Author: Bernama

  • Shahrir tidak isytihar pendapatan lebih RM1 juta

    Shahrir tidak isytihar pendapatan lebih RM1 juta

    MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad tidak pernah mengisytiharkan pendapatan melebihi RM1 juta bagi tahun taksiran 2013 hingga 2018 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN, Tuan Zulkfli Tuan Lah, 48, berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan Borang BE Taksiran yang merupakan maklumat pendapatan individu melalui penggajian yang diterima Shahrir.

    “Pendapatan yang diisytiharkan Tan Sri Shahrir pada 2013 (RM87,834), 2014 (RM128,104), 2015 (RM213,394), 2016 (RM189,545), 2017 (RM267,090) dan 2018 (RM193,191). Saya sahkan Tan Sri Shahrir tidak pernah mengisytiharkan sebarang pendapatan melebihi RM1juta bagi tahun-tahun taksiran 2013 sehingga 2018,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 kepada LHDN.

    Saksi pendakwaan ke-21 itu juga mengesahkan bahawa Shahrir telah menggunakan ‘username’ dan ‘password’ miliknya dan telah melaporkan pengisytiharan cukai bagi tahun-tahun tersebut secara e-Filing di laman sesawang LHDN.

    Tuan Zulkfli berkata, berdasarkan peruntukan Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) dan kaedah-kaedah, apa-apa perolehan atau keuntungan lain yang diterima selain daripada penggajian, mana-mana individu wajib melaporkan perolehan tersebut kepada LHDN.

    Mohd ‘Afif: Sekiranya seseorang itu menerima wang RM1 juta sebagai suatu sumbangan untuk dirinya atau kepada sesuatu pertubuhan dan sumbangan tersebut dimasukkan ke akaunnya peribadinya, adakah ia perlu diisytiharkan kepada LHDN?

    “Dari segi penaksiran, sekiranya jumlah itu (sumbangan) diterima oleh individu, tidak kiralah untuk apa, sewajarnya ia melaporkan kepada LHDN. Individu itu perlu melaporkannya dahulu kepada LHDN sebelum pihak LHDN tentukan sama ada ia dikenakan cukai ataupun tidak,” jawab saksi itu.

    Semasa ditanya sama ada individu itu boleh mengambil tindakan sendiri dengan tidak mengisytiharkannya (RM1 juta) sebab menganggapnya sebagai sumbangan atau pelaburan, saksi menjawab: “Tidak boleh”.

    Mohd ‘Afif: Berkaitan kes kita pada hari ini, sekiranya Tan Sri Shahrir menerima cek RM1 juta dan wang itu dimasukkan dalam akaun peribadinya, adakah beliau kena laporkan kepada LHDN wang tersebut pada tahun 2013?

    Tuan Zulkfli: Kena laporkan pada tahun diterima iaitu 2013.

    Sementara itu, ditanya peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros mewakili Shahrir sama ada saksi itu atau LHDN tidak menjalankan siasatan berhubung kemasukan RM1 juta ke akaun Shahrir, saksi itu menjawab tidak pasti kerana tiada semakan dibuat mengenainya.

    Tuan Zulkfli berkata, semasa perjumpaan dengan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pegawai tersebut hanya bertanyakan sama ada Shahrir melaporkan RM1 juta kepada LHDN tanpa membawa sebarang dokumen termasuk penyata akaun Shahrir.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.

  • PRU15 Musim Banjir: Kebajikan rakyat jadi keutamaan – Rina

    PRU15 Musim Banjir: Kebajikan rakyat jadi keutamaan – Rina

    KEBAJIKAN rakyat menjadi keutamaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam mendepani kemungkinan berlaku banjir berikutan peralihan monsun timur laut di negara ini.

    Menterinya Datuk Seri Rina Harun berkata kesiapsiagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini pada tahap 95 peratus termasuk persediaan pusat pemindahan sementara (PPS) dan barangan keperluan termasuk makanan.


    “Bukan kita nak menidakkan demokrasi, tapi ikut ramalan cuaca (Jabatan Meteorologi Malaysia) ada kemungkinan banjir, jadi kebajikan rakyat dan mangsa menjadi keutamaan kita. Ada di antara PPS juga digunakan tempat mengundi, jika berlaku banjir (ketika PRU15), mana lebih utama jadi PPS atau pusat mengundi? Biasanya kalau banjir, mangsa tak sempat selamatkan barang penting termasuk IC (kad pengenalan), IC pun tiada, macam mana nak undi?,” katanya pada sidang media selepas Forum Kepimpinan Wanita Dalam Politik: Memacu Realiti Peningkatan Perwakikan Wanita Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Badan Legislatif.


    Beliau berkata demikian setelah ditanya mengenai hasrat UMNO yang mahu PRU15 diadakan tahun ini juga meskipun peralihan monsun timur laut diramal melanda bermula awal bulan ini hingga bulan depan.


    Rina berkata beliau menyuarakan pendirian tersebut ketika mesyuarat jemaah menteri yang membincangkan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15

    Setakat ini, katanya 6,010 PPS telah dikenal pasti dan jumlahnya mungkin mencecah 10,000 tempat di seluruh negara bagi memastikan keselesaan mangsa banjir.

    Sementara itu, Rina berkata kementerian menyokong satu Jawatankuasa Pemantauan Masyarakat Sivil PRU15 diwujudkan di bawah Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) bagi memastikan sasaran 30 peratus wanita sebagai calon PRU dan legislatif tercapai.

    “Kita tidak mahu lagi ia sekadar retorik semata-mata kerana setakat ini penyertaan wanita sebagai pembuat dasar di negara ini hanya 14 peratus jauh daripada sasaran kita sejak 2004,” katanya.

    Katanya Forum Ekonomi Sedunia (WEF) menyatakan Malaysia menduduki tangga ke-103 daripada 146 negara dalam Indeks Jurang Gender Global 2022 dengan skor 0.681 dan berada di tangga kelapan daripada 10 negara ASEAN.

    Beliau berharap pilihanraya akan datang boleh menjadi medan untuk meletakkan lebih ramai wanita sebagai calon.

  • GEG: RUU tidak menjenayahkan kanak-kanak – Khairy

    GEG: RUU tidak menjenayahkan kanak-kanak – Khairy

    DAKWAAN Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 ‘menjenayahkan kanak-kanak’ adalah mengelirukan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata kompaun bagi orang belum dewasa yang merokok sememangnya wujud dalam peraturan sedia ada dan tidak boleh didaftar sebagai kesalahan jenayah.

    “Dia (perokok belum dewasa) bukannya masuk penjara dan tiada hukuman penjara bagi mereka ataupun dalam RUU baharu ini kepada mereka yang lahir selepas 2007.

    “Jadi janganlah kelirukan rakyat menyatakan bahawa kanak-kanak akan dijenayahkan. Itu tidak betul. Sekarang pun kalau ada kanak-kanak beli rokok dan sekiranya dikesan penguat kuasa, dia akan dikompaun RM50 sahaja,” katanya pada pemberita selepas merasmikan portal KKMNOW, sebagai mengulas penyerahan memorandum pihak Consumer Choice Centre (CCC) di Parlimen hari ini bagi membantah pelaksanaan RUU tersebut.

    Memorandum tersebut menyenaraikan tiga bantahan yang menyifatkan RUU itu mengandungi kuasa penguatkuasaan yang besar, menjenayahkan kanak-kanak dan menyebabkan golongan miskin terjejas.

    RUU berkenaan antaranya bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada 1 Jan 2007 dan tahun seterusnya, bertujuan melahirkan Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG) bagi merokok.

    Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Khairy pada 27 Julai lepas tetapi kemudiannya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi.

    Khairy berkata RUU tersebut telah melalui proses perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu yang wakilnya terdiri daripada pelbagai ahli politik dan antara pindaan dibuat adalah untuk memperkemaskan kuasa-kuasa penguatkuasaan supaya jelas bahawa tiada kuasa yang keterlaluan.

    Terdahulu, Khairy dalam ucapanya berkata KKMNOW merupakan kesinambungan atau peluasan kepada fungsi portal COVIDNOW, selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan dan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan satu platform bersepadu bagi tujuan perkongsian data kesihatan.

    Katanya skop KKMNOW yang lebih luas itu merangkumi paparan data berkaitan program kesihatan seperti pendermaan darah dan organ, saringan kesihatan dan data penyakit berjangkit.

    KKMNOW dibangunkan dengan kerjasama strategik dengan Jabatan Perangkaan (DOSM) dan ia oleh diakses menerusi https://data.moh.gov.my/. – BERNAMA

  • Tender perolehan meriam SPH belum ditawarkan – Hishammuddin

    Tender perolehan meriam SPH belum ditawarkan – Hishammuddin

    TENDER perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howittzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) belum lagi dianugerahkan kepada mana-mana syarikat, demikian ditegaskan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

    Katanya, proses perbincangan aset perolehan melibatkan peruntukan RM854 juta itu masih berjalan antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Kewangan (MOF).

    Justeru, pendedahan mengenai proses perolehan SPH oleh pihak tidak bertanggungjawab adalah bagi menimbulkan keraguan masyarakat terhadap kerajaan, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi keupayaan kesiagaan Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP) di Lapang Sasar Menembak Praktikal, Kem Sungai Besi, di sini, hari ini.

    Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa tender perolehan SPH itu dianugerahkan secara terus kepada sebuah syarikat pembekalan yang baru dua tahun ditubuhkan dan bukan menerusi tender terhad.

    Hishammuddin berkata proses perolehan untuk memberi penganugerah itu melibatkan banyak agensi, dan bukan sahaja MINDEF dan seperti biasa mereka akan berbincang dengan MOF terlebih dahulu.

    “Sebelum ini, surat antara kementerian dan sebagainya adalah rahsia kerajaan kerana kita mempunyai Akta Rahsia Rasmi (OSA) tetapi dalam keadaan sekarang, tiada benda yang rahsia.

    “Bagi saya, setakat proses nak beri projek saya tidak risau sangat, tetapi jika maklumat rahsia berhubung kait dengan peralatan dan boleh menjejaskan kesiapsiagaan kita boleh bocor kepada musuh, itu lebih membimbangkan,” katanya.

    Terdahulu, Hishammuddin menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik antara MINDEF, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) di Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Kem Sungai Besi.

    Pemeteraian MoU itu menyaksikan Unirazak akan menyediakan 250 tempat setahun bagi tempoh lima tahun untuk anak-anak anggota ATM dan warga awam MINDEF mengikuti program dermasiswa pengajian asasi Sastera secara percuma melibatkan kos sebanyak RM15.625 juta.

    Mengakhiri lawatannya di Kem Sungai Besi, Hishammuddin turut meluangkan masa melawat Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim ATM dan menyampaikan sumbangan wakalah zakat dan bantuan Pendidikan Yayasan LTAT kepada 74 pelajar sekolah itu dengan jumlah keseluruhan RM80,000. – BERNAMA

  • Dua pengarah, seorang pengurus syarikat didenda RM175,950 jual kasut, selipar palsu

    Dua pengarah, seorang pengurus syarikat didenda RM175,950 jual kasut, selipar palsu

    DUA pengarah syarikat dan seorang pengurus masing-masing didenda RM175,950 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, hari ini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan memperdagangkan 17,595 pasang kasut dan selipar berjenama palsu, tiga tahun lepas.

    Hakim Norashima Khalid turut memerintahkan pengarah syarikat Yap Kian Seng, 60, dan Sun Haixia, 40, serta pengurus Yap Yin Keat, 50, dipenjara dua tahun jika gagal membayar denda.

    Norashima juga mengenakan hukuman denda sebanyak RM263,925 ke atas syarikat Enhengda Sdn Bhd atas pertuduhan terbabit.

    Hakim membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Mengikut pertuduhan, mereka dan syarikat didapati ada dalam kawalan untuk pembekalan apa- apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan bagi kesemua barangan itu seolah-olah barangan berkenaan tertakluk kepada apa-apa hak yang yang berhubung dengan cap dagangan berdaftar jenama berkenaan.


    Barangan itu melibatkan 2,290 unit selipar jenama PUMA, 12,011 unit kasut dan selipar jenama NIKE, 2,844 unit kasut jenama GUCCI serta 450 unit selipar jenama LEVI’S pelbagai saiz dan jenis.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis tanpa nama beralamat di nombor 5 & 7, Hala Perusahaan Kledang Utara 2, Kawasan Perindustrian Menglembu di sini pada kira-kira 11.30 pagi, 18 Disember 2019.


    Pertuduhan ke atas ketiga-tiga individu itu dikemukakan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(B) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


    Syarikat pula didakwa di bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(A) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000 untuk setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu, jika sabit kesalahan.


    Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman sehingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh selesai dengan kesemua tertuduh diikat jamin RM50,000 setiap seorang.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Muhammad Ridzuan Abd Rahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Asri Osman dan Mohd Fitri Asmuni.

  • Kes rayuan Rosmah 14 November hadapan

    Kes rayuan Rosmah 14 November hadapan

    TARIKH baharu pengurusan kes rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditetapkan pada 14 November hadapan.

    Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata, semasa pengurusan kes dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron tadi, peguam Datuk Jagjit Singh memaklumkan bahawa mereka masih belum mendapatkan rekod rayuan.

    Poh berkata, peguam itu juga memohon supaya rayuan anak guamnya terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan yang menolak permohonan supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu dan membuat keputusan mengenai kes solar itu, didengar dahulu.

    “Saya memberitahu pendaftar bahawa pihak pendakwaan tidak membantah terhadap rayuan Rosmah supaya hakim menarik diri itu didengar terlebih dahulu,” kata Poh ketika dihubungi.

    Mahkamah kemudian menetapkan 14 November untuk pengurusan kes seterusnya bagi menyemak pemfailan petisyen rayuan.

    Bagaimanapun, seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu bahawa mereka masih belum memfailkan petisyen rayuan.

    Pada 1 September lalu, Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta ke atas Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

    Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun, beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana hakim mengarahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

    Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

    Rosmah dituduh atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

    Rosmah kemudiannya memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya itu pada 2 September.

    Beliau turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan kes itu.

  • LHDN tarik rayuan berkaitan cukai pendapatan terhadap anak Najib

    LHDN tarik rayuan berkaitan cukai pendapatan terhadap anak Najib

    LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) menarik balik rayuannya, yang difailkan di Mahkamah Rayuan, berhubung samannya terhadap anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa bagi mendapatkan RM10.3 juta cukai pendapatan tidak dibayar.

    Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Nooryana Najwa berkata LHDN memfailkan notis untuk tidak meneruskan rayuan itu pada Isnin.

    “Anak guam kami telah menyelesaikan kes cukainya selepas ejen cukainya dan LHDN berbincang mengenainya,” katanya semasa dihubungi hari ini.

    Wee berkata rayuan LHDN yang dijadualkan didengar hari ini.

    LHDN merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos 2020 yang menolak permohonannya untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Nooryana Najwa bagi mendapatkan semula RM10.3 juta cukai pendapatan yang belum dibayar.

    Pada 24 Julai 2019, kerajaan Malaysia memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan menerusi LHDN, di Mahkamah Tinggi, menamakan Nooryana Najwa selaku defendan.

    Menurut penyataan tuntutan, LHDN mendakwa Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang Nyata Orang Perseorangan mengikut Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Taksiran 2011 sehingga 2017.

    LHDN mendakwa sehingga kini, defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335,292.36.- BERNAMA

  • RM1 juta masuk akaun bank Shahrir bersama isteri – Pengurus bank

    RM1 juta masuk akaun bank Shahrir bersama isteri – Pengurus bank

    MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bahawa terdapat kemasukan wang RM1 juta ke dalam akaun bersama Public Islamic Bank atas nama Tan Sri Shahrir Ab Samad dan isterinya Puan Sri Shahrizan Abdullah melalui cek pada 28 Nov 2013.

    Pengurus Perkhidmatan Perbankan, Public Islamic Bank Berhad, Cawangan Bukit Damansara, Mohd Farid M. Alnafiah, 40, berkata salinan cek AmIslamic Bank atas nama Shahrir berjumlah RM1 juta bertarikh 27 Nov 2013 dibuat daripada akaun AmIslamic Bank Berhad bernombor 2022011906.

    “Berdasarkan penyata akaun, saya sahkan pada 25 Nov 2013 baki akaun ini (akaun bersama Shahrir dan Shahrizan) adalah sebanyak RM82,324.96 (sebelum kemasukan RM1 juta),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Menurut saksi pendakwaan ke-20 itu, cek RM1 juta itu berjaya diproses dan ‘diclearkan’ berikutan tiada sebarang keraguan pada cek berkenaan.

    Saksi itu berkata terdapat pengeluaran RM200,000 melalui cek  bertarikh 2 Dis 2013 daripada Shahrizan menerusi akaun bersama Shahrir (Public Islamic Bank) yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad atas nama Shahrizan dan anaknya, Marisa Diyana Shahrir.

    Beliau berkata berdasarkan penyata akaun bank Shahrizan dan Marisa pada 27 Nov 2013 baki akaun adalah RM2,287,589.77 dan baki penutup akaun itu pada 6 Dis 2013 adalah RM2,533,272.24.

    Kepada soalan peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir, saksi berkata beliau tidak tahu sama ada RM200,000 dikeluarkan Shahrizan adalah wang bayaran balik (refund) daripada Shahrir.

    Syed Faisal Al-Edros: Encik Farid ada pengetahuan atau tidak RM200,000 itu merupakan duit ‘refund’ yang Tan Sri Shahrir pinjam daripada isteri (Shahrizan) untuk melakukan aktiviti politik di Johor Bahru dan kerja membaik pulih Projek Puri Langkasuka, Larkin?

    Mohd Farid: Tidak tahu.

    Saksi juga mengesahkan Shahrir melakukan 20 transaksi bank berjumlah RM1,223,680 dari 4 Jun hingga 17 Okt 2013, namun beliau sekali lagi menjawab ‘tidak tahu’, selepas peguam mencadangkan wang itu digunakan bagi aktiviti politik dan membaik pulih Projek Puri Langkasuka.

    Ditanya seorang lagi peguam mewakili Shahrir, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, pengurus bank itu berkata pihak LHDN tidak mengambil keterangannya bagi membantu siasatan kes berkenaan dan SPRM juga tidak merekod percakapannya, tetapi hanya memohon kemuka dokumen.

    Sementara itu, Mohd Farid mengesahkan Shahrir telah mengeluarkan cek berjumlah RM115,000 ke akaun bernombor 114329041647 bertarikh 9 Dis 2013; RM10,000 atas nama UMNO Cawangan Taman Kebun Teh bertarikh 7 Dis 2013; RM118,485 atas nama Sutera Auto Sdn Bhd bertarikh 21 Dis 2013; RM10,000 atas nama Cash bertarikh 8 Jan 2014; RM100,000 dan RM200,000 atas nama Syed Mohsin Syed Sagaf, masing-masing bertarikh 6 Feb dan 28 Feb 2014 serta RM63,800 atas nama Zam Engineering & Construction bertarikh 22 Mac 2014.

    “Saya juga sahkan terdapat pindahan wang daripada akaun Public Islamic Bank milik Tan Sri Shahrir atas nama YM Auto Wheels Enterprise berjumlah RM180,000 pada 31 Mac 2014 dan saya sahkan permohonan pindahan tersebut dibuat oleh Tan Sri Shahrir berdasarkan kepada tandatangan pada slip,” katanya.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.- BERNAMA

  • Setapak lubuk doktor gigi palsu, aktif promosi khidmat guna media sosial

    Setapak lubuk doktor gigi palsu, aktif promosi khidmat guna media sosial

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengenal pasti Setapak menjadi lubuk bagi kegiatan doktor gigi palsu atau tidak bertauliah yang dilihat semakin meningkat dan aktif mempromosikan perkhidmatan mereka menerusi media sosial.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM memandang serius perkara itu dan menerusi Akta Pergigian 2018 yang dikuatkuasakan pada 1 Jan lepas, sebanyak 10 serbuan telah dilakukan KKM ke atas premis pergigian tidak bertauliah di seluruh negara setakat ini.

    “Baru-baru ini, KKM melakukan serbuan di Setapak, Kuala Lumpur dan difahamkan Setapak ini adalah lubuk bagi doktor gigi palsu.

    “Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai doktor gigi tanpa tauliah ini, boleh kemukakan (maklumat) kepada KKM untuk kita lakukan serbuan. Saya beri jaminan sekiranya kita mendapat apa-apa laporan, pihak berkuasa akan terus membuat serbuan,” katanya pada sidang media selepas melawat Klinik Pergigian Bandar Botanik di sini hari ini.

    Beliau berkata pengamal perubatan pergigian haram yang didapati bersalah, boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga enam tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Pergigian 2018.

    Mengulas mengenai lawatan itu, Khairy berkata Klinik Pergigian Bandar Botanik kini dalam proses pelaksanaan Proof of Concept (POC) untuk Projek Rintis Penghasilan Gigi Palsu (Dentur) menggunakan teknologi 3D.

    Projek itu adalah yang pertama seumpamanya dijalankan KKM bagi memperkenalkan teknologi terkini pembuatan gigi palsu kepada anggota pergigian KKM serta mempercepatkan penghasilan dentur.

    “Menerusi projek rintis ini juga, dijangkakan penghasilan dentur pada masa hadapan dapat ditingkatkan daripada purata 90 unit kepada 300 unit sebulan bagi setiap klinik pergigian yang dilengkapi dengan teknologi 3D ini. 

    “Kekerapan lawatan pesakit untuk pembuatan dentur turut dapat dikurangkan kepada dua kali lawatan sahaja berbanding lima kali lawatan yang menggunakan kaedah konvensional,” katanya.

    Khairy berkata projek itu bermula pada 15 Ogos lepas dan akan dilaksanakan selama tiga bulan hingga 15 Nov di dua fasiliti kesihatan pergigian iaitu Klinik Pergigian Bandar Botanik dan Klinik Pergigian Kuala Lumpur. – BERNAMA

  • KPWKM sasar kaunselor berdaftar kepada nisbah 1:500

    KPWKM sasar kaunselor berdaftar kepada nisbah 1:500

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meletakkan sasaran untuk mencapai nisbah seorang kaunselor berdaftar bagi 500 penduduk, kata Menterinya Datuk Seri Rina Harun.

    Menurut beliau, dalam beberapa tahun ini keperluan kepada perkhidmatan kaunseling begitu mendesak.

    “Dalam tempoh dua tahun negara menghadapi pandemik COVID-19 ini dan kemudiannya pasca COVID-19, kita lihat banyak isu dan kes yang melalui perkhidmatan kaunseling dapat menyelamatkan nyawa seseorang,” katanya kepada media selepas melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan di sini hari ini.

    Beliau berkata setakat 31 Ogos lepas, jumlah kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor ialah seramai 10,136 orang atau seorang kaunselor berdaftar bagi 3,327 penduduk.

    “Kita tidak meletakkan sasaran berapa tempoh atau tahun untuk kita mencapai nisbah satu kaunselor bagi 500 penduduk, kerana kita sedar setiap tahun jumlah penduduk bertambah, namun kita percaya ia boleh dicapai,” katanya.

    Rina berkata antara inisiatif yang akan dilaksanakan KPWKM ialah menambah baik proses pendaftaran kaunselor melalui penerimaan permohonan dan melaksanakan sesi pengesahan kelayakan kaunselor secara dalam talian.

     “Selain daftar melalui dalam talian, kita juga akan turun padang untuk mudahkan kaunselor ini buat pendaftaran menerusi program yang kita anjurkan.

    “Kita dapati ada antara mereka ini yang bila dah habis belajar, tak semuanya jadi kaunselor berdaftar kerana mungkin mereka kerja di bahagian yang tak melibatkan kaunseling jadi sebab itu dia tak daftar sebagai kaunselor,” katanya.

    Menurut Rina, kira-kira 60 peratus daripada jumlah kaunselor yang berdaftar berada dalam perkhidmatan awam, perguruan dan akademik seperti di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. – BERNAMA