Author: Bernama

  • Skim subsidi bersasar jimat RM20 bilion perbelanjaan negara

    Skim subsidi bersasar jimat RM20 bilion perbelanjaan negara

    KERAJAAN mampu menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM20 billion setahun melalui pelaksanaan skim subsidi bersasar, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurut Muhyiddin buat masa ini hanya 20 peratus subsidi yang disediakan kerajaan digunakan oleh golongan B40, manakala selebihnya dinikmati oleh golongan yang tidak sepatutnya.

    “Hampir 50 peratus daripada subsidi kerajaan digunakan oleh orang dalam kategori yang berada, orang kaya, kenderaan besar dan macam-macam lagi.

    “Jadi saya fikir asas untuk kerajaan membuat keputusan (skim subsidi bersasar) adalah sangat kukuh, supaya lebih peratusan dapat sampai kepada golongan sasar (B40),” katanya selepas Majlis Perjumpaan MPN Bersama Nelayan Terengganu di Pelabuhan LKIM Cendering, Kuala Terengganu, hari ini.
    Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ronald Kiandee dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim.

    Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan cek bantuan nelayan berjumlah RM20 juta daripada MAFI kepada Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU).

    Ia termasuk bantuan Projek Khas Perumahan Nelayan sebanyak RM14.2 juta; elaun sara hidup (RM4.2 juta) dan dana khas PENENTU (RM1.6 juta).

    Tambah Muhyiddin, hasil penjimatan tersebut boleh disalurkan semula kepada golongan B40 seperti petani dan nelayan, yang sangat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi.

    Bagaimanapun, cara pelaksanaan atau mekanisme agihan perlu diperhalusi dengan teliti oleh kerajaan, bagi memastikan ia benar-benar sampai dan dinikmati oleh golongan sasar.

    “Cadangan ini kita sedang bincang di peringkat MPN dan akan bawa ke kabinet pada masa yang sesuai,” katanya.- Bernama

  • Dua lelaki ditahan disyaki seleweng petrol subsidi

    Dua lelaki ditahan disyaki seleweng petrol subsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak petrol bersubsidi RON95 di sekitar Kangar.

    Pengarah KPDNHEP Perlis, Norazah Jaapar berkata, kedua-dua lelaki tempatan berumur awal 30-an dan 50-an itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Kangar pukul 9.15 pagi semalam.

    “Ketika serbuan, terdapat sebuah kenderaan jenis Proton Persona sedang mengisi minyak RON95 ke dalam kereta itu manakala sebuah lagi kenderaan jenis Proton Saga dilihat selesai mengisi minyak ke dalam tong plastik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Norazah berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati pemilik kereta Proton Persona telah menambah satu unit tangki pada bahagian belakang keretanya yang disyaki mengandungi petrol RON95.

    “Selain itu pasukan serbuan juga menjumpai satu unit tong plastik di dalam kenderaan berkenaan dan tiga unit tong plastik dipercayai berisi minyak RON95 di dalam kereta jenis Proton Saga…hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek melakukan pembelian petrol bersubsidi itu secara tunai,” katanya.

    Beliau berkata, hasil daripada dua tangkapan tersebut, KPDNHEP Perlis telah mengambil tindakan menyita kira-kira 373 liter minyak bersubsidi petrol RON95, empat unit tong plastik, satu unit tangki tambahan dan dua kereta jenis Proton Persona dan Proton Saga dianggarkan berjumlah RM20,804.65.

    “Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta,” katanya.

    Beliau berkata, orang awam disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram tersebut dapat dibanteras sehingga akar umbi. – Bernama

  • KKM mansuh keperluan isi kad pengembara untuk masuk Malaysia

    KKM mansuh keperluan isi kad pengembara untuk masuk Malaysia

    BERKUAT kuasa Isnin ini (1 Ogos), semua pengembara yang memasuki Malaysia tidak perlu lagi mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Kad Pengembara dalam aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Dalam kenyataan hari ini, beliau memaklumkan kelonggaran itu diputuskan berikutan keadaan sistem kesihatan kini berada pada tahap baik dan terkawal serta bertujuan untuk memudahkan prosedur kemasukan pengembara ke negara ini.

    Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mempergiatkan aktiviti pemantauan gejala dalam kalangan pengembara di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) Malaysia.

    “Semasa ketibaan di PMA, sekiranya pengembara dikesan demam melalui pengimbas suhu ataupun didapati tidak sihat melalui rujukan kendiri oleh pengembara, mereka akan dirujuk untuk pemeriksaan semula oleh pihak kesihatan,” katanya.

    Khairy berkata selepas penilaian kesihatan dibuat dan sekiranya disyaki menghidap penyakit berjangkit seperti COVID-19, monkeypox, MERS-CoV atau lain-lain, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

    Justeru, beliau berkata semua pengembara yang baru tiba dari luar negara hendaklah mengamalkan pemantauan status kesihatan kendiri, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan dinasihatkan ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan sekiranya didapati tidak sihat. – BERNAMA

  • Bekas Ketua Pengarah JAKIM Tokoh Maal Hijrah 1444

    Bekas Ketua Pengarah JAKIM Tokoh Maal Hijrah 1444

    BEKAS Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha diumumkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M.

    Menteri Kanan Hal Ehwal Islam Kemboja Datuk Dr Othsman Hassan pula diumumkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Antarabangsa.

    Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan majlis bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

    Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh berkenaan menerima pingat dan sijil penghargaan.

    Othman, 66, yang dilahirkan di Tumpat, Kelantan mendapat pendidikan awal di Maahad Muhammadi Kota Bharu sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam (Syariah) Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1982.

    Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Jakim dari April 2011 hingga 2018 dan Pegawai Atase Agama, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 1992 hingga Jun 1997.

    Sementara itu, Othsman, 68, yang dilahirkan di Kampung Trapaing Chouk, Wilayah Kompong Thom, Kemboja, merupakan tokoh yang dihormati di peringkat nusantara mahupun antarabangsa berikutan sumbangannya dalam pembangunan Islam di Kemboja.

    Beliau kini merupakan Presiden Pusat Islam Phnom Penh (PPIC) dan Naib Presiden Jawatankuasa Pemandu Halal Kemboja.

    — BERNAMA

  • Jangan hina,persenda agama atas nama kebebasan bersuara – Agong

    Jangan hina,persenda agama atas nama kebebasan bersuara – Agong

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya rakyat jangan sesekali memperkecil, menghina dan mempersendakan agama semata-mata atas nama kebebasan bersuara.

    Seri Paduka juga menuntut agar kesucian semua agama dipelihara dan dihormati pada setiap masa.

    “Agama bukanlah merupakan satu perkara untuk bergurau senda dan dijadikan bahan jenaka.

    “Beta khuatir perbuatan sedemikian bakal menyemarakkan api perkauman dan meruntuhkan ikatan perpaduan antara semua kaum yang telah terbina semenjak sekian lama,” titah baginda sempena majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1444H/2011M dan majlis bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini malam ini.

    Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Majlis itu juga dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad serta Jemaah Menteri.

    Mengambil keberkatan kedatangan tahun baharu Hijrah ini, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat untuk memelihara nikmat dan rahmat negara yang merdeka dan berdaulat ini.

    “Semoga Allah SWT menyinari hati dan sanubari kita dengan semangat perdamaian, menghindari dari sifat-sifat yang boleh mengundang perpecahan dan melindungi negara yang disayangi ini dari sebarang musibah dan bahaya,” titah Seri Paduka.

    Al-Sultan Abdullah bertitah sesuai dengan tema sambutan Ma’al Hijrah tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’, peristiwa Hijrah Rasullullah SAW perlu dijadikan panduan untuk membina sebuah negara yang stabil dan gemilang.

    Seri Paduka bertitah susulan daripada peristiwa agung itu, telah lahir sebuah negara Islam yang menjadi titik tolak perkembangan dan penyebaran agama Islam ke seluruh dunia.

     Al-Sultan Abdullah bertitah pembinaan Madinah, merupakan realiti sebenar perpaduan dan kesatuan masyarakat majmuk sebuah negara Islam yang paling berjaya dalam sejarah politik dunia.

    “Kesatuan tersebut berjaya dicapai menerusi kesepakatan semua kaum dan agama untuk hidup bernaung di bawah pemerintahan yang berteraskan kepada Piagam Madinah,” titah Seri Paduka.

    Justeru, Al-Sultan Abdullah bertitah usaha hendaklah dirangka, supaya seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup bersatu padu, aman dan makmur bernaung di bawah Raja Pemerintah yang berdaulat dan menjulang prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan.

    Menghayati sirah Rasullulah SAW, Seri Paduka bertitah kesatuan sebuah masyarakat majmuk boleh dicapai dengan menghormati dan memahami kepelbagaian yang sedia.

    Yang di-Pertuan Agong bertitah tuntutan hijrah pada hari ini bukan hanya bermaksud perpindahan tetapi ia melibatkan transformasi minda bagi membentuk budaya hidup berteraskan kepada moral dan etika.

    “Sebenarnya sifat berburuk sangka, iri hati dan sentiasa mencari kesalahan orang lain adalah merupakan sifat tercela yang dimurkai oleh Allah SWT.

    “Sifat-sifat ini membawa kesan-kesan negatif yang boleh mengaburi prinsip keadilan dan kesaksamaan sehingga akhirnya meruntuh serta memecah belah kesatuan ummah dan menghapuskan sejarah tamadun negara,” titah Seri Paduka.

    — BERNAMA

  • Detik mencabar Muhyiddin tangani pandemik dibukukan

    Detik mencabar Muhyiddin tangani pandemik dibukukan

    YANG  Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini melancarkan buku bertajuk “Muhyiddin Yassin: Leading A Nation In Unprecedented Crisis” tulisan bekas Pengerusi Media Prima Berhad Datuk Abdul Mutalib Razak.

    Buku biografi itu mengabadikan detik mencabar dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil alih tampuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri kelapan ketika pandemik COVID-19 melanda.

    Abdul Mutalib berkata antara kandungan buku itu ialah cabaran yang dihadapi Muhyiddin dan Kabinetnya terutama ketika seluruh dunia belum memahami sepenuhnya impak COVID-19.

    Katanya buku itu turut mengupas cabaran mendepani pandemik COVID-19 termasuk usaha mendapatkan vaksin, kesan terhadap ekonomi akibat pandemik dan kemelut politik yang dihadapi Muhyiddin.

     “Ketika saya mula mengumpul pasukan editorial untuk buku ini pada Jun 2020, ia adalah berdasarkan catatan peristiwa secara langsung, tetapi kemudiannya krisis ini menjadi begitu besar dari pelbagai sudut, mengambil masa yang lama untuk menghasilkan biografi selengkap ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku tersebut.

    Turut hadir Muhyiddin serta isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

  • Polis kesan tiga individu disyaki dera kanak-kanak

    Polis kesan tiga individu disyaki dera kanak-kanak

    POLIS sedang mengesan seorang lelaki dan dua wanita bagi membantu siasatan berkaitan kes dera melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jempol, dipercayai sejak Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata mereka ialah R.Guna Silan, 42, K.Nagamah, 41 dan G.Nisha, 21, masing-masing beralamat di Taman Seri Mahsan, Jempol yang juga merupakan bapa dan ibu saudara serta sepupu mangsa.

    “Mangsa dijaga oleh individu berkenaan dengan upah sebanyak RM300 sebulan kerana ibunya bekerja di Johor. Hasil siasatan mendapati terdapat kesan dera seperti melecur, lebam, parut dan kecederaan lain pada keseluruhan badan mangsa.

    “Kejadian ini dipercayai bermula pada 26 Mei lepas sehingga mangsa diselamatkan oleh ibu saudaranya yang lain sebelum ibunya membuat laporan polis pada 10.54 pagi, Rabu lepas. Ketiga-tiga suspek dipercayai telah menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kanak-kanak itu kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Jempol. 

    Hoo berkata polis telah menubuhkan pasukan khas untuk mengesan ketiga-tiga individu berkenaan bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan. – Bernama

  • Edar dadah: Mahkamah rayuan kekal hukuman gantung dan penjara terhadap kelindan lori

    Edar dadah: Mahkamah rayuan kekal hukuman gantung dan penjara terhadap kelindan lori

    SEORANG kelindan lori gagal dalam usaha untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati atas kesalahan mengedar 83.03 gram Methamphetamine empat tahun lepas setelah Mahkamah Rayuan menolak rayuannya.

    M. Santanasamy, 45, juga tidak berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan sebatan rotan yang dikenakan terhadapnya atas dua lagi pertuduhan memiliki dadah.

    Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk Kamaludin Md Said, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak rayuan Santanasamy.

    Kamaludin berkata terdapat banyak bukti yang menunjukkan Santanasamy mempunyai jagaan dan kawalan dadah tersebut.

    Beliau berkata sabitan Santanasamy adalah selamat dan menolak rayuannya.

    Santanasamy mempunyai satu lagi peluang untuk merayu iaitu di Mahkamah Persekutuan.

    Dia dituduh di Mahkamah Tinggi bersama K. Thierruselvan dan S. James atas pertuduhan mengedar 83.03 gram Methamphetamine, memiliki 7.48 gram ganja dan 10.13 gram heroin.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Sri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kira-kira pukyl 11.40 pagi, 14 Feb 2018.

    Pada 14 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan Santanasamy atas kesalahan mengedar dan menjatuhkan hukuman mati.

    Dia juga didapati bersalah dan dijatuhi hukuman 11 tahun dan 10 sebatan kerana memiliki ganja dan dua tahun penjara kerana memiliki heroin.

    Mahkamah Tinggi bagaimanapun melepas dan membebaskan Thierruselvan, 38, dan James, 43, atas kesalahan mengedar dan memiliki ganja.

    Mereka telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana memiliki heroin. Mereka tidak merayu ke Mahkamah Rayuan.

    Peguam S.S Ruban mewakili Santanasamy manakala Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa dan Wong Poi Yoke untuk pendakwaan.–Bernama

  • Taktik guna kebun sayur untuk tanam ganja terbongkar

    Taktik guna kebun sayur untuk tanam ganja terbongkar

    TAKTIK lima individu menggunakan kebun sayur untuk menyembunyikan kegiatan penanaman ganja mereka di Sungai Bidut, Sibu, Sarawak terbongkar dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sibu Rabu lepas.

    Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata kelima-lima individu berumur 29 hingga 59 tahun itu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing.

    Beliau berkata polis turut merampas 34 pokok ganja berketinggian antara 0.6 meter dan 2.13 meter dianggarkan bernilai RM56,346 pada serbuan antara 7.30 pagi hingga 3.30 petang itu.

    “Sebuah kereta bernilai RM40,000 yang digunakan suspek disita di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya pada sidang media, hari ini.

    Menurutnya, kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hanya lelaki tempatan berkenaan didapati positif terhadap dadah jenis tetrahydnocarrabinol.

    Mancha berkata kesemua mereka direman dua hari bermula semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki tempatan itu turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana mengambil dadah.–Bernama

  • Kes Batu Puteh: Bantahan lantikan Apandi sepatutnya dibuat awal – Wan Junaidi

    Kes Batu Puteh: Bantahan lantikan Apandi sepatutnya dibuat awal – Wan Junaidi

    SEBARANG bantahan mengenai kedudukan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sewajarnya dibangkitkan lebih awal untuk perhatian kerajaan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tiada isu berbangkit berkaitan keputusan Jemaah Menteri pada 29 Okt 2021 untuk melantik Mohamed Apandi sebagai Pengerusi PPK memandangkan pertimbangan sewajarnya telah dilaksanakan terhadap keputusan menubuhkan pasukan petugas itu.

    Katanya beliau dan PPK mengambil maklum pendirian bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meneruskan sesi temu bual saksi bersama Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara, semalam.

    Wan Junaidi berkata ini selaras dengan kenyataan Dr Mahathir untuk tidak memberikan kerjasama selagi Mohamed Apandi masih bertindak sebagai Pengerusi PPK.

    “PPK hanya ingin mendengar dan mendapatkan pandangan mengenai situasi pada 2018 apabila kerajaan menarik balik rayuan kes ini di International Court of Justice (ICJ). Tun (Dr Mahathir Mohamad) sedia maklum pelantikan Pengerusi PPK dan beliau (Dr Mahathir) sebenarnya boleh menolak untuk hadir ke sesi pagi (semalam) di Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Junaidi berkata keputusan Dr Mahathir itu amat mengecewakan selain mengejutkan panel penemubual dan perkara-perkara yang sepatutnya dapat dikongsikan bekas Perdana Menteri itu tidak dapat diperoleh PPK.

    Menurutnya, PPK dilantik dengan tujuan spesifik meninjau dan mengkaji opsyen-opsyen perundangan untuk Malaysia serta menyiasat berkaitan penarikan rayuan kes itu di ICJ pada 2018.

    “PPK telah menjalankan tugas selama tujuh bulan sehingga laporan interim dan laporan akhir siap, serta sedang menyediakan tindakan susulan.

    “Adalah mustahil untuk saya bertindak sewenang-wenangnya tanpa sebarang justifikasi bagi mengeluarkan Mohamed Apandi sebagai pengerusi
    apabila Jemaah Menteri membuat keputusan berkaitan pelantikan beliau,” katanya.

    Menteri itu menegaskan PPK tetap meneruskan komitmen dan tanggungjawab menghasilkan laporan akhir seperti yang dirancang selaras dengan tujuan penubuhannya untuk meneliti hala tuju berhubung kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. – Bernama