Author: Bernama

  • Jangan jadikan masjid gelanggang politik – Agong

    Jangan jadikan masjid gelanggang politik – Agong

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah supaya masjid tidak dijadikan sebagai tempat untuk mencerca sesama umat, bertelingkah dan gelanggang politik.

    Seri Paduka bertitah masjid seharusnya dijadikan sebuah institusi yang menerajui kebaikan, pusat kegiatan umat Islam, malah sebagai lilin yang menyinari masyarakat setempat.

    “Saya ingin berpesan kepada pengurusan masjid di seluruh negeri Pahang yang dicintai ini, pengurusan masjid merupakan pemegang amanah rumah Allah. Justeru, laksanakan tanggungjawab dalam mengurus rumah Allah ini dengan penuh keikhlasan, jujur dan amanah.

    “Saya memang tidak membenarkan mana-mana pihak berpolitik dalam rumah Allah, jadilah ini sebagai satu ingatan kepada kita semua, dan saya harap tidak ada yang mempertikaikan arahan ini, ia untuk kesejahteraan dan kebaikan bersama kita umat Islam dan Orang Melayu.

    “Kalau nak berpolitik pun luar masjid sahaja, bukan dalam masjid, jadilah ini ingatan kepada kita semua dan khususnya pengurusan masjid, saya harap pengurusan masjid bertanggungjawab dalam hal ini. Jangan politikan apa yang saya kata ini, ia tidak mencerminkan kesucian agama Islam dan rumah Allah ini, jangan kata saya tak mengingatkan…kita semua mengingati sesama sendiri,” titah baginda. 

    Baginda bertitah demikian ketika Majlis Perasmian Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran, Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-63 Sultan Pahang, di sini.

    Turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan kerabat diraja Pahang serta barisan kepimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    Pada majlis berkenaan, Seri Paduka yang juga Sultan Pahang berkenaan merasmikan dan memasyurkan masjid berkenaan dengan nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum menandatangani papan tanda perasmian masjid itu.

    Al-Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan RM9.5 juta bagi pembinaan masjid itu.

    “Saya mesti nyatakan di sini ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah luluskan (peruntukan) pembinaan masjid ini. Terima kasih juga kepada kerajaan negeri Pahang dan semua yang terlibat bermula dari perancangan awal sehingga masjid ini megah berdiri pada hari ini sebagai mercu tanda yang ikonik di sini,” titah baginda.

    Selain itu, baginda turut berpandangan bahawa masjid bukan hanya sekadar berperanan sebagai sebuah pusat untuk beribadah malah dapat dikembangkan dengan pelbagai fungsi lain termasuk pusat aktiviti ekonomi, kesukanan, persatuan, pembelajaran dan kemasyarakatan.

    “Masjid merupakan sebuah pusat sehenti yang boleh memberi faedah dan manfaat kepada masyarakat setempat. Berasaskan daripada itu, pengurusan masjid mesti lebih berpandangan jauh dan bersifat proaktif untuk melangkah keluar dari masjid dengan mengunjungi ahli-ahli kariah.

    “Masjid hendaklah diperkasakan mengikut realiti zaman, kerana ia merupakan benteng terakhir untuk perpaduan dan kesatuan umat Islam,” titah baginda.

    Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya pengurusan masjid melibatkan masyarakat bukan Islam, agar mereka lebih rapat dengan penganut agama Islam dan turut memahami agama Islam, selain lebih giat memikat golongan pemuda serta remaja untuk turut terlibat dalam mengimarahkan masjid.

    Baginda kemudian turut berkenaan menunaikan Solat Jumaat yang diimamkan Ahmad Tajuddin Mat Zin di masjid yang dibina di kawasan seluas kira-kira 4.04 hektar (10 ekar) itu.- BERNAMA

  • Pekerja kilang bebas sabitan rogol gadis bawah umur

    Pekerja kilang bebas sabitan rogol gadis bawah umur

    SEORANG pekerja kilang yang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan kerana merogol gadis bawah umur, berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Nordin Hassan dan Datuk See Mee Chun membenarkan rayuan terakhir Muhammad Arfahsyar Ishak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan itu.

    Hakim Hadhariah, yang menyampaikan keputusan mahkamah, melepas dan membebaskan Muhammad Arfahsyar selepas memutuskan bahawa mangsa bukan saksi yang boleh dipercayai kerana terdapat percanggahan ketara dalam keterangannya semasa perbicaraan.

    Peguam G. Ravishankar berhujah bahawa mangsa, yang kini berusia 23 tahun, bukan saksi yang boleh dipercayai dan telah membuat laporan polis untuk menarik balik aduannya yang dibuatnya pada 2019.

    Beliau berkata gadis itu juga telah menghantar pesanan teks kepada anak guamnya memohon maaf dan menambah bahawa laporan pertama dibuat dengan harapan Muhammad Arfahsyar akan mengahwininya.

    Ravishankar berkata gadis itu memberitahu doktor yang memeriksanya bahawa laporan polis pertama dibuat kerana Muhammad Arfahsyar telah menemui teman wanita baru dan tidak membalas pesanan teksnya.

    Muhammad Arfahsyar, 31, didakwa merogol gadis itu yang ketika itu berusia 15 tahun sembilan bulan di sebuah hotel di Bedong, Kedah pada jam 3 petang, 5 April 2014.

    Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 13 Nov 2017 dan dijatuhi hukuman 15 tahun dan enam sebatan rotan.

    Setelah mengemukakan rayuan, Mahkamah Tinggi pada 19 Dis 2018 menolak rayuannya atas sabitan tetapi membenarkan hukuman dikurangkan kepada lapan tahun penjara dan lima sebatan rotan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari.- BERNAMA

  • India lancar kapal pengangkut pesawat buatan tempatan pertama

    India lancar kapal pengangkut pesawat buatan tempatan pertama

    INDIA pada Jumaat melancarkan kapal pengangkut pesawat buatan tempatan yang pertama di pantai Kerala pada Jumaat.

    Kapal tentera laut India, bernama Vikrant, itu boleh memuatkan 30 jet pejuang dan helikopter.

    Dibina oleh Cochin Shipyard Limited (CSL), syarikat milik negara, kapal itu telah mula beroperasi secara rasmi selepas dilancarkan Perdana Menteri India Narendra Modi dalam satu majlis.

    “Hari ini, India telah menyertai negara-negara lain di dunia, dan menghasilkan kapal pengangkut pesawat mega menggunakan teknologi tempatan. Hari ini INS Vikrant telah memberi keyakinan baharu bagi India,” kata Modi.

    Kapal sepanjang 262 meter dengan berat mencecah 45,000 tan itu menggunakan empat turbin gas yang menghasilkan kuasa 88 MW.

    Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 28 knot.

    Pembinaannya bermula pada 2009 dan projek yang telah siap itu menelan belanja 193.4 bilion rupee (kira-kira US$2.4 bilion).

    Perdana menteri India itu juga mendedahkan panji baharu tentera laut India, yang sebelum ini mempunyai lambang salib Saint George.

    “Diilhamkan oleh Chhatrapati Shivaji (pemerintah Maratha abad ke-17 yang disegani), bendera tentera laut baharu kini akan megah berkibar di laut dan di langit,” kata Modi.- BERNAMA

  • Elak tiga penjuru di 27 kerusi: PAS mahu berunding dengan UMNO

    Elak tiga penjuru di 27 kerusi: PAS mahu berunding dengan UMNO

    PAS berharap masih ada ruang berunding dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan tiada pertembungan di 27 kerusi ‘kritikal’ Parlimen antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

    Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perbincangan antara dua pihak iaitu PAS sebagai parti komponen PN dan UMNO yang menjadi tunjang BN perlu diadakan untuk mengelak pertembungan tiga penjuru terutama di kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

    “Jadi tentulah (perebutan) kerusi-kerusi ini perlu dibincang, ada puluhan lagi kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) yang boleh kita bincang. Contohnya seperti (Parlimen) Raub dan Bentong, kerusi ini dimenangi PH sedangkan majoriti pengundi Melayu, tapi bila dua-dua bertembung, akhirnya dua-dua (BN dan PN) rugi.

    “Jika tidak boleh berpakat semua, jangan bertembung semua, itu kaedah kita buat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat sempena Muktamar PAS ke-68 di sini hari ini.

    Menjawab soalan sama ada MN masih wujud atau sudah terbubar, Tuan Ibrahim berkata setakat ini, sama ada UMNO atau PAS tidak pernah bercadang agar MN dibubarkan.

    Katanya muafakat itu perlu kekal demi menjadi wadah agenda kepentingan Melayu dan Islam dan bukan sekadar untuk perbincangan politik sewaktu pilihan raya.

    Namun, Tuan Ibrahim berkata jika UMNO dan BN mahu bergerak solo pada PRU15, PN bersedia untuk menghadapi pertembungan tiga penjuru.

    “PN bersedia dalam semua keadaan. Kalau UMNO buat keputusan bergerak solo kita terpaksa lawan dan kita bersedia untuk lawan. PN akan lawan tiga penjuru, tapi tiga penjuru (nanti) BN rugi, PN pun rugi,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air dalam ucapannya mengumumkan sambutan Hari Air Peringkat Kebangsaan 2022 akan diadakan di Kedah iaitu di sekitar Sungai Muda.

    Sambutan yang diadakan pada 25 Sept itu sebagai mengambil kira kepentingan peranan Sungai Muda membekalkan air di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

    “JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk sambutan itu diadakan (di sepanjang Sungai Muda), kita akan umumkan nanti,” katanya.- BERNAMA 

  • PRU-15: Muslimat PAS usul kuota 30 peratus calon wanita bertanding

    PRU-15: Muslimat PAS usul kuota 30 peratus calon wanita bertanding

    DEWAN Muslimat PAS Pusat hari ini mahu lebih ramai calon wanita diketengahkan parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

    Mengusulkan perkara itu, ketuanya Senator Nuridah Mohd Salleh berkata sayap berkenaan mencadangkan supaya diberikan kuota sebanyak 30 peratus untuk wanita bertanding mewakili parti di setiap negeri pada PRU15.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-62, sempena Muktamar Tahunan PAS ke-68, yang dirasmikan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, di sini.

    Nuridah berkata pada PRU14 yang lepas, seramai 39 calon wanita telah diketengahkan parti membabitkan 10 kerusi Parlimen dan 29 kerusi Dewan Undangan Negeri.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim yang mengulas usul Muslimat itu berkata pucuk pimpinan sedia menilainya dan perbincangan lanjut akan diadakan.

    “Secara asasnya PAS bersetuju supaya peranan Muslimat diangkat selari dengan cabaran dihadapi golongan itu pada masa kini sekali gus memberi peluang lebih ramai wanita bertanding pada pilihan raya akan datang.

    “Kita juga menyedari bahawa separuh daripada pengundi kita adalah dalam kalangan Muslimat, sehubungan itu saya menyokong apa yang disebut Ketua Dewan Muslimat untuk meletakkan lebih ramai calon wanita dalam PRU ke-15,” katanya.- BERNAMA 

  • Lima termasuk dua beradik didakwa edar lebih 100 kilogram dadah

    Lima termasuk dua beradik didakwa edar lebih 100 kilogram dadah

    DUA beradik dan tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tapah hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 100 kilogram dadah di sebuah bangsal di Chenderiang di sini bulan lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada dua beradik, R. Sivaraj, 29, dan R. Sathiswaran, 30, serta tiga lagi tertuduh iaitu L. Vichnesh, 30, A. Tanabalan, 31, dan R. Suresraj, 33, yang hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

    Kesemua lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya berat kasar iaitu 111,326 gram (g) disyaki methamphetamine dan kesalahan itu dilakukan di sebuah bangsal berkanvas hijau dan oren di Lot 11876 Mukim Chenderiang di sini pada 9.45 pagi, 26 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Tanabalan turut didakwa mengedar dadah berat kasar iaitu 2,075g disyaki methamphetamine mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, pada masa dan tempat sama.

     Kedua-dua pertuduhan memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan hendaklah jika tidak dihukum mati, dihukum dengan minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Charan Singh.

    Mahkamah kemudian menetapkan 3 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

    Pada 26 Ogos, polis menahan mereka dalam serbuan melibatkan rampasan bernilai RM6.7 juta di sebuah bangsal di Chenderiang dan dipercayai sudah mula aktif menjalankan aktiviti itu sejak Jun lepas.- BERNAMA

  • Tuduhan rasuah RM2.8 juta: Bung Moktar, Zizie Izette diperintah bela diri

    Tuduhan rasuah RM2.8 juta: Bung Moktar, Zizie Izette diperintah bela diri

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad, tujuh tahun lepas.

    Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, di akhir kes pendakwaan.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad manakala Zizie Izette pula dituduh bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama.

    Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, dituduh menerima rasuah tersebut daripada ejen pelaburan melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015.  – BERNAMA

  • Kongsi lokasi di WhatsApp, 3 pendaki sesat ditemui selamat

    Kongsi lokasi di WhatsApp, 3 pendaki sesat ditemui selamat

    DUA lelaki dan seorang wanita yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Panti di sini semalam, ditemukan selamat selepas memaklumkan lokasi mereka melalui aplikasi WhatsApp, malam tadi. 

    Pegawai Bomba Kanan II Mohd Syukri Mohd Yusoff berkata kesemua mangsa Gan Chen Yang, 23, Yong Chin Cheng, 25, dan Wong Zao Yi (wanita), 22, ditemukan kira-kira pukul 10 malam, 300 meter dari ‘check point’ kedua gunung berkenaan, sebelum dibawa turun pasukan keselamatan itu. 

    “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melakukan pencarian bersama bantuan agensi lain dengan kaedah mengesan lokasi yang telah diberikan oleh mangsa melalui aplikasi WhatsApp,” katanya. 

    “Kesemua mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini. 

    Terdahulu, laporan dibuat sendiri oleh mangsa yang memaklumkan menerusi telefon bahawa mereka tersesat ketika dalam perjalanan turun dari gunung tersebut, pada 4.53 petang. 

    Susulan itu, seramai 10 anggota PKO dihantar ke lokasi kejadian dan difahamkan mereka yang memulakan pendakian pada 7 pagi dan dipercayai sudah biasa dengan aktiviti tersebut, masih boleh dihubungi cuma tidak menemukan jalan keluar. – BERNAMA 

  • Keputusan kes rasuah Bung Moktar, isteri diketahui hari ini

    Keputusan kes rasuah Bung Moktar, isteri diketahui hari ini

    KEPUTUSAN sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad atau dibebaskan, akan diumumkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

    Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob dijadualkan memberi keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada pukul 3 petang.

    Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, maka pasangan suami isteri itu akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya mereka akan dilepas dan dibebaskan.

    Pada 17 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2 Jan 2020 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 24 Jun lepas.

    Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra Adnan Yusof, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra Dr Habibah Suleiman, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsharil Saharom, serta dua ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar serta peguam Datuk K. Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri bagi pihak Zizie Izette.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

    Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette. 

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang,  12 Jun 2015.

    Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

    Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Zizie Izette yang juga pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- BERNAMA