Author: Bernama

  • Najib lakukan percubaan terdesak – Pendakwa

    Najib lakukan percubaan terdesak – Pendakwa

    PIHAK pendakwaan mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan percubaan yang terdesak untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd dengan membangkitkan dakwaan tidak berasas terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang tidak dapat membela dirinya sendiri.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang menjawab affidavit sokongan lanjutan permohonan Najib, berkata isu konflik kepentingan membabitkan hakim itu seperti yang didakwa Najib sepatutnya boleh dibangkitkan ketika perbicaraan, tetapi bekas perdana menteri itu memilih untuk tidak berbuat demikian kerana isu berkenaan adalah tidak sah.

    Mohd Nazlan yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, selepas beliau yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi, mendapati Najib bersalah terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Menyentuh mengenai kenyataan Najib berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mohd Nazlan, Mohd Ashrof menegaskan bahawa ia dipenuhi skandal yang bertujuan mencemarkan nama baik Mohd Nazlan sebagai hakim perbicaraan.

    “Pengetahuan Najib  yang dikatakan sebagai pengetahuan peribadi mengenai siasatan SPRM adalah tidak benar kerana SPRM sebagai agensi penguatkuasaan  bebas tidak akan mendedahkan maklumat rahsia berhubung siasatan yang masih berjalan,” katanya.

    Mohd Ashrof berkata demikian bagi menjawab afidavit sokongan lanjutan Najib dalam permohonannya untuk mendapatkan perisytiharan bahawa perbicaraan SRC batal dan tidak sah serta memohon mahkamah menimbangkan supaya diadakan perbicaraan semula.

    Beliau menambah, tiada konflik kepentingan apabila Mohd Nazlan mendengar perbicaraan kes SRC, malah Najib membuat pengakuan bahawa tiada dakwaan rasuah terhadap hakim itu, tetapi hanya sama ada wujudnya konflik kepentingan apabila Mohd Nazlan mendengar perbicaraan kes terbabit.

    Katanya dakwaan pembabitan Mohd Nazlan dalam kapasiti sebelumnya sebagai Ketua Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank dalam pinjaman RM140 juta kepada Puncak Perdana Sdn Bhd dan RM4.17 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak dibuktikan dan sangkaan semata-mata.

    “Dalam apa jua keadaan, keterangan yang didakwa adalah tidak relevan kepada pertuduhan yang dihadapi oleh pemohon (Najib) dalam rayuan ini. Tujuan sebenar (dokumen berhubung dakwaan konflik kepentingan) dikemukakan, iaitu satu dokumen yang tidak bernilai, adalah untuk memburukkan Mohd Nazlan pada pendapat umum sebelum pendengaran permohonan ini,” katanya.

    Pada 8 Dis tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu yang mendorong beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

    Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari bermula 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan terhadapnya.

    — BERNAMA

  • Pelan komprehensif perangi jenayah rentas sempadan, pemerdagangan orang

    Pelan komprehensif perangi jenayah rentas sempadan, pemerdagangan orang

    PELAN komprehensif utama untuk kawalan sempadan akan dilaksana bagi memerangi kegiatan jenayah rentas sempadan termasuk pemerdagangan orang, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Melalui pelan itu, katanya, semua aset agensi keselamatan akan digabungkan bagi membolehkan kawalan di sempadan negara dilakukan dengan lebih baik dan berkesan.

    “Bila kata pelan komprehensif, kita akan tentukan semua aset (agensi keselamatan) yang ada di seluruh negara digabungkan.

    “Selain itu, akan ada agensi sempadan tunggal dan kita akan gunakan teknologi terkini untuk kita kawal orang keluar masuk negara,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Imigresen Tahun 2022 di Putrajaya, hari ini.

    Hamzah berkata demikian ketika mengulas tindakan yang akan dilaksana kerajaan susulan laporan Malaysia kekal pada tahap tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang 2022.

    Dalam laporan tersebut, ia mendedahkan kerajaan gagal mencapai piawaian minimum terhadap usaha menghapuskan pemerdagangan manusia.

    Mengulas laporan itu, Hamzah berkata penilaian laporan itu telah dibuat secara subjektif dan juga mengambil kira pelbagai persepsi mengenai usaha Malaysia dalam menangani pemerdagangan orang.

    “Laporan turut dipengaruhi oleh tindakan seperti golongan majikan dan pekerja yang terlibat dalam persekitaran eksploitasi kerja contohnya melakukan penderaan, menahan pasport, bekerja secara haram, tidak membayar gaji dan tidak menyediakan penginapan yang sesuai,” katanya.

    Hamzah menegaskan, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa mengambil tindakan strategik dan tegas bagi memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia.

    Antara tindakan strategik yang telah dilaksana adalah pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang berkuat kuasa pada 22 Feb lepas serta Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang Tahun 2021-2025 (NAPTIP 3.0).

    “Pemerkasaan kerjasama sedia ada juga dibuat melalui melalui pendekatan seluruh negara dengan pelbagai pemegang taruh di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

    Hamzah berkata, KDN dan MAPO komited untuk memelihara hak mangsa pemerdagangan orang dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau bersubahat.

    “Mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan berdasarkan lunas perundangan sedia ada,” katanya.

    Mengenai Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA, Hamzah berkata beliau terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk pembangkang berhubung penambahbaikan akta tersebut.

    Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul membatalkan keputusan dewan pada 23 Mac lepas yang menolak lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

    Usul yang dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 36(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat itu diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 105 Ahli Parlimen bersetuju manakala 83 tidak bersetuju dan 32 tidak hadir.

    Susulan keputusan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan semula usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) akta berkenaan yang membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini, pada persidangan kali ini. – BERNAMA

  • Ibu didakwa bunuh anak perempuan 11 tahun

    Ibu didakwa bunuh anak perempuan 11 tahun

    SEORANG ibu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membunuh anak perempuannya berusia 11 tahun di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng, Batu Pahat Khamis lepas. 

    Tiada pengakuan direkodkan daripada Sembakavali, 34, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Tertuduh didakwa membunuh N. Maha Letchumi, 11, di sebuah rumah bernombor 21 Jalan Tropika 14, Taman Bukit Tropika, Yong Peng kira-kira pukul 4.55 petang 14 Julai lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman manakala Sembakavali tidak diwakili peguam.

    Nurasidah menetapkan 13 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.

    Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan ditemukan mati dengan kesan jerut di leher dan terdapat kesan luka di dahi, namun tiada kecederaan di bahagian badan mangsa. – Bernama

  • 30 projek bernilai RM100 juta ditangguh

    30 projek bernilai RM100 juta ditangguh

    SEBANYAK 30 projek yang melibatkan kos kira-kira RM100 juta dikenal pasti setakat ini untuk ditangguh pelaksanaannya pada tahun ini.

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia hasil sesi libat urus antara Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kerja Raya (KKR), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Selasa lepas (19 Julai).

    Beliau berkata antara projek itu ialah pembinaan pusat pemprosesan getah bersepadu di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; perolehan peralatan bagi memodenkan bengkel dalam bidang elektrikal serta projek kerjasama pusat latihan teknologi tinggi dengan institusi pendidikan dan latihan di luar negara di bawah Kementerian Sumber Manusia dan projek penyelidikan strategik di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

    “Sesi libat urus ini akan berterusan minggu hadapan, MOF, KKR, EPU, ICU, JKR akan mengadakan pertemuan dengan semua kementerian untuk memastikan mana-mana (projek) yang perlu untuk menjamin kesejahteraan rakyat diteruskan.

    “Setakat ini, cuma 30 projek bernilai kira-kira RM100 juta, tetapi masih lagi diperincikan, akan diteruskan libat urus minggu depan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai berapakah projek yang akan ditangguhkan kerajaan dan jumlah penjimatannya serta sekiranya projek mega akan turut ditangguhkan.

    Mustapa berkata projek seperti MRT Laluan Lingkaran (MRT3), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pan Borneo akan diteruskan seperti dirancang. 

    Mengulas lanjut, beliau berkata projek yang akan ditangguhkan melibatkan projek baharu dan sedia ada yang belum dimulakan proses perolehan dan diiklankan, projek bukan keutamaan yang telah dikenal pasti kecuali projek yang mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat dan projek baharu dan sedia ada yang menghadapi masalah pelaksanaan seperti isu tapak.

    Mustapa berkata projek yang sedang dalam pelaksanaan, telah dikeluarkan iklan tender, Surat Niat dan Surat Setuju Terima akan diteruskan.

    Selain itu, projek yang dibiayai daripada Dana Infra serta semua projek penyelenggaraan yang mustahak dan telah diluluskan juga akan terus dilaksanakan.

    “Ini penting bagi menyokong usaha kerajaan untuk merancakkan pemulihan ekonomi pasca-COVID-19,” katanya.

    Mustapa berkata sejumlah 7,243 projek pembangunan dengan jumlah peruntukan RM75.6 bilion telah diluluskan untuk pelaksanaan bagi tahun ini. 

    Kerajaan dilapor akan mengkaji semula proses perolehan bagi projek yang belum dimulakan untuk mengawal perbelanjaan pembangunan. – Bernama

  • Penghantar makanan mengaku salah hina Islam, didenda RM50,000

    Penghantar makanan mengaku salah hina Islam, didenda RM50,000

    SEORANG penghantar makanan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini setelah mengaku bersalah memuat naik kandungan video menghina agama Islam di saluran media sosial YouTube miliknya pada Sabtu lepas (16 Julai).

    Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nor’ Muzil Mohd Razalli, 39, yang didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi YouTube dengan niat menyakiti hati orang lain pada 11.14 malam, 16 Julai lepas di hadapan Shell, Cyberjaya.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Nor Azizah memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat.

    “Ini kesalahan serius yang dibuat dengan sengaja untuk hina kesucian Islam, Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT. Jika dikenakan hukuman ringan, tertuduh cenderung untuk mengulangi perkara sama.

    “Dalam kes ini, hukuman berat perlu dikenakan setimpal dengan kesalahan. Tertuduh telah menimbulkan kemarahan orang awam apabila terdapat lebih 20 laporan polis malah tertuduh juga diburu orang awam untuk dipukul,” katanya di hadapan Hakim Ahmad Rizki.

    Hakim Ahmad Rizki menasihatkan tertuduh agar menginsafi kesalahan yang telah dilakukan serta bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan sama di masa hadapan.

    Hakim juga berkata Mohd Nor’ Muzil perlu menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Tertuduh ditahan pada 17 Julai lepas untuk direman empat hari bagi membantu polis melengkapkan siasatan berhubung kandungan video terbabit yang tular di media sosial. – BERNAMA

  • Wanita mirip Zalina Azman di kafe adalah gelandangan: Polis

    Wanita mirip Zalina Azman di kafe adalah gelandangan: Polis

    SEORANG wanita yang didakwa mirip bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas disahkan bukan personaliti televisyen itu.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, wanita yang didakwa dilihat di tiga lokasi di Seksyen 3, 9 dan 14, di Shah Alam adalah individu sama iaitu seorang gelandangan.

    “Pihak kami dah semak dengan pekerja kafe tersebut (tular di Twitter semalam) dan dapati yang datang ke kafe berkenaan adalah gelandangan. Bukan Orang Hilang (Zalina) yang dicari ketika ini,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.

    Mohd Iqbal turut mengesahkan hasil semakan pihaknya, tiada individu tampil membuat laporan mengenai isu tersebut.

    “Bagaimanapun, pihak polis mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat sehingga Zalina berjaya ditemui,” katanya.

    Semalam, polis mengesahkan Zalina, 58, masih berada dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.

    Isnin lepas, Mohd Iqbal dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 November tahun lepas. – Bernama

  • Sunak, Truss bersaing rebut jawatan PM UK

    Sunak, Truss bersaing rebut jawatan PM UK

    BEKAS Menteri Kewangan United Kingdom (UK), Rishi Sunak dan Setiausaha Luar, Liz Truss akan bersaing merebut jawatan Perdana Menteri bagi menggantikan Boris Johnson selepas kedua-dua calon mendahului di pusingan akhir, lapor beberapa media tempatan pada Rabu.

    Truss menewaskan Menteri Perdagangan, Penny Mordaunt, dengan kemenangan tipis iaitu 113 undi berbanding 105, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

    Beliau bakal berdepan Sunak, yang menerima 137 undi dalam kalangan Ahli Parlimen Tory.

    Pemenang akan ditentukan menerusi undian dalam kalangan anggota parti Konservatif, menurut laporan itu. – BERNAMA

  • Bas ekspres dua tingkat bawa 25 penumpang terbalik

    Bas ekspres dua tingkat bawa 25 penumpang terbalik

    SERAMAI 25 penumpang dan seorang pemandu sebuah bas ekspres dua tingkat berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di susur Jalan Damansara menuju Bangsar, Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada pukul 12.17 tengah malam dan seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dan Sentul dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak.

    “Bomba bertindak memecahkan tingkap hadapan bas untuk mengeluarkan kesemua 26 mangsa terlibat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Bas berkenaan telahpun dialih pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kesemua mangsa terlibat hanya mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur di sini, bagi menjalani pemeriksaan lanjut. – Bernama

  • Polis siasat Setiausaha Politik ADUN pembangkang Perak

    Polis siasat Setiausaha Politik ADUN pembangkang Perak

    POLIS telah merakam percakapan seorang Setiausaha Politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada sebuah parti pembangkang di Perak berhubung sebuah video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya mengenai isu kenaikan harga minyak masak.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, proses siasatan ke atas lelaki berkenaan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

    “Kita boleh sahkan memang ada siasatan dijalankan oleh pegawai USJT JSJ Bukit Aman dan mereka menggunakan lokasi di IPD Ipoh untuk merakam percakapan subjek (individu),” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh hari ini. – BERNAMA

  • Ikatan persahabatan Johor-Singapura terus kukuh kepentingan rakyat – Sultan Ibrahim

    Ikatan persahabatan Johor-Singapura terus kukuh kepentingan rakyat – Sultan Ibrahim

    Oleh MASSITA AHMAD

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah, lawatan rasmi baginda ke Singapura yang bermula hari ini (20 Julai), bukan sahaja akan terus mengukuhkan hubungan Johor dan republik berkenaan, malah membawa manfaat melalui kerjasama ekonomi demi kepentingan rakyat.

    “Adalah besar harapan saya bahawa lawatan ini akan mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan kerjasama secara berterusan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua pihak,” titah Sultan Ibrahim.

    Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari yang dianjurkan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Istana, sempena lawatan rasmi baginda ke republik itu.

    Berangkat sama mengiringi baginda, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

    Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

    Hadir sama isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.

    Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga berbesar hati atas undangan rasmi daripada Perdana Menteri Singapura dan menghargai kepemimpinan, visi serta aspirasi beliau dalam memajukan serta memakmurkan negara itu.

    “Kerjasama selama bertahun-tahun dan persefahaman erat dengan Singapura dalam pelbagai aspek telah memberi manfaat kepada Johor terutama dalam pembangunan sosioekonominya. Saya juga mendoakan kesihatan anda (Lee) yang baik serta Singapura yang makmur dan sejahtera,” titah Sultan Johor.

    Sementara itu, Lee dalam ucapannya menghargai persahabatan Johor dan Singapura yang terjalin sekian lama, serta turut bersedia untuk terus memperkukuh kerjasama.

    “Saya yakin dengan sokongan Tuanku, hubungan Singapura dan Johor akan terus terpelihara dengan kukuh,” katanya. – BERNAMA