Author: Bernama

  • Penganggur didenda RM2,000 menyamar sebagai anggota polis

    Penganggur didenda RM2,000 menyamar sebagai anggota polis

    GARA-GARA menyamar dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada dua warga asing, seorang penganggur didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini.

    Majistret Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Shyakir Abdullah, 53, yang mengaku bersalah memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada Ramjan dan Mohammad Hossain, kedua-duanya warga Bangladesh di hadapan sebuah rumah di Jalan Union, Sentul, pada 5.30 petang, 13 Julai lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mahkamah turut memerintahkan bapa dua anak itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun Muhammad Shyakir yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja selain perlu menanggung dua anak dan isteri. – Bernama

  • Mati di penjara Kluang: Polis beri jaminan siasatan menyeluruh dilaksanakan

    Mati di penjara Kluang: Polis beri jaminan siasatan menyeluruh dilaksanakan

    POLIS  Johor hari ini memberi jaminan siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan berhubung kematian seorang banduan lelaki di penjara Kluang, bulan lepas.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata hasil siasatan nanti adalah berdasarkan laporan bedah siasat dan patologi, yang menjurus kepada sebab kematian individu berkenaan.

    Justeru, beliau berharap agar orang ramai termasuk ahli keluarga lelaki berkenaan supaya tidak bimbang dengan proses siasatan.

    “Setiap kematian, kita buka kertas siasatan dan siasatan menjurus kepada elemen-elemen lain termasuk (sekiranya ada elemen) pembunuhan.

    “Kalau tiada elemen lain, kematian itu akan diklasikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Seri Alam, Pasir Gudang hari ini.

    Justeru, Kamarul Zaman menasihati agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai sama ada polis akan menjalankan siasatan menyeluruh susulan desakan ahli keluarga lelaki berkenaan semalam untuk mengetahui punca sebenar kematian.

    Pada 28 Jun lepas, Kim Shih Keat telah dijadualkan dibebaskan daripada penjara Kluang selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen, di Johor Bahru, pada 22 Jun lepas.

    Bagaimanapun, keluarga lelaki berkenaan yang dalam perjalanan untuk mengambil Kim, mendakwa mendapat panggilan pada waktu pagi hari yang sama daripada pengurus rumah mayat yang memaklumkan Kim telahpun meninggal dunia.

    Dalam satu sidang media semalam, ahli keluarga kepada Kim memohon agar laporan bedah siasat dan kimia berhubung kematian lelaki berkenaan, dapat didedahkan selewat-lewatnya Jumaat. – Bernama

  • Fasiliti kesihatan diminta peka situasi semasa cacar monyet

    Fasiliti kesihatan diminta peka situasi semasa cacar monyet

    BERIKUTAN pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan cacar monyet kini adalah Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua fasiliti kesihatan agar peka dengan situasi semasa cacar monyet serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata, sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM setakat 23 Julai dan kesemuanya disahkan negatif.

    Beliau berkata, pengembara bukan warganegara hendaklah mengisi pas kembara dalam aplikasi MySejahtera dan pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan cacar monyet akan menerima pop-up mesej kesihatan setiap hari melalui MySejahtera untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan cacar monyet dan status kesihatan.

    “Pengembara yang tiba dari negara terbabit dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan cacar monyet untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia,” katanya.

    Gejala cacar monyet adalah seperti demam, keletihan, ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian tubuh lain, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

    Dalam tempoh 1 Mei 2022 hingga 23 Julai lepas, seramai 531,630 pengembara direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet dan aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan Health Alert cacar monyet kepada kesemua pengembara, katanya.

    “KKM menyeru individu yang mempunyai gejala cacar monyet untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Elakkan daripada kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan,” katanya.

    Khairy berkata, pengendali premis yang menyediakan perkhidmatan melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa dan urutan diminta untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran, serta memastikan pelanggan sihat, tidak mengalami gejala cacar monyet dan tiada ruam makulopapular (ruam kulit).

    Virus cacar monyet boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan ruam atau lesi yang terjadi pada kulit, sama ada lesi yang baharu atau sudah menjadi kuping ataupun cairan daripada lesi tersebut.

    Khairy berkata, KKM telah meningkatkan kapasiti makmal dalam negara daripada dua kepada 12 makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus cacar monyet, iaitu lapan adalah makmal kerajaan dan empat makmal swasta.

    KKM juga mewujudkan survelan sentinel di beberapa klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau lesi kulit selain meningkatkan survelan di pintu masuk antarabangsa negara, katanya.

    Pada 23 Julai, WHO telah mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai PHEIC berdasarkan beberapa faktor antaranya peningkatan mendadak jumlah kes yang dilaporkan oleh negara bukan endemik cacar monyet, selain bukti dan data saintifik berkaitan jangkitan tersebut.

    Pada 17 Jun lepas, sebanyak 2,103 kes cacar monyet dilaporkan berlaku di 42 negara dengan satu kematian.

    Kes cacar monyet pertama kali dilaporkan oleh WHO pada 15 Mei 2022. – BERNAMA

  • Kes Shahrir Samad gagal isytihar RM1 juta mula esok

    Kes Shahrir Samad gagal isytihar RM1 juta mula esok

    PERBICARAAN kes bekas Pengerusi Felda,Tan Sri Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.

    Menerusi semakan sistem mahkamah hari ini, kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin pada jam 9 pagi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi, Mohd ‘Afif Ali dan Natrah Fareha Rahmat manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

    Pada prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa seramai 19 saksi akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan 26 hingga 28 Julai, 8 hingga 11 Ogos, 5 hingga 8 Sept dan 3 hingga 6 Okt ini untuk perbicaraan.

    Shahrir, 72, pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen. Bagaimanapun, beliau memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan pada 21 Mei tahun lepas, permohonan itu dibenarkan.

    Shahrir mengaku tidak bersalah atas tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini ,pada 25 April 2014.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Banjir kilat: 5 penduduk terkorban, 10 cedera

    Banjir kilat: 5 penduduk terkorban, 10 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA lima orang terkorban dan 10 lagi cedera dalam banjir kilat terbaharu di wilayah timur Nangarhar lewat Ahad, lapor Xinhua.

    Banjir itu turut menghanyutkan 320 rumah dan memusnahkan ratusan ekar tanah ladang di ibu kota wilayah Jalalabad dan beberapa daerah di wilayah itu, kata pejabat gabenor wilayah pada Isnin dalam satu kenyataan.

    Satu daripada jambatan utama di laluan yang menghubungkan ibu kota Kabul ke wilayah timur turut dihanyutkan banjir, kata kenyataan itu sambil menambah jalan itu kini ditutup.

    Dua hari lalu, hujan lebat dan banjir kilat turut melanda wilayah Panjshir dan Takhar yang mengakibatkan kerosakan harta benda yang besar di wilayah itu. Bagaimanapun, tiada korban dilaporkan. – BERNAMA

  • Polis sukar kesan pekerja ubah suai rumah Zalina Azman

    Polis sukar kesan pekerja ubah suai rumah Zalina Azman

    POLIS sukar menjejaki pekerja yang membuat kerja pengubahsuaian di rumah bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman ekoran proses tersebut telah lama dijalankan.

    Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata status kewarganegaraan pekerja tersebut juga tidak dapat dipastikan melainkan mereka sendiri tampil ke hadapan untuk membantu siasatan berkenaan Zalina Shaharah atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas.

    “Namun siasatan akan diteruskan merangkumi sudut dijalankan berdasarkan petunjuk baharu. Setakat ini status masih sama, kami tiada petunjuk baharu, Kertas Enkuiri Polis (KEP) akan diteruskan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

    Sebelum ini, polis mempercayai Zalina Shaharah, 58, masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.

    Pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu daripada anaknya Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi. — Bernama

  • Dua penjual didenda miliki karkas babi disembelih tanpa lesen

    Dua penjual didenda miliki karkas babi disembelih tanpa lesen

    DUA penjual daging babi hari ini masing-masing didenda RM4,000 dan RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kerana memiliki karkas babi yang disembelih di rumah penyembelihan tidak berlesen pada Jun lepas.

    Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Oon Kean Wong, 51, dan Kho Eng Phoo, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas kedua-duanya yang dituduh secara berasingan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

    Oon dan Kho masing-masing didakwa memilik 167kg karkas babi dan 261kg karkas babi yang tidak disembelih di rumah penyembelihan diluluskan atau dilesenkan dengan melanggar peruntukan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.

    Oon dituduh melakukan kesalahan itu dalam kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran PMN7112 jenis Toyota Hilux di Lebuhraya PLUS arah selatan menghala ke Bukit Mertajam pada 3.50 pagi, 2 Jun lepas.

    Kho pula dituduh melakukan kesalahan itu dalam sebuah lori bernombor pendaftaran PKF4188 jenis Daihatsu di tepi jalan selepas Plaza Tol Kubang Semang (BKE) menghala ke Kulim pada 2.35 pagi, 2 Jun lepas.

    Mengikut fakta kes, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang telah melakukan operasi dengan merampas kenderaan dan muatan karkas babi kedua-dua OKS dan hasil siasatan mendapati karkas babi itu tidak disembelih di rumah sembelih yang diluluskan atau dilesenkan oleh JPV.

    Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Roziman Awang Tahrin memohon hukuman denda maksimum sebagai pengajaran kepada kedua-dua OKS dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

    Mohd Harith kemudian memerintah kedua-dua tertuduh dilucutkan hak karkas babi itu manakala dua kenderaan akan diserahkan kembali selepas denda dibayar oleh OKS.

    Oon dan Kho masing-masing membayar denda berkenaan. – Bernama

  • Nama Shahril Sufian, bekas pemimpin MCA dicatat dalam lejar UKSB terima sumbangan politik

    Nama Shahril Sufian, bekas pemimpin MCA dicatat dalam lejar UKSB terima sumbangan politik

    MAHKAMAH  Tinggi hari ini diberitahu bahawa Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan, bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Ong Ka Chuan turut diberi sumbangan politik oleh Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

    Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika lejar syarikat tersebut dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) hari ini.

    Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata pihaknya memberi sumbangan politik masing-masing berjumlah RM1.162 juta kepada Shahril Sufian, Chan (RM7.85 juta) dan Ong (RM922,820).

    Beliau berkata kod nama yang digunakan di dalam buku lejar tersebut bagi merujuk ketiga-tiga ahli politik itu adalah ‘S Pat’ untuk Shahril Sufian, Chan (‘Prof’) dan Ong (‘OKC’).

    Ketika ditanya Hamidi, adakah Shahril Sufian rakan baik kepada Wan Badak (bekas Pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani) dan KJ (Khairy Jamaluddin), saksi itu menjawab: “Betul”.

    Hamidi: Dia dibayar setiap bulan daripada lejar itu?

    Tan: Betul.

    Hamidi: Ia untuk dana politik dan pilihan raya umum?

    Tan: Ya.

    Tan juga bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa sumbangan politik kepada Shahril Sufian tersebut kerana Naib Ketua Pemuda UMNO itu mempunyai hubungan baik dengan Wan Quoris Shah dan Khairy.

    Sementara itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong semasa pemeriksaan semula, mengapa tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kenyataan beberapa ahli politik yang menafikan pernah menerima sumbangan politik daripada UKSB, Tan berkata memandangkan wang telah diberikan dan prosiding mahkamah sedang berjalan, beliau tidak berhasrat berbuat demikian.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. – Bernama

  • [VIDEO] Tembakan di taman: 2 maut, 5 cedera

    [VIDEO] Tembakan di taman: 2 maut, 5 cedera

    DUA maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah taman di Los Angeles pada petang Ahad, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa.

    Anggota polis menerima laporan mengenai kejadian tembakan berhampiran padang besbol di Peck Park, pada pukul 3.45 petang waktu tempatan, lapor Jabatan Polis Los Angeles.

    Tujuh mangsa dikejarkan ke hospital tempatan, dan dua daripadanya disahkan meninggal dunia, menurut Jabatan Bomba Los Angeles.

    Polis memaklumkan beberapa senjata api dijumpai di lokasi berkenaan dan dikategori sebagai bahan bukti.

    Bilangan suspek yang terlibat masih belum diketahui, atau insiden itu membabitkan pertempuran antara kumpulan masih disiasat, menurut polis.

    Jabatan Polis Los Angeles telah mengisytiharkan amaran taktikal seluruh bandar selepas kejadian itu.

    Saksi berkata, ratusan orang menghadiri pameran kereta dan melakukan pelbagai aktiviti lain di taman itu sebelum insiden tembakan tercetus, menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri. – BERNAMA

  • Bicara Syed Saddiq: Mahkamah arah pendakwaan serah salinan percakapan saksi utama

    Bicara Syed Saddiq: Mahkamah arah pendakwaan serah salinan percakapan saksi utama

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyerahkan salinan percakapan seorang saksi utama yang dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 kepada mahkamah.

    Ini selepas Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Datuk Azhar Abdul Hamid bersetuju pihak pembelaan berjaya membuktikan terdapat perbezaan dalam keterangan yang direkod oleh SPRM dan keterangan lisan saksi pendakwaan ke-13, bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Rafiq Hakim Razali.

    Azhar berkata perbezaan dalam kedua-dua keterangan tersebut turut diakui oleh pihak pendakwaan.

    “Saya mengarahkan pihak pendakwaan untuk menyerahkan salinan rakaman percakapan saksi Rafiq Hakim untuk penelitian dan pertimbangan sebelum tindakan seterusnya (tindakan mencabar kredibiliti saksi) ditentukan,” kata Azhar.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin kemudian bertanya sama ada salinan percakapan itu perlu diserahkan kepada Yang Arif Hakim sahaja atau diberi juga kepada pihak lain.

    Azhar berkata salinan percakapan perlu diserahkan kepada mahkamah terlebih dahulu untuk penelitian bagi mengesahkan perbezaan yang terdapat dalam keterangan lisan dan rakaman percakapan berkenaan, sebelum permohonan untuk mencabar kredibiliti saksi ditentukan.

    Jumaat lepas, Syed Saddiq yang berdepan dengan tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram, sekali lagi memohon untuk mencabar kredibiliti Rafiq Hakim susulan terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan yang direkod SPRM dan keterangan lisannya di mahkamah, berhubung prosedur pengeluaran RM1 juta daripada akaun bank Armada.

    Peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo berhujah percanggahan itu merujuk kepada masa dan tempat arahan yang didakwa diberikan oleh Syed Saddiq kepada Rafiq Hakim dan Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi untuk mengeluarkan RM1 juta dan tujuan acara kutipan dana di Muar.

    Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahguna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

    Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Azhar bersambung. – Bernama