Author: Bernama

  • Penghuni pusat jagaan didakwa bunuh penghuni lain

    Penghuni pusat jagaan didakwa bunuh penghuni lain

    SEORANG penghuni sebuah pusat jagaan didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penghuni lain di pusat jagaan sama, minggu lepas.

    Lai Mun Kong, 50, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, Lai didakwa membunuh Lim Han Tong, 42, di dalam tandas blok A, pusat jagaan di Jalan Jelapang, Chemor dekat Ipoh antara 6 pagi hingga 6.50 pagi, pada 24 Ogos lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

    Majistret Jesseca Daimis menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Kanak-kanak rentung dalam kebakaran lima buah rumah

    Kanak-kanak rentung dalam kebakaran lima buah rumah

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan rentung, dalam satu kebakaran yang melibatkan lima buah rumah teres dua tingkat di Rancangan Perumahan Rakyat Batu Kawa di Kuching, hari ini.

    Mayat mangsa yang dikenal pasti sebagai Zayyan Nazeem Zainal Abidin itu, ditemukan di dalam sebuah bilik di tingkat atas salah sebuah rumah itu pada 3.33 petang, selepas sepasukan 18 pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Batu Lintang dan Padungan, berjaya memadam kebakaran itu.

    “Mangsa dipercayai terperangkap dalam bilik itu sewaktu kebakaran berlaku dan mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” kata jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak menerusi satu kenyataan di whatsapp rasmi PGO.

    Jurucakap itu memaklumkan, pusat itu menerima panggilan kecemasan pada 1.12 tengah hari dan setibanya di lokasi kejadian, penduduk memaklumkan seorang kanak-kanak masih berada di dalam salah sebuah rumah yang terbakar itu.

    “Punca dan jumlah kerugian dalam kejadian itu sedang disiasat,” katanya.

  • Bunuh rakan kerana ganggu teman wanita

    Bunuh rakan kerana ganggu teman wanita

    POLIS menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun kerana disyaki membunuh lelaki yang mayatnya ditemukan dalam parit di Jalan Pasir, Kampung Sungai Payung Baruh, Rungkup, Bagan Datuk, Rabu lalu.

    Ketua Polis Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri, berkata remaja itu ditahan di Hutan Melintang, Sabtu lalu.

    “Mayat dikenal pasti merupakan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun dan mereka berdua adalah rakan dan jiran di sebuah taman perumahan di Teluk Intan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca pembunuhan adalah disebabkan suspek cemburu kepada si mati kerana mengganggu teman wanitanya yang berusia 20 tahun.

    Katanya, suspek mengaku membunuh mangsa pada 20 Ogos lalu sebelum membuang mayat si mati di lokasi penemuan mayat tersebut.

    Ahmad turut menafikan maklumat tular mendakwa terdapat dua orang mangsa bunuh dalam kejadian itu.

    Rabu lalu, polis menerima maklumat pada 4.48 petang daripada orang awam mengenai penemuan mayat dalam keadaan tertiarap dalam parit di kawasan kebun sawit.

    Mangsa yang memakai baju berwarna merah dan berseluar pendek ditemukan dengan beberapa kesan luka pada bahagian tangan, kaki dan leher.

    Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati punca kematian disebabkan oleh luka potongan pada bahagian kepala dan leher.

  • Rasuah projek terowong: Pegawai Penyiasat nafi ‘gelapkan’ fakta

    Rasuah projek terowong: Pegawai Penyiasat nafi ‘gelapkan’ fakta

    SEORANG pegawai penyiasat dalam kes terowong dasar laut melibatkan Lim Guan Eng (gambar) menafikan di Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau ‘menggelapkan’ fakta mengenai perbualan WhatsApp yang merujuk kepada ‘Big Boss’ bertujuan supaya bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa atas pertuduhan rasuah.

    Pegawai Penyiasat di Jabatan Forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Mohd Firdaus Wan Yusof turut menafikan beliau diberi arahan secara spesifik untuk tidak memasukkan fakta dalam laporan forensik mengenai ‘Big Boss’ agar Lim menghadapi pertuduhan yang tidak benar.

    Perkataan ‘Big Boss’ itu terkandung dalam laporan forensik melibatkan perbualan WhatsApp antara ahli perniagaan G. Gnanaraja dan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

    Namun, saksi pendakwaan kelapan itu tidak bersetuju cadangan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim bahawa penggelapan fakta tersebut merupakan sesuatu yang dilakukan untuk mendakwa Lim.

    Pada perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu perbualan WhatsApp antara Gnanaraja kepada Zarul Ahmad antara lain menyebut pemberian ‘coklat RM2 juta’ untuk ‘Big Boss’.

    Ketika menyoal balas saksi, Gobind berkata sebahagian kandungan perbualan yang didakwa ‘digelapkan” oleh Wan Mohd Firdaus adalah satu ayat “had a good birthday cutting cake with Big Boss” antara Gnanaraja dan Zarul Ahmad pada 9.41 pagi, 23 Julai 2017.

    Gobind: Kamu tahu 23 Julai itu tarikh lahir siapa? Ia bukan tarikh lahir anak guam saya.

    Wan Mohd Firdaus: Saya tidak tahu.

    Gobind: Saya cadangkan 23 Julai itu adalah tarikh lahir Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Wan Mohd Firdaus: Saya tidak tahu.

    Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa beliau diarahkan untuk tidak membawa laporan asal (yang diberikan ke Mahkamah Shah Alam) dengan tujuan menggelapkan fakta mengenai ‘Big Boss’ pada perbicaraan kes Lim.

    Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

    Lim didakwa melakukan perbuatan itu antara Jan 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

    Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 18 Sept ini. 

  • Sembilan terselamat bot pelancong terbalik di Pantai Teluk Batik

    Sembilan terselamat bot pelancong terbalik di Pantai Teluk Batik

    SEMBILAN individu termasuk seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) dan dua kru bot terselamat apabila bot yang melakukan aktiviti rekreasi membawa pelancong telah terbalik di Pantai Teluk Batik, Seri Manjung hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian melibatkan mangsa pelancong tempatan yang kesemua berusia antara tiga hingga 34 tahun itu pada 10.58 pagi sebelum tiba ke lokasi pada 11.15 pagi tadi.

    Beliau berkata dua mangsa didapati lemas iaitu remaja OKU berusia 17 tahun terbabit dan seorang wanita 34 tahun yang telah dibawa naik ke darat oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba, manakala tujuh mangsa yang lain selamat selepas berjaya berenang ke pantai.

    “Mangsa lelaki (OKU) yang lemas telah sedar akibat daripada bantuan CPR (resusitasi kardiopulmonari) oleh orang awam seterusnya dibawa ke hospital oleh EMRS bomba.

    “Seorang lagi mangsa iaitu wanita tidak sedarkan diri dirawat oleh anggota KKM (Kementerian Kesihatan) dan didapati mempunyai nadi seterusnya dibawa ke hospital oleh ambulans KKM,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sayani berkata operasi tamat pada 12.15 tengah hari.

  • Sultan Selangor gesa segerakan jawatankuasa kaji kompetensi DUN gubal undang-undang syariah

    Sultan Selangor gesa segerakan jawatankuasa kaji kompetensi DUN gubal undang-undang syariah

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkata satu jawatankuasa khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal tentang kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

    Sultan Sharafuddin yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berkata ini berikutan kebelakangan ini banyak kes yang sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan, khususnya berkaitan kompetensi DUN dalam membuat dan meluluskan undang-undang Islam (Syariah) serta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang mendengarnya.

    “Trend sebegini menggambarkan kedudukan enakmen-enakmen negeri yang melibatkan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan jenayah Syariah semakin tercabar, yang sekali gus menjejaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri untuk membicarakannya,” kata baginda.

    Sultan Selangor berkata demikian pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam hari ini.

    Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi majlis berkenaan.

    Justeru, baginda berpandangan penyelesaian hanya boleh dibuat melalui tindakan legislatif dengan membuat pindaan tertentu kepada peruntukan undang-undang yang berkaitan bagi membolehkan kuasa yang lebih luas diberikan kepada DUN di dalam menggubal peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah Syariah bagi orang Islam.

    “Dengan mengambil pertimbangan keadaan yang sedang kita hadapi ini, Beta berpandangan, adalah perlu satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan dari keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata Sultan Selangor.

    Titah baginda, jawatankuasa khas itu perlu mengemukakan cadangan pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan termasuklah peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu itu dapat dibuat.

    “Jawatankuasa khas ini hendaklah dianggotai oleh pakar undang-undang Perlembagaan, undang-undang sivil dan Syariah serta ahli-ahli akademik, dan tidak ketinggalan pengamal undang-undang yang mempunyai kelayakan, kemahiran dan pengalaman yang luas dalam kedua-dua bidang undang-undang sivil dan Syariah,” kata baginda.

    Susulan itu, Sultan Sharafuddin berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang turut hadir pada mesyuarat itu, dapat mengambil langkah-langkah segera bagi pembentukan jawatankuasa khas berkenaan dan mengemukakan syor kepada MKI, seterusnya Majlis Raja-Raja ke arah penyelesaian kepada permasalahan berkenaan.

    Sementara itu, Sultan Selangor memaklumkan mesyuarat MKI pada sidang kali ini akan membincangkan satu kertas dasar berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dengan menggariskan panduan yang lengkap dan komprehensif.

    “Segala keputusan yang dicapai oleh MKI berkaitan isu kalimah Allah ini nanti akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya yang akan datang, dan dengan itu satu dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini dimuktamadkan,” kata baginda.

  • Murtad: Mahkamah tolak rayuan wanita cabar keputusan Mahkamah Syariah

    Murtad: Mahkamah tolak rayuan wanita cabar keputusan Mahkamah Syariah

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan seorang wanita untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkannya keluar daripada agama Islam.

    Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, dalam keputusan sebulat suara memutuskan bahawa hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan isu pembatalan agama sebagaimana Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

    “Mahkamah Tinggi Syariah kompeten untuk mendengar perkara itu. Kami bersetuju bahawa hakim Mahkamah Tinggi di mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan Mahkamah Syariah.

    “Mahkamah sivil dan Syariah adalah dua sistem perundangan yang berasingan dan Mahkamah Syariah bukanlah tribunal rendah yang tertakluk kepada semakan kehakiman. Kesimpulannya, rayuan ditolak, keputusan hakim Mahkamah Tinggi Sivil disahkan,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu melalui prosiding dalam talian.

    Azizah, yang bersidang bersama Datuk See Mee Chun dan Datuk Azizul Azmi Adnan, menolak permohonan itu tanpa arahan mengenai kos.

    Peguam Fahri Azzat mewakili wanita itu manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili empat responden.

    Wanita berusia 33 tahun itu, yang dilahirkan dalam keluarga bapa seorang mualaf dan ibu menganut agama Islam, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Jun lepas yang menolak permohonannya untuk mendapat kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.

    Dalam permohonan itu, yang difailkan pada 4 Mac tahun lepas, beliau menamakan Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

    Wanita itu memohon sekurang-kurangnya 12 perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa beliau bukan lagi seorang Islam serta berhak menganut dan mengamalkan agamanya iaitu Konfusianisme serta Buddhisme.

    Beliau turut memohon deklarasi Mahkamah Tinggi sivil bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah yang menolak permohonannya untuk diisytihar sebagai murtad adalah tidak sah, menyalahi undang-undang serta batal.

    Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Syariah telah menolak permohonan wanita itu untuk diisytihar sebagai bukan Islam dan memerintahkan beliau agar melalui ‘istitabah’ atau bertaubat dan mengikuti kelas agam Islam serta kaunseling akidah selanjutnya.

    Beliau kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pada 8 Dis 2021.

  • Hadis 40 Imam Nawawi: Pas akan adakan dialog bersama Gerakan

    Hadis 40 Imam Nawawi: Pas akan adakan dialog bersama Gerakan

    PAS akan mengadakan majlis dialog bersama Gerakan bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah agama.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas sentiasa berhubung dengan Gerakan dalam membincangkan mana-mana isu berbangkit.

    “Kita akan adakan dialog (dengan Gerakan), ini bukan kali pertama. Ia sentiasa dibuat. Itu (isu modul) cuma satu isu sahaja, banyak isu-isu lain (yang juga diperbincangkan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program dialog bersama rakyat Parlimen Pulai di Taman Tampoi Utama di Johor Bahru hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas akan memberi penjelasan mengenai modul itu kepada Gerakan yang mempertikaikan pelaksanaannya.

    Hari ini, Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Pas menyokong penuh inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan modul di 289 sekolah kerajaan secara rintis kepada guru dan murid beragama Islam.

    Pada 19 Ogos lepas, KPM melancarkan modul hadis itu yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah, antara lain untuk menerapkan kefahaman agama dan memupuk semangat kasih sayang khususnya dalam kalangan guru dan pelajar beragama Islam.

    Program rintis modul itu akan dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.

  • Warga emas rentung dalam kebakaran di Tangkak

    Warga emas rentung dalam kebakaran di Tangkak

    SEORANG warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Sungai Pilah, Bukit Gambir, pagi tadi.

    Komander Operasi, Rafiah Aziz, berkata lelaki berumur 81 tahun yang dipercayai tinggal berseorangan itu ditemukan rentung di bahagian dapur rumah berkenaan.

    Beliau berkata terdahulu, satu jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dan satu FRT serta satu utiliti bantuan dari BBP Tangkak dengan 16 anggota, digegaskan ke lokasi kejadian selepas Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri menerima panggilan kecemasan pada 6.16 pagi

    “Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 20 x 40 kaki persegi telah musnah 80%,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

  • Remaja tertekan pedal minyak kereta rempuh medan selera

    Remaja tertekan pedal minyak kereta rempuh medan selera

    GARA-gara tertekan pedal minyak, seorang remaja berusia 16 tahun secara tidak sengaja merempuh pelanggan di Medan Selera Tanjung Kling, Melaka, petang semalam

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian 2.43 petang itu, kereta Toyota Avanza dikendalikan remaja terbabit turut melanggar kereta Proton Suprima S yang diparkir bersebelahan.

    “Sebelum kejadian itu, remaja berkenaan diarahkan ibunya untuk memanaskan enjin kereta sebelum dia tertekan pedal minyak dan menukar gear kereta berkenaan pada mod mengundur.

    “Akibat tindakan itu, kereta berkenaan mengundur secara mengejut lalu melanggar kereta yang diparkir bersebelahannya selain turut merempuh pelanggan yang sedang makan di medan selera terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya kemalangan itu menyebabkan Proton Suprima S tersebut mengalami kerosakan pada pintu dan cermin kereta namun pemandu kereta itu serta remaja tersebut tidak mengalami kecederaan.

    Bagaimanapun, katanya, polis tidak mengetahui jumlah atau keadaan pelanggan yang terlibat dalam rempuhan itu kerana tiada laporan dibuat.

    Christopher berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

    Hari ini, satu video berdurasi 21 saat tular di media sosial, memaparkan sebuah kereta Toyota Avanza melanggar kereta diparkir bersebelahan sebelum mengundur secara laju dan merempuh pelanggan termasuk kanak-kanak dan bayi di medan selera itu