Author: Bernama

  • MAFI arah operasi tunda kereta di MAEPS dihenti serta merta

    MAFI arah operasi tunda kereta di MAEPS dihenti serta merta

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengarahkan pihak pengurusan acara Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 untuk menghentikan semua operasi tunda kereta di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang berkuat kuasa serta merta.

    MAFI mengeluarkan kenyataan mengenainya hari ini susulan laporan media berkenaan kereta pengunjung ditunda dan disaman RM100 tanpa notis di MAHA 2022 semalam.

    Menurut MAFI, operasi tunda kereta dibuat bagi memastikan aliran trafik dan lalu lintas berjalan dengan lancar, serta membantu kelancaran sistem parkir di setiap kawasan parkir dalam MAEPS bagi mengelakkan aliran trafik menjadi sesak apabila terdapat kenderaan yang menghalang kenderaan lain.

    MAFI  berkata kenderaan awam perlu diletakkan di tempat yang disediakan dan terdapat 5,000 lot parkir kereta disediakan di Laman Tiba 1 dan 3,500 lot parkir di Laman Tiba 2 bagi kemudahan pengunjung.

    “Pengunjung turut dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan bagi mengelak sebarang kesulitan kepada pengguna jalan raya dan menyebabkan kesesakan,” katanya.

    MAHA 2022 dianjurkan selama 11 hari bermula 4 Ogos lepas, menyaksikan penyertaan lebih 1,500 reruai pempamer, dengan sasaran lebih sejuta pengunjung dan RM250 juta potensi nilai jualan.

    Setakat semalam, jumlah pengunjung MAHA 2022 yang direkodkan adalah seramai 404,000 orang.- BERNAMA

  • Kes ahli politik disyaki cederakan individu diserah kepada Pejabat Timb. Pendakwa Raya

    Kes ahli politik disyaki cederakan individu diserah kepada Pejabat Timb. Pendakwa Raya

    POLIS telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes melibatkan seorang ahli politik yang dipercayai mencederakan individu yang membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atasnya.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kertas siasatan kes berkenaan telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (menyebabkan cedera menggunakan senjata atau benda Berbahaya).

    “Kita telah serahkan kertas siasatan pagi tadi dan sedang menunggu bila individu ini akan dituduh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Beh berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sejak tengah malam Sabtu bagi membantu siasatan kes.

    Pada Jumaat, seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun luka di pergelangan tangan kiri dengan kedalaman tiga sentimeter selepas ditoreh oleh suspek pada 4 petang di Jalan Ipoh, di sini.

    Siasat polis mendapati kejadian berlaku akibat perselisihan faham berikutan mangsa telah membuat aduan berhubung kesalahan penyelewengan wang suspek kepada SPRM- BERNAMA

  • Putrajaya bermandikan cahaya warna Jalur Gemilang hingga 16 September

    Putrajaya bermandikan cahaya warna Jalur Gemilang hingga 16 September

    BAGI menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dan Hari Malaysia tahun ini, ikon menarik terutamanya bangunan dan jambatan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, Putrajaya akan disinari limpahan cahaya lampu yang bertemakan empat warna Jalur Gemilang hingga 16 Sept depan.

    Pengarah Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj) Norzita Abdul Razak dalam kenyataan berkata program Pencahayaan Malam PPj yang bermula sejak 1 Ogos lepas memaparkan semangat perayaan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

    Beliau berkata pencahayaan di bangunan kerajaan dan komersial itu akan berlangsung dari 7 malam hingga 12 tengah malam setiap hari, termasuk hujung minggu dan cuti umum. 

    “Pencahayaan  fasad bangunan di Putrajaya ini melibatkan tiga kategori iaitu lampu LED, pencahayaan warm white (lampu kuning) dan pencahayaan dalaman,” katanya. 

    Menurut Norzita, lampu LED berkonsepkan Jalur Gemilang dinyalakan di Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Hotel Zenith, Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, dan pancuran air di Presint 1.

    — LAGI

    PENCAHAYAAN-PUTRAJAYA 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR 

    Pencahayaan lampu kuning pada fasad bangunan pula melibatkan semua bangunan kerajaan, komersial dan struktur di Putrajaya, katanya.

    Beliau berkata pencahayaan dalaman (internal lighting) berkonsepkan ‘lantern’ melibatkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU). 

    Mengenai pemasangan Jalur Gemilang, Norzita berkata PPj sudah mula mamasang sebanyak 4,400 Jalur Gemilang di tiang-tiang lampu, taman-taman awam serta premis milik PPj seperti kompleks kejiranan, medan selera, dewan dan perpustakaan sejak 15 Julai.

    Menurut Norzita sebanyak 11,200 Jalur Gemilang telah diserahkan kepada enam sub zon Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP Putrajaya), 70 persatuan penduduk dan 27 sekolah di Putrajaya, pada bulan lepas. 

    Pada 30 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 dengan menyertai 15,000 Keluarga Malaysia dalam program “Berjalan Teguh Bersama” sejauh 2.7 kilometer di Putrajaya. 

    Sambutan Hari Kebangsaan secara fizikal pada 31 Ogos ini yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka ibu negara, pastinya dinanti-nantikan ramai selepas dua tahun tidak diadakan ekoran pandemik COVID-19. – BERNAMA

  • Ajal ketika daki Gunung Kinabalu

    Ajal ketika daki Gunung Kinabalu

    SEORANG lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Kinabalu di Kundasang, Ranau, hari ini.

    Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa yang berusia 51 tahun ditemukan malim gunung di KM 3.2 laluan pendakian.

    “Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) menerima panggilan kecemasan pada 1.23 tengah hari lalu 12 pegawai dan anggota digegaskan ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

    Lelaki itu diberikan bantuan pernafasan menerusi tindakan awal oleh pasukan MOSAR, anggota Taman-Taman Sabah dan malim gunung sebelum dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robertson.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada 4.30 petang,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Letupan bom di Narathiwat, seorang maut dua cedera

    Letupan bom di Narathiwat, seorang maut dua cedera

    SEORANG orang awam maut manakala dua lagi cedera dalam satu insiden letupan bom di Narathiwat, selatan Thailand, hari ini. 

    Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mej. Jen. Pol. Waesamae Salae berkata dalam insiden kira-kira 8.30 malam (waktu tempatan) pada Sabtu, mangsa yang terbunuh berteduh di sebuah pondok berdekatan sebuah pos kawalan bersama isterinya yang turut cedera dalam kejadian itu.

    “Sebutir bom buatan sendiri seberat 20  kilogram yang dipasang pada tong gas dan diletakkan di atas sebuah motosikal yang diubahsuai dan ia diaktifkan menggunakan walkie-talkie.

    “Kekuatan letupan  dan serpihan bom menyebabkan lelaki  berusia 74 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, 57 tahun, cedera parah,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini. 

    Selain itu, beliau berkata seorang lelaki, 56,  berada dalam sebuah rumah berdekatan  turut cedera apabila terkena bumbung rumah yang runtuh akibat kekuatan letupan bom. 

    “Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di hospital” katanya.- BERNAMA 

  • Elak sorok, catut minyak masak – Annuar

    Elak sorok, catut minyak masak – Annuar

    PIHAK yang terlibat secara langsung dalam ekosistem pengeluaran dan penjualan minyak masak diminta agar tidak menyorok atau mencatut produk itu berikutan penetapan harga maksimum pada RM34.70 bagi botol lima kilogram yang berkuat kuasa esok.

    Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu pada akhirnya akan merugikan peniaga dan peruncit selain mendatangkan masalah kepada pengguna.

    “Jangan kerana harga minyak akan turun, kita mula sorok barang. Ia tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyorok produk itu ketika ia dijual pada harga murah sekali gus mengundang kegusaran bekalan minyak masak menjadi terhad di pasaran.

    Annuar turut mengingatkan mereka agar tidak terlibat dalam aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang dan meminta semua pihak mematuhi keputusan kerajaan apabila sesuatu barangan atau komoditi dimasukkan dalam senarai harga maksimum.

    Beliau juga berkata impak positif kerjasama rentas agensi terserlah apabila terdapat pasar raya yang mula menurunkan harga bagi minyak masak botol tidak bersubsidi walaupun penetapan harga siling bagi produk itu berkuat kuasa esok.

    “Setakat ini, saya berpuas hati kerana selepas pengumuman harga maksimum untuk minyak masak, belum sampai 8 Ogos ramai sudah turunkan harga lebih rendah daripada RM34.70.

    “Semalam saya di Melaka, ayam dijual pada harga RM7.99 sekilogram biarpun harga siling RM9.40. Maknanya kita boleh buat (turunkan harga) tapi perlukan kerjasama semua pihak,” katanya. 

    Kerajaan sebelum ini memutuskan bahawa harga minyak masak sawit tulen tidak bersubsidi dalam botol lima kilogram ditetapkan pada RM34.70 yang berkuat kuasa esok dan harga minyak masak akan ditetapkan setiap bulan menerusi pengumuman oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

    Mengenai MAHA2022, Annuar berkata tumpuan beliau adalah terhadap aspek teknologi dan aplikasi digital dalam bidang pertanian yang memainkan peranan penting sebagai langkah menjamin sekuriti makanan bagi tempoh jangka panjang.

    Katanya kerajaan akan terus menggalakkan petani agar mengaplikasi elemen teknologi dalam bidang pertanian memandangkan digitalisasi semakin dijadikan keutamaan dalam semua aspek.- BERNAMA

  • Peras ugut pasangan kekasih didakwa berkhalwat, dua polis bantuan ditahan

    Peras ugut pasangan kekasih didakwa berkhalwat, dua polis bantuan ditahan

    DUA anggota polis bantuan di sebuah pusat beli belah di sini ditahan semalam selepas dipercayai terlibat dalam kes memeras ugut sepasang kekasih yang didakwa berkhalwat.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kedua-dua suspek, masing-masing berusia 25 dan 32 tahun, ditahan pada 9 malam susulan laporan yang dibuat oleh mangsa, 25.

    Beliau berkata dalam insiden pada Jumaat lepas, pasangan kekasih itu, yang dipercayai berkhalwat di belakang bangunan pusat beli belah tersebut dalam sebuah kereta pada 10 malam, telah didatangi kedua-dua suspek yang meminta RM500 sebagai ganjaran agar mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang.

    “Memandangkan pengadu tidak mempunyai wang tunai mencukupi, kedua-dua individu telah memintanya menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) beserta nombor pin untuk mengeluarkan sendiri wang tersebut di mesin ATM.

    “Setelah itu pengadu dilepaskan namun pengadu telah menerima pesanan ringkas melalui telefon bimbit daripada pihak bank bahawa ada pengeluaran wang sebanyak RM1,000 dari akaunnya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Raub berkata susulan penahanan kedua-dua suspek, pihaknya turut merampas wang tunai sebanyak RM1,000.

    Beliau berkata mereka ditahan reman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323 atau Pegawai Penyiasat Kanan S.Sivakumaran di talian 019-512 7410.- BERNAMA

  • Siasat status kumpulan percaya Imam Mahdi muncul di Mekah

    Siasat status kumpulan percaya Imam Mahdi muncul di Mekah

    PIHAK berkuasa telah diarahkan supaya menyiasat status dan keberadaan kumpulan dianggotai rakyat tempatan yang berkumpul di Tanah Suci Mekah, kerana mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada Hari Arafah sebelum ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata pihak Konsulat Tabung Haji (TH) Malaysia di Jeddah, telah diarahkan memulakan siasatan terhadap kumpulan itu termasuk pemimpinnya Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, yang dipercayai masih berada di sana.

    “Kita harap selepas ditangkap, mereka akan dikenakan tindakan dan seterusnya dihantar pulang kerana ini semua mengarut,” katanya selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Parti Islam Semalaysia (PAS) negeri, di Bukit Merah Laketown Resort hari ini.

    Menurutnya orang awam dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dan melakukan semakan dahulu, sebelum menyertai apa-apa Tarekat (pengamalan).

    “Kalau mahu menyertai Tarekat, saya harap orang awam selidik dahulu guru tersebut. Jika ingin mengaji, syaratnya perlu mencari guru yang Mursyid, iaitu mempunyai ilmu dan beramal dengan ilmu yang dipelajarinya,” tambahnya.

    Dilapor, beberapa kepercayaan yang terpesong termasuk mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lepas, antara pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Labu, Negeri Sembilan yang telah ditutup selama enam bulan.

    Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dilapor berkata berdasarkan maklumat, pemimpin pusat itu iaitu Habib Shah Firdaus Habib Ahmad bersama kira-kira 300 pengikutnya, telah ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah selain menantikan kemunculan Imam Mahdi pada Hari Arafah dan kini Awal Muharram.- BERNAMA

  • Tentera Laut AS serah pesawat pertama CN-235 dinaiktaraf kepada TUDM

    Tentera Laut AS serah pesawat pertama CN-235 dinaiktaraf kepada TUDM

    TENTERA Laut Amerika Syarikat (AS) telah menyerahkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pesawat pengangkut CN-235 pertama daripada tiga pesawat jenis itu yang diubah suai kepada pesawat rondaan maritim.

    Penyerahan pesawat pertama itu dibuat hanya tiga tahun setengah selepas AS menandatangani Surat Tawaran dan Penerimaan untuk mula meningkatkan keupayaan dan kerjasama antara tentera AS dan Malaysia.

    Dalam satu kenyataan, Tentera Laut AS memaklumkan usaha itu dibuat melalui program Meningkatkan Kapasiti Rakan Kongsi Tentera Laut Amerika Syaikat, sejajar dengan Inisiatif Keselamatan Maritim kerajaan AS.

    Inisiatif itu bertujuan membantu kerajaan Malaysia dalam meningkatkan keselamatan maritim dan kesedaran domain maritim dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

    “Program CN-235 Malaysia akan meningkatkan keupayaan perisikan, pengawasan dan tinjauan Malaysia,” kata Pengarah bagi Kerjasama Keselamatan Markas Sistem Udara Tentera Laut, Ron Weinberger.

    Ia secara langsung akan menyokong usaha Malaysia dan AS untuk memastikan keselamatan global di rantau Markas Indo-Pasifik, katanya.

    Pesawat CN-235 di bawah projek itu diterbangkan ke Indonesia untuk fasa ujian pada September 2020, dengan penerbangan sulung dilakukan pada Oktober 2021.

    Kerja-kerja menyiapkan dua lagi pesawat CN-235 untuk TUDM dan beberapa stesen darat diteruskan serta dijangka siap sepenuhnya pada 2022, menurut kenyataan itu.

    CN-235 adalah pesawat pengangkut jarak sederhana menggunakan enjin berkembar yang dihasilkan syarikat aeroangkasa Indonesia PT Dirgantara dan Construcciones Aeronáuticas SA dari Sepanyol.- BERNAMA

  • Peguam Negara pengerusi jawatankuasa siasat insiden KLIA libat pegawai tinggi kerajaan

    Peguam Negara pengerusi jawatankuasa siasat insiden KLIA libat pegawai tinggi kerajaan

    SATU Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan insiden melibatkan seorang pegawai tinggi kerajaan dan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa hari lepas.

    Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata jawatankuasa ini yang dipengerusi Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, akan bersidang secepat mungkin bagi menyiasat insiden yang dilaporkan berlaku pada 3 Ogos lepas.

    Menurutnya jawatankuasa berkenaan dianggotai Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki.

    “Jawatankuasa ini bertanggungjawab mengendalikan siasatan secara terperinci bagi memberi pengadilan sewajarnya kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khamis lepas, seorang pegawai Imigresen yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen di KLIA dilapor dimarahi di khalayak ramai kerana tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP sewaktu ketibaan pegawai tinggi kerajaan itu di bilik berkenaan.- BERNAMA