati insiden itu berlaku gara-gara mangsa tidak memandang muka lelaki tersebut semasa bersalaman menyebabkan dia berang dan beranggapan mangsa bersikap kurang ajar dengannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nor Omar berkata, kedua-dua pihak telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Manjung untuk dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

    “Hasil rakaman percakapan yang diberikan, anggota tentera itu tidak mahu untuk meneruskan siasatan dan menarik semula laporan tersebut. Kes telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut,” katanya.

    Sebelum ini, tular di Twitter menerusi sebuah video berdurasi 37 saat itu yang memaparkan kejadian seorang lelaki memukul kepala seorang jemaah di sebuah masjid. – BERNAMA

  • Scammer, carilah kerja lain, jangan menipu – Awie

    Scammer, carilah kerja lain, jangan menipu – Awie

    LEGENDA rock negara, Datuk Awie menasihati belia yang terlibat dengan sindiket penipuan atau scammer agar segera mencari pekerjaan lain yang menjamin masa depan.

    Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, daripada maklumat polis kebanyakan scammer terdiri daripada belia dan telah dilatih oleh sindiket untuk menipu mangsa menerusi panggilan telefon.

    “Sebelum ini saya pernah beberapa kali cuba dihubungi mereka menerusi panggilan telefon yang terdiri daripada golongan belia dalam lingkungan umur 21 hingga 23 tahun.

    “Apabila gagal mempengaruhi saya, mereka bergaduh dengan saya dan mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 Polis Kontinjen Perlis, di Kuala Perlis.

    Awie berkata, sebelum mengakhiri perbualan telefon beliau sempat menasihati mereka untuk berhenti melakukan kerja tersebut dan bayangkan sekiranya ahli keluarga terdekat sendiri mengalami kerugian puluhan ribuan ringgit akibat menjadi mangsa sindiket penipuan.

    “Tidak puas hati dengan nasihat saya, mereka mengganggu saya 20 hingga 30 kali sehari namun saya tidak melayannya,” kata pelakon dan penyanyi itu yang dilantik sebagai duta anti-scam.

    Beliau berkata, tugas membanteras kegiatan jenayah penipuan tidak wajar hanya diletakkan pada bahu pihak polis sebaliknya ia adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia.

    Awie bersama 35 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai jelajah kempen kesedaran anti-scam ke seluruh Semenanjung yang berlangsung dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula semalam (19 Julai) sehingga 22 Julai meliputi empat negeri di utara semenanjung iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perlis, SAC Baderulhisham Baharudin dalam ucapan pada majlis itu berkata, mengikut statistik yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil kontinjen Perlis, 998 kes jenayah komersial telah dicatatkan pada tahun 2020 hingga Jun 2022 dengan kerugian RM15.8 juta dan daripada jumlah tersebut 969 kes merupakan jenayah penipuan dalam talian.

    Beliau berkata, penggunaan teknologi dalam urusan seharian ini secara tidak langsung telah mengakibatkan wujudnya bentuk jenayah baharu yang lebih kompleks dan global serta memerlukan perhatian lebih serius daripada masyarakat.

    “Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 merupakan kesinambungan kepada program pencegahan jenayah penipuan yang dilaksanakan secara berterusan oleh pihak polis yang bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman scammer agar tidak menjadi mangsa atau terlibat dengan aktiviti sindiket berkenaan,” katanya.

    Katanya, kempen akan berlangsung sepanjang Julai 2022 dengan pengisian melalui pameran, ceramah, wawancara serta memberikan tips cara terbaik mengelak daripada menjadi mangsa.

    “Penglibatan langsung komuniti dalam kempen ini amat penting dalam meningkatkan lagi kefahaman mengenai pencegahan jenayah komersial khususnya jenayah penipuan dalam talian. Informasi dan nasihat pencegahan jenayah yang diberikan oleh pihak polis perlu dimanfaatkan sepenuhnya, supaya tidak mudah panik dan terpedaya dengan pelbagai helah serta taktik kreatif penipuan yang digunakan oleh sindiket,” katanya.

    Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, SAC Jamel Salleh dan Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Kewangan/Koperasi/Insurans/Perbankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, ACP Mazelan Paijan. – BERNAMA

  • Dua rentung van bawa diesel terbakar lepas langgar pokok

    Dua rentung van bawa diesel terbakar lepas langgar pokok

    DUA orang rentung apabila van membawa muatan diesel yang dinaiki terbakar selepas merempuh sebatang pokok di tepi Jalan Khong Yit Khim, di Sibu dalam kemalangan kendiri awal pagi tadi.

    Ketua Bomba Zon Sibu, Janggan Muling berkata, akibat kemalangan tersebut kedua-dua mangsa didapati tersepit dan rentung di tempat duduk pemandu dan penumpang van sebelah hadapan.

    Menurutnya, panggilan kejadian tersebut diterima jam 5.10 pagi dan satu pasukan telah digerakkan ke lokasi yang terletak 17 km dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral kira-kira jam 5.27 pagi.

    “Setibanya di lokasi pasukan Bomba mendapati sebuah van dengan membawa muatan minyak diesel dalam tong mengalami kemalangan kendiri dipercayai hilang kawalan menyebabkan van tersebut terbakar seratus peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Gambar: Facebook BBP Sibu Sentral

    Beliau berkata, apabila api berjaya dipadamkan sepenuhnya, pasukan bomba mengeluarkan mayat mangsa dan kemudian menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

  • Lelaki ditahan bersama dadah hampir RM1 juta

    Lelaki ditahan bersama dadah hampir RM1 juta

    POLIS menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 9.7 kilogram (kg) bernilai hampir RM1 juta dalam satu serbuan Isnin lepas di Changkat Kruing, Pantai Remis dekat Manjung.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki yang tidak bekerja berusia 56 tahun itu ditahan di sebuah rumah pada 10 malam dan pihaknya menemukan satu paket plastik disyaki dadah jenis heroin dan methamphetamine.

    “Pemeriksaan di dalam sebuah kereta dan luar kawasan rumah tersebut turut menemukan beberapa lagi paket plastik mengandungi dadah dipercayai methamphetamine,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal bernilai RM3,500 dan nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM973,598.

    Mior Faridalathrash berkata, suspek didapati positif dadah jenis morfin hasil saringan air kencing serta mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

    “Jumlah dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 100,000 penagih yang dipercayai diedarkan di sekitar Manjung dan kawasan berhampiran.

    “Suspek yang aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERNAMA