Author: Bernama

  • 84 PATI ditahan: Penempatan dalam kontena, parti persendirian diserbu JIM

    84 PATI ditahan: Penempatan dalam kontena, parti persendirian diserbu JIM

    SEBUAH penempatan pendatang tanpa izin (PATI) di dalam kontena tiga tingkat di Brickfields, diserbu Jabatan Imigresen (JIM), Sabtu lepas.

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata seramai 294 warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal diperiksa dalam serbuan pada 11.30 malam itu dengan 59 daripadanya ditahan.

    “Antara kesalahan dilakukan adalah tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah serta peserta Program Rekalibrasi yang ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khairul Dzaimee berkata dalam serbuan ke atas satu parti persendirian di Bukit Bintang pada 9.30 malam hari sama pula, pihaknya menahan 25 warga asing kerana tidak memiliki dokumen yang sah, pas tamat tempoh dan salah guna pas, hasil pemeriksaan terhadap 171 warga asing.

    Beliau berkata parti itu dianjurkan oleh warga tempatan dengan petugas majlis, artis persembahan, pelayan dan tetamu terdiri dalam kalangan warga asing.

    “Siasatan mendapati setiap tetamu dikenakan yuran masuk sebanyak RM150 secara dalam talian dan lokasi parti hanya akan dimaklumkan pada hari terakhir kepada tetamu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    “Parti ini menghidangkan minuman keras dan persembahan yang mencolok mata serta mereka yang membuat persembahan dan tetamu terdiri daripada warga asing yang memegang pas pelajar asing,” katanya.

    Menurutnya, beberapa individu warga tempatan termasuk penganjur majlis dan majikan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

    Katanya, kesemua 84 pendatang tanpa izin berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang ditahan dalam dua serbuan itu dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.- BERNAMA

  • 45.2 peratus warga asing pengguna bas percuma KL

    45.2 peratus warga asing pengguna bas percuma KL

    DIANGGARKAN 45.2 peratus penggunaan perkhidmatan bas percuma GoKL adalah oleh warga asing, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

    Justeru beliau tidak menolak kemungkinan untuk mencadangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan bayaran terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan awam tersebut. 

    “Mereka mengguna perkhidmatan ini secara pecuma. Kalau kita kutip RM1 sahaja untuk setiap penggunaan oleh warga asing ini, kita boleh kutip RM9.2 juta pada setiap bulan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu jumlah warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL dan adakah pihak kerajaan merancang mengenakan caj kepada warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma itu pada masa hadapan.

    Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mengenai punca rakyat tempatan tidak menggunakan pengangkutan awam di ibu kota, Jalaluddin berkata antara sebab utama adalah ketersambungan jajaran batuan awal dan akhir masih belum memuaskan.

    Selain itu, katanya pengguna jalan raya mendakwa tempoh masa menggunakan kenderaan sendiri adalah lebih singkat berbanding menggunakan pengangkutan awam.

    “Batuan awal antara kediaman pergi ke tempat bermula pengangkutan awam dan ke hentian akhir stesen pengangkutan awam ke pejabat, ini yang kita kena naik taraf dan dimasukkan dalam pelan jangka panjang DBKL,” katanya. – BERNAMA

  • CAP gesa haramkan rumput tiruan, mudaratkan alam sekitar dan kesihatan

    CAP gesa haramkan rumput tiruan, mudaratkan alam sekitar dan kesihatan

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengharamkan rumput tiruan kerana didakwa tidak baik untuk alam sekitar dan boleh memudaratkan kesihatan.

    Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, rumput plastik adalah trend yang semakin berkembang pesat dan biasa digunakan di kawasan kediaman, bangunan dan kawasan rekreasi awam.

    Namun jelae beliau, terdapat kekurangan kesedaran mengenai risikonya dalam kalangan orang ramai yang mana rumput tiruan boleh menyumbang kepada bencana banjir kerana tidak menyerap air.

    Selain itu katanya, rumput tiruan juga boleh memusnahkan mikroorganisma di dalam tanah di bawah rumput yang membahayakan tumbuhan di sekelilingnya sekali gus menghalang kepelbagaian biologi.

    “Rumput tiruan dibuat dengan mengikat beberapa jenis plastik bersama-sama dan disebabkan itu amat sukar untuk dikitar semula.

    “Ia mewujudkan penggunaan plastik yang tidak perlu yang tidak terbiodegradasi, menambah lagi beban kepada sektor sisa dan apabila terurai, ia membebaskan zarah plastik ke dalam alam sekitar menjadikannya toksik kepada manusia dan hidupan liar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

     
    Menurut beliau, Persatuan Hortikultur Diraja (RHS) di United Kingdom (UK) baru-baru ini mengharamkan rumput tiruan daripada pertunjukan bunga yang terkenal di dunia atas sebab alam sekitar.

    Malah katanya, Kerajaan UK kini digesa memperkenalkan “Cukai Kerosakan Ekologi” ke atas import, penjualan dan pemasangan rumput tiruan dan rumput untuk menangani masalah itu.

    “Rumput plastik juga mengeluarkan haba yang mana Majlis Bandaraya Adelaide (ACC) melarang penggunaan rumput tiruan di bahu jalan pada 2019 kerana bimbang dengan pemanasan bandar dan tapak pelupusan.

    “Menurut laporan ACC, suhu permukaan rumput tiruan adalah lebih tinggi daripada permukaan lain, termasuk asfalt dan jauh lebih tinggi daripada rumput semula jadi,” katanya.

    Selain itu tambah beliau, rumput palsu juga telah mendapat perhatian sebagai sumber berpotensi toksin penyebab kanser kerana dikesan mempunyai bahan kimia beracun.

     “Bahan dalam isiannya (material yang digunakan untuk menghasilkan rumput tiruan) boleh mengandungi benzena, karbon hitam dan plumbum yang mana semuanya berkait dengan kanser,” katanya.

  • Warga emas rentung, isteri melecur kebakaran sebuah rumah

    Warga emas rentung, isteri melecur kebakaran sebuah rumah

    SEORANG warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Kesang Laut, Kampung Kesang Laut dekat Tangkak semalam.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz  berkata kejadian berlaku kira-kira 7.08 malam ketika mangsa Ab Karim Md Aroff, 93, bersama isteri Jibah Md Hussin, 87, berada di dalam rumah mereka.

    Beliau berkata 19 anggota dan aset dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu.

    “Bagaimanapun setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kebakaran yang berlaku di sebuah rumah jenis separuh kekal itu telah dipadamkan oleh orang awam dan kebakaran memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan rumah,” katanya menerusi kenyataan.

    Beliau berkata isteri mangsa yang  mengalami kecederaan melecur sebanyak 30 peratus dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Rafiah berkata setakat ini punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.- BERNAMA

  • Zahid minta UKSB beri sumbangan politik kepada UMNO – pegawai SPRM

    Zahid minta UKSB beri sumbangan politik kepada UMNO – pegawai SPRM

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meminta syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) menghulurkan bantuan kewangan sebagai sumbangan politik kepada UMNO.

    Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) V. Mahendran, 38, berkata permintaan Ahmad Zahid itu dibuat semasa dua bekas pengarah UKSB iaitu Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani yang masing-masing merupakan saksi pendakwaan ke-15 dan 16 hadir ke kediaman presiden UMNO itu di Country Height, Kajang.

    Beliau berkata ketika itu Ahmad Zahid adalah Menteri Dalam Negeri yang mempunyai kuasa dan pengaruh yang besar dalam merangka dasar dan hala tuju kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya.

    “UKSB bersetuju untuk memberi bantuan sumbangan politik bagi tujuan untuk memastikan perniagaan UKSB tidak diganggu memandangkan ketika itu ada beberapa syarikat lain yang cuba melobi kerja yang UKSB sedang jalankan iaitu berkaitan dengan urusan visa.

    “Hasil siasatan juga menunjukkan bahawa wang tunai tersebut yang diserahkan secara bulanan kepada Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) adalah disediakan oleh David Tan (bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun) atas arahan Harry Lee,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong.

    Mahendran berkata peranan David Tan adalah bagi memastikan UKSB mempunyai wang  yang mencukupi untuk memenuhi permintaan Ahamd Zahid.

    Sebelum ini, Wan Quoris Shah memberitahu mahkamah sama bahawa bantuan kewangan yang diberikannya kepada Ahmad Zahid bertujuan mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai kontraktor Kementerian Dalam Negeri (KDN), selain mendapatkan sokongan daripada ahli politik itu untuk mengurangkan gangguan daripada pesaing-pesaing lain yang menjalankan perniagaan serupa.

    Mahendran juga berkata berdasarkan keterangan Harry Lee, David Tan dan Wan Quoris Shah, wang tunai yang dihantar kepada Ahmad Zahid akan dimasukkan ke dalam sampul surat.

    “Penyerahan wang tunai tersebut akan dibuat setiap bulan mengikut kesesuaian masa Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) tetapi kebiasannya pada 10 malam di Seri Satria, Putrajaya iaitu kediaman rasmi Datuk Seri Zahid dan Country Heights,” katanya.

    Selain itu, saksi pendakwaan ke-18 itu juga berkata peranan utama Wan Quoris Shah sebagai pengarah UKSB tertumpu kepada kerja-kerja perhubungan awam syarikat itu dan bukan dari aspek teknikal.

    “Pelantikan Wan Quoris (Wan Quoris Shah) adalah untuk mengembangkan perniagaan dengan cara melobi bagi mendapatkan kontrak-kontrak pembekalan dan perkhidmatan dengan Kerajaan Malaysia,” katanya.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa masih berlangsung.

    — BERNAMA

  • Suspek bunuh empat lelaki Islam ditahan di AS

    Suspek bunuh empat lelaki Islam ditahan di AS

    SEORANG suspek ditahan berhubung pembunuhan empat lelaki Islam sejak sembilan bulan lalu di Albuquerque, bandar terbesar di negeri New Mexico di AS, menurut polis pada Selasa.

    Polis “menjejaki kenderaan yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan seorang lelaki Islam baru-baru ini di Albuquerque,” lapor Xinhua memetik ciapan Twitter ketua polis bandar itu Harold Medina.

    “Pemandu itu ditahan dan dia merupakan suspek utama kami bagi kes pembunuhan itu,” katanya.

    Medina bagaimanapun tidak mendedahkan identiti suspek, dan belum dapat dipastikan sama ada lelaki berkenaan adalah suspek dalam semua pembunuhan itu.

    Empat lelaki Islam terbunuh dalam serangan hendap di bandar itu sejak November, dan tiga daripada mereka ditembak mati dalam tempoh 10 hari. Pihak berkuasa percaya pembunuhan itu, yang telah mendapat perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa, berkemungkinan mempunyai kaitan dan menyasarkan lelaki Islam berdasarkan bangsa dan agama mangsa.

    Naeem Hussain, seorang lelaki Asia Selatan berusia pertengahan 20-an, ditembak mati di tempat letak kereta pada tengah malam Jumaat, beberapa jam selepas menghadiri pengebumian Aftab Hussein, 41 tahun dan Muhammad Afzaal Hussain, 27 tahun, yang terbunuh, dalam serangan hendap berhampiran rumah mereka masing-masing pada 26 Julai dan 1 Ogos.

    Polis juga sedang menyiasat sama ada ia turut mempunyai kaitan dengan pembunuhan Mohammad Ahmadi, 62, pada November 2021. Ahmadi, seorang lelaki Islam berketurunan Asia Selatan, ditembak mati di belakang pasaraya halal milik mangsa dan abangnya.- BERNAMA

  • Lima nelayan hilang bot karam, APMM lancar Carilamat

    Lima nelayan hilang bot karam, APMM lancar Carilamat

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan bot dinaiki enam nelayan tempatan dipercayai karam lebih kurang 10 batu nautika dari Pulau Redang, Isnin lepas. 

    Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira 10 malam dan setakat ini seorang mangsa ditemukan selamat iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun manakala lima lagi termasuk tekong masih belum dapat dikesan.

    Beliau berkata bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 itu keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan. 

    “Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan juga telah mengaktifkan Carilamat semalam bagi mengesan bot tersebut. Bot Maritim PERKASA 1234 digerakkan ke kawasan bot tersebut dilapor karam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, bagi Carilamat hari kedua, sektor pencarian diperluas sehingga 242 batu nautika dan beberapa aset telah diatur gerak awal pagi tadi seperti Aset Kapal Maritim (KM) REDANG, aset udara Bombardier CL415 bersama bot PERKASA 1234. 

    Katanya, APMM menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357.- BERNAMA

  • Empat individu didakwa racun burung merpati

    Empat individu didakwa racun burung merpati

    EMPAT individu termasuk dua lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan memberikan bahan beracun kepada sekumpulan burung merpati, bulan lepas.

    Dua warga Indonesia Fathur Rosi Arsijo, 22, dan Abdul Rahman Sauji, 32, kedua-duanya pekerja pembersihan mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

    Bagaimanapun, dua pembantu tadbir wanita Noor Hazirah Masuan, 32, dan Nurul Najwa Shafikah Zukri, 22, yang turut didakwa atas pertuduhan sama mengaku tidak bersalah.

    Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama tanpa kebenaran yang sah atau sebab yang munasabah memberikan bahan beracun kepada sekumpulan burung merpati di hadapan pekarangan sebuah kilang di Batu Tiga Shah Alam pada 3.53 petang, 21 Julai lepas.

    Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

     Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Sept ini sebagai tarikh untuk membacakan fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap Fathur Rosi dan Abdul Rahman, serta sebutan dan serahan dokumen untuk dua tertuduh wanita.

    Rasyihah juga membenarkan kedua-dua wanita warga tempatan itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Kedua-dua warga Indonesia itu pula tidak ditetapkan sebarang jaminan kerana mereka kini ditahan di bawah Akta Imigresen.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Mohd Sharif Sabran manakala peguam Nur Iwani Izzaty mewakili Noor Hazirah dan Nurul Najwa Shafikah, dan dua warga Indonesia tidak diwakili peguam.

    Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kejadian kira-kira 100 ekor burung merpati mati dan dilonggokkan di satu kawasan selepas dipercayai memakan dedak yang diberikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    — BERNAMA

  • RUU Larangan Tukar Parti dijangka dikuatkuasa tidak lewat pertengahan bulan depan

    RUU Larangan Tukar Parti dijangka dikuatkuasa tidak lewat pertengahan bulan depan

    RANG Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan Dewan Negara hari ini dijangka dapat dikuatkuasakan tidak lewat daripada pertengahan September ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jangkaan itu bersesuaian dengan garis masa yang diperlukan untuk rang undang-undang itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Saya cukup yakin Tuanku peka dengan rang undang-undang ini dan kalau jangkaan saya tepat, tidak lewat pertengahan bulan September (penguatkuasaannya).

    ”Kita memang berharap (untuk dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)). Saya tidak boleh meneka tetapi apabila kita hantar ke istana, kita perlu beri masa untuk Tuanku melihat, meneliti dan mengkaji rang undang-undang ini sebelum memberi perkenan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya jangka masa rang undang-undang itu dapat dikuatkuasakan dan adakah ia dapat dilaksanakan sebelum PRU-15 diadakan.

    Terdahulu rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh masing-masing sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara.

    Wan Junaidi berkata selepas diluluskan, rang udang-undang berkenaan seterusnya akan melalui proses perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan sebelum undang-undang itu dapat diwarta, kemudian mula dikuatkuasakan.

    Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata implikasi cadangan untuk mengadakan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau “recall election” perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum ia dapat dijadikan rang undang-undang.

    Katanya kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti ahli politik, badan bukan kerajaan dan masyarakat madani  bagi membincangkan cadangan itu yang bertujuan menghalang wakil rakyat yang diberikan mandat sewaktu pilihan raya daripada melompat parti.

    Beliau berkata perkara itu juga perlu diperhalusi memandangkan negara-negara yang mengamalkan undang-undang berkenaan menghadapi masalah tersendiri berhubung pelaksanaannya.

    “Oleh demikian, kita perlu belajar daripada apa yang mereka hadapi serta alami dan daripada itu nanti kita akan kaji. Buat masa ini,  ia belum dibentangkan kepada jemaah menteri,” katanya.

    — BERNAMA

  • Pas tidak akan sertai Gerakan Tanah Air

    Pas tidak akan sertai Gerakan Tanah Air

    PAS tidak akan menyertai Gerakan Tanah Air (GTA), kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Menyifatkan penubuhan GTA tidak memberi kesan kepada PAS, beliau berkata gabungan itu, yang dipelopori Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bukanlah terdiri daripada parti-parti dominan.

    “Malah saya ingin seru kepada GTA supaya bergabung dengan parti yang memberi kepentingan serta membela rakyat untuk kestabilan negara kerana perpecahan tidak akan membawa manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di Kota Bharu hari ini.

    PAS ketika ini adalah sekutu Bersatu yang membentuk Perikatan Nasional bersama Gerakan dan dua parti berpangkalan di Sabah.

    Pada Khamis lepas, Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA iaitu sebuah gabungan bertujuan memperkasa kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi.

    — BERNAMA