Author: Bernama

  • 97,635 permohonan PerantiSiswa Fasa 1 diluluskan setakat ini

    97,635 permohonan PerantiSiswa Fasa 1 diluluskan setakat ini

    SEBANYAK 97,635 permohonan mendapatkan PerantiSiswa Keluarga Malaysia Fasa 1 sudah diluluskan setakat ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 21,633 permohonan diterima di Sabah dan 3,748 telah diluluskan serta dalam proses untuk serahan peranti.

    “Permohonan untuk mendapatkan PerantiSiswa Keluarga Malaysia telah dibuka sejak April lepas dan semakan bermula pada 29 Ogos 2022. Kelulusan pemberian perantisiswa dibuat secara berperingkat dan pengagihan akan disempurnakan dalam tempoh tiga bulan.

    “Justeru, saya menyeru kepada semua pelajar IPT (kumpulan) B40 yang masih belum memohon, segera membuat permohonan dalam fasa ke 2 yang masih dibuka sehingga 30 Sept 2022,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan PerantiSiswa kepada 100 pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

    — LAGI

    NORAINI-PERANTISISWA 2 (AKHIR) KOTA KINABALU

    Noraini berkata inisitaif PerantiSiswa Keluarga Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan menjayakan agenda Pendigitalan Pendidikan.

    “Penyerahan PerantiSiswa merupakan komitmen kerajaan Keluarga Malaysia dalam memastikan para pelajar terutama dalam kalangan B40 tidak ketinggalan dan sebagai usaha membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia serta merapatkan jurang digital antara semua kelompok di negara ini.

    “Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di bawah Belanjawan 2022 diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

    Beliau berharap PerantiSiswa Keluarga Malaysia akan menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus memastikan kecemerlangan akademik dicapai.

    “Kami di Kementerian Pengajian Tinggi akan sentiasa peka dengan keperluan pelajar dan memastikan mereka dapat menikmati persekitaran yang kondusif sepanjang pengajian,” katanya.- BERNAMA

  • Tidur dengan mayat komunis kenangan tak dapat dilupakan veteran tentera Wok

    Tidur dengan mayat komunis kenangan tak dapat dilupakan veteran tentera Wok

    TERPAKSA tidur bersama dua mayat pengganas komunis semalaman, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Pegawai Waran I Wok Muhammad, 85, sepanjang berkhidmat selama 25 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Mengimbau kembali peristiwa itu, Wok berkata kejadian berlaku ketika beliau serta kira-kira 50 anggota platun lain mengikuti satu operasi bagi menjejaki pengganas komunis di kawasan hutan di Batu Gajah, Perak sekitar 1957.

    Beliau serta mereka perlu berjalan kaki dengan berhati-hati selama lebih tiga jam seawal 5 pagi untuk ke kawasan yang dikatakan terdapat komunis selepas pihak risikan memberikan maklumat.

    “Ketika menelusuri kawasan hutan untuk menjejaki komunis kami perlu berhati-hati kerana dikhuatiri terdapat jerangkap samar atau perangkap mahupun diserang hendap oleh pengganas komunis secara tiba-tiba.

    “Malah, sebagai langkah keselamatan, anggota platun kami ada yang membawa senjata berat dan saya pula ditugaskan membawa senjata ringan untuk berdepan dengan sebarang serangan komunis,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Bunut Susu, di Pasir Mas baru-baru ini.

    Bercerita lanjut, bapa kepada dua anak itu berkata selepas beberapa jam berjalan untuk menjejaki komunis, akhirnya ketua operasi berjaya mengesan kira-kira tujuh pengganas komunis berada di sebalik bukit sekitar kawasan hutan itu.

    Katanya sebaik sahaja berjaya menjejaki sekumpulan penggans komunis itu, anggota platun terus melepaskan tembakan, dengan dua daripada mereka terbunuh manakala saki-baki kumpulan itu berjaya meloloskan diri.

    “Selepas dua daripada pengganas mereka tumpas disebabkan terkena tembakan, kami tidak terburu-buru menuju ke mayat itu kerana bimbang terdapat bom ataupun perangkap pada mayat berkenaan.

    “Malah, kami juga turut dilatih agar memastikan musuh benar-benar terbunuh sebelum memeriksa keadaan mayat bagi mengelak sebarang bahaya,” katanya yang berusia 20 tahun ketika kejadian itu.

    Wok berkata memandangkan kejadian itu berlaku lewat petang dan keadaan sudah gelap, beliau serta beberapa anggota terpaksa bergilir-gilir memikul mayat anggota pengganas komunis itu untuk dibawa keluar keesokan hari.

    Katanya, ketika gilirannya membawa mayat komunis itu beliau berasa agak gerun selain turut berbau hanyir disebabkan darah yang mengalir sehingga turut menyebabkan uniformnya terkena kesan darah.

    “Sepanjang malam, kami juga terpaksa berjaga dan hanya tidur secara ala kadar sahaja berhampiran dua mayat komunis itu kerana dikhuatiri bau darah itu akan menarik perhatian binatang buas termasuk harimau.

    “Malah, pasukan kami juga turut bimbang sekiranya ahli komunis lain akan menyerang setelah dua anggotanya terbunuh, namun mujurlah ia tidak berlaku selain operasi itu juga ditamatkan pada keesokan hari,” katanya.

    Wok berkata beliau berasa bangga dapat berbakti kepada negara ketika usia mudanya untuk mempertahankan negara daripada penjajah komunis, malah hasil perkhidmatan dan jasanya beliau turut dianugerahkan beberapa pingat.

    “Antara pingat yang diterima termasuklah, Ahli Mangku Negara, Pingat Seri Mahkota Kelantan, Pingat Perkhidmatan Setia, Pingat Khidmat Berbakti selain saya juga pernah ditugaskan untuk bertugas di Congo selama setahun pada 1962,” katanya yang menamatkan perkhidmatan pada 1981.- BERNAMA

  • Penjaga gol TFC akhirnya ‘buka mulut’, mohon maaf kepada penyokong

    Penjaga gol TFC akhirnya ‘buka mulut’, mohon maaf kepada penyokong

    PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim memohon maaf kepada penyokong skuad Penyu kerana gagal mempamer aksi terbaik pada perlawanan akhir Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas.

    Penjaga gol berusia 21 tahun itu turut mengakui kesilapannya melepaskan gol mudah ketiga buat Johor Darul Ta’zim (JDT), menyebabkan Terengganu terlepas peluang membawa pulang kejuaraan berprestij itu setelah 11 tahun menunggu.

    Menurut Rahadiazli, seperti penyokong setia bola sepak Terengganu, beliau masih terkilan dan kecewa kerana gagal menghadiahkan piala buat penyokong TFC pada penampilan pertamanya di pentas perlawanan akhir yang berakhir dengan kekalahan 1-3 di tangan JDT.

    “Saya akui tidak bermain seperti yang diharapkan semua orang, persembahan pada malam itu di bawah kemampuan sebenar saya.

    “Saya dengan rendah hati memohon maaf kerana tak berjaya bawa balik piala ke Terengganu. Ini juga sebenarnya adalah impian dan harapan saya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Gong Badak, petang semalam.

    Bagaimanapun, Rahadiazli yang juga pemain skuad Bawah-23 Tahun Kebangsaan enggan terus berduka dan bertekad menjadikan kesilapan tersebut sebagai pengajaran berharga.

    Katanya, tiupan semangat daripada jurulatih, rakan sepasukan serta peminat bola sepak dijadikan azimat untuk beliau bangkit dan memperbaiki kesilapan pada masa hadapan.

    “Saya juga enggan ambil tahu tentang komen-komen negatif peminat di laman sosial dan perkara yang sudah lepas saya akan jadikan tauladan untuk perbaiki kesilapan,” katanya.

    Dalam pada itu, pemain kelahiran Setiu, Terengganu itu turut melahirkan rasa syukur kerana terpilih menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan Piala Raja Thailand yang bermula dari 22 hingga 25 Sept ini di Chiang Mai.

    Katanya, peluang tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk mempamer prestasi terbaik bagi meraih peluang beraksi bersama pasukan kebangsaan.- BERNAMA

  • Kemuka tuntutan palsu hampir RM900,000, enam individu ditahan

    Kemuka tuntutan palsu hampir RM900,000, enam individu ditahan

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan enam individu termasuk empat wanita bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 sekitar tahun 2016 hingga tahun lepas.

    Menurut sumber,  keenam-enam suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor sekitar 5 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.

    Katanya, tiga suspek berkenaan merupakan ketua pegawai operasi, pengarah dan akauntan sebuah syarikat pembinaan dipercayai berpakat untuk meluluskan pembayaran kepada dua syarikat yang terbabit dalam kerja-kerja menaik taraf saliran dan projek tebatan banjir di Selangor sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

    “Projek pertama iaitu kerja-kerja menaik taraf saliran membabitkan nilai lebih RM250,000 manakala projek tebatan banjir pula bernilai lebih RM600,000.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok untuk permohonan reman, katanya.

    — BERNAMA

  • KPM teliti garis panduan pemilihan penceramah di sekolah

    KPM teliti garis panduan pemilihan penceramah di sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memperincikan garis panduan berkaitan pemilihan penceramah untuk program di sekolah termasuk ceramah motivasi, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif di Putrajaya hari ini, Radzi berkata antara perkara yang akan diperhalusi adalah berkaitan kebebasan pihak sekolah memilih sendiri penceramah luar.

    “Berkaitan dengan (program) motivasi di sekolah, kenapa kita tak bagi sekolah autonomi dalam perkara tertentu. Kalau kita tak pantau, ada lebih 10,000 sekolah dan kita akan dapati nanti macam-macam pendekatan digunakan sekolah untuk program motivasi.

    “Kalau kita perincikan semua benda nanti, kata semua kementerian nak kawal, kenapa tak bagi autonomi kepada sekolah? Inilah cabaran yang kita hadapi,” katanya mengulas mengenai kes amang seksual yang dilaporkan baru-baru ini membabitkan seorang penceramah bebas yang juga bertaraf selebriti.

    Selebriti lelaki itu yang telah ditahan polis Khamis lepas di Selangor, dipercayai berkenalan dengan mangsa dalam program motivasi di sekolah. Sehingga kini, terdapat enam laporan polis telah dibuat terhadap penceramah bebas yang direman enam hari sehingga 14 Sept ini

     Radzi berkata sehingga garis panduan khusus dibangunkan kelak, garis panduan dan pekeliling sedia ada akan terus dikuatkuasakan dan terpakai.

    “Sekarang ini garis panduan sedia ada terpakai sehingga kita membuat garis panduan atau pekeliling yang berikutnya dan dalam isu ini, kita mahu capai keseimbangan yang sebenar dalam setiap perkara ini dan kita perlu melakukan penelitian terlebih dahulu sebelum kita putuskan sesuatu,” katanya.

    Radzi berkata KPM memandang serius isu berkenaan dan dalam masa yang sama mahu memastikan sekolah merupakan tempat yang selamat untuk pelajar.

    “Sekolah semua berniat baik, ingin dapatkan penceramah-penceramah dari pelbagai konteks untuk beri motivasi kepada murid-murid ini tapi kadang-kadang berlaku kes tertentu seperti yang dibangkitkan,” katanya.

    — BERNAMA

  • 24 calon ketua perwakilan, duta dalam proses tapisan akhir SPA, tiada lantikan politik – Saifuddin

    24 calon ketua perwakilan, duta dalam proses tapisan akhir SPA, tiada lantikan politik – Saifuddin

    WISMA Putra telah menyerahkan 24 senarai calon Ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang telah diluluskan termasuk ke Indonesia kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk proses tapisan akhir, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    Saifuddin berkata, kesemua calon bagi mengisi jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Duta Besar Malaysia itu terdiri daripada pegawai diplomatik yang berkhidmat dengan kerajaan dan bukan daripada kalangan ahli politik.

    Senarai calon yang telah diserahkan kepada SPA itu bagaimana tidak termasuk pengisian jawatan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, katanya.

    “Insya-Allah akan umum tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku Himpunan Genta Rasa Jufitri Joha di Wisma Putra di Putrajaya hari ini dan setelah diminta mengulas mengenai perkembangan jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang kini masih kosong.

    Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia sebelum ini disandang diplomat Datuk Zainal Abidin Bakar.

    Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, namun, nama beliau tiada dalam senarai penerima watikah pelantikan sebagai Ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara pada majlis yang berlangsung di Istana Negara Julai lepas.

    Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Wisma Putra secara proaktif akan menjalankan kempen advokasi kepada orang awam mengenai sindiket penipuan kerja di negara asing.

    “Melalui kempen sedemikian, kita bukan sahaja dapat mendidik masyarakat mengenai penipuan kerja sebaliknya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia untuk mendapatkan peluang pekerjaan di luar negara melalui saluran yang betul serta dipercayai,” katanya.

    Pada 9 Sept lepas, Saifuddin dilaporkan berkata sehingga kini 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 148 kes yang dilaporkan.

  • Mahkamah rayuan kekal hukuman penjara bekas broker tanah terlibat aktiviti pengubahan wang haram

    Mahkamah rayuan kekal hukuman penjara bekas broker tanah terlibat aktiviti pengubahan wang haram

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM1 juta terhadap bekas broker tanah tidak berlesen berhubung aktiviti pengubahan wang haram kira-kira 18 tahun lepas.

    Gan Kiat Bend, 64, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda itu setelah ditolak oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.

    Hakim Datuk Hanipah Farikullah, yang mengetuai panel itu berkata tiada merit dalam rayuan Gan dan juga tiada kekhilafan oleh mahkamah sebelum ini untuk mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

    Dua lagi hakim ialah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Gan, yang diikat jamin RM170,000 sementara menunggu rayuannya selesai, diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan supaya mula menjalani hukuman penjara itu hari ini selepas mahkamah mengeluarkan waran komital terhadapnya.

    Gan dituduh dengan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dengan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2.4 juta, yang didakwa dilakukan di Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, di Jalan Ampang, Selangor, antara 19 Nov 2003 dan 9 Jan 2004.

    Pada 23 Dis 2010, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun serta denda RM1 juta dan jika gagal membayarnya, penjara setahun bagi pertuduhan pertama dan penjara dua tahun bagi pertuduhan kedua.

    Gan dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan ketiga dan dua tahun penjara bagi pertuduhan keempat. Hukuman itu berjalan serentak, bermakna dia hanya perlu menjalani hukuman penjara lima tahun.

    Mahkamah Sesyen juga memerintahkan Gan membayar penalti RM2.4 juta atau levi di bawah Seksyen (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, jika gagal membayar penalti dalam tempoh setahun, dia perlu dipenjara setahun dan penjara lapan bulan.

    Gan gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang menolaknya pada 10 Mac 2017.

    Gan membayar denda RM1 juta itu tetapi tidak membayar penalti RM2.4 juta.

    Dia pada mulanya didakwa bersama seorang lagi broker tanah tidak berlesen Ismail Hussin yang telah meninggal dunia.

    Gan diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Mokhtar, Nahra Dollah dan Samihah Rhazali.

  • Pensyarah didakwa buat tuntutan palsu RM12,488

    Pensyarah didakwa buat tuntutan palsu RM12,488

    SEORANG pensyarah sebuah universiti awam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas sembilan pertuduhan membuat tuntutan palsu, membabitkan bayaran sewa kenderaan dan pembelian peralatan geologi berjumlah RM12,488, empat tahun lalu.

    Jasmi Hafiz Abdul Aziz, 45, mengaku tidak bersalah, selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Mengikut tujuh pertuduhan, lelaki itu sebagai pensyarah kanan didakwa memperdayakan Jabatan Bendahari, Universiti Malaya (UM) dengan menggunakan tujuh tuntutan perjalanan palsu berkenaan bayaran sewa tiga jenis kenderaan antara 24 April 2018 hingga 29 Julai 2019, sedangkan sewaan itu tidak dibuat.

    Bapa kepada seorang anak itu juga didakwa atas dua pertuduhan memperdayakan Jabatan Bendahari, UM dengan membuat dua resit palsu berkaitan pembelian peralatan geologi bertarikh 19 Januari 2019 dan 23 Mac 2019, sedangkan pembelian tidak dibuat.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Geologi, Fakulti Sains, UM, antara 29 Mei 2018 hingga 23 Ogos 2019, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Jasmi Hafiz mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan pilihan iaitu menggunakan tujuh resit bayaran sewa tiga kenderaan yang sama dan dua resit membeli peralatan serupa sebagai tulen, sedangkan dia mengetahui resit itu palsu.

    Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di lokasi dan tarikh sama, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Abd Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi.

    Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang masih berkhidmat sebagai pensyarah, menanggung isteri serta seorang anak dan telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.

    Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi dalam kes berkenaan.

    Mahkamah menetapkan 18 Oktober untuk sebutan semula kes.

  • Tiada kicap ABC mengandungi sulfur dioksida dikesan dalam negara

    Tiada kicap ABC mengandungi sulfur dioksida dikesan dalam negara

    TIADA sampel produk kicap soya termasuk Kicap Soya Manis dan Sambal Sos Ayam Goreng jenama ABC di negara ini dikesan mengandungi sulfur dioksida berdasarkan pemantauan di semua pintu masuk dan pasaran tempatan dari Jun 2021 sehingga kini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semakan ke atas data Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) mengesahkan produk itu yang ditarik dari pasaran Singapura kerana mengandungi sulfur dioksida tidak diisytiharkan atau dilabel pada pembungkusan, turut diimport ke negara ini. 

    “Sejak Jun 2021 arahan Tahan Uji Lepas (TUL) dikenakan ke atas produk berkenaan di semua pintu masuk negara.

    “Arahan pelabelan semula atau arahan untuk dihantar semula ke negara asal turut dikeluarkan sekiranya tidak mematuhi keperluan pelabelan termasuk pelabelan sulfur dioksida,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Dr Noor Hisham berkata sulfur dioksida diklasifikasi sebagai bahan pengawet yang dibenarkan dalam makanan tertentu dan pada paras tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan ia tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan pada kepekatan yang dibenarkan.

    Bagaimanapun, sulfur dioksida boleh menyebabkan kesan alergi kepada sesetengah individu yang menghidap lelah atau asma apabila terhidu atau tertelan. dan kandungan sulfur dioksida melebihi 10 miligram bagi setiap kilogram hendaklah diisytihar atau dilabelkan.

    Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau kemusykilan mengenai  isu-isu keselamatan makanan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

    Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman rasmi Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan iaitu www.facebook.com/bkkmhq.- BERNAMA

  • Juruterbang helikopter hilang ditemukan mati di lokasi

    Juruterbang helikopter hilang ditemukan mati di lokasi

    JUTERBANG sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, ditemukan mati di lokasi kejadian, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

    Beliau berkata mayat juruterbang itu ditemukan di dalam kokpit helikopter tersebut oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi tadi.

    “Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus di sini. Lima minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada di dalam kokpit.

    “Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat. Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh hari ini.

    Beliau berkata siasatan mendapati juruterbang tersebut dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58 tahun merupakan warganegara Hongkong dan keluarganya telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.

    Menurutnya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.

    Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.- BERNAMA