Author: Bernama

  • Kes bunuh CEO Cradle Fund: Pengurusan rayuan pendakwaan 12 Jan

    Kes bunuh CEO Cradle Fund: Pengurusan rayuan pendakwaan 12 Jan

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 12 Jan untuk pengurusan kes seterusnya bagi rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan.

    Peguam Rahmat Mohamed Hazlan, semasa dihubungi berkata pendengaran rayuan berkenaan belum ditetapkan kerana rekod rayuan masih belum siap.

    Pengurusan kes rayuan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

    Pada 21 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membebaskan Samirah, 47, yang juga balu Nazrin, serta dua remaja berumur 19 dan 16 tahun selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    Samirah dan kedua-dua remaja serta seorang wanita warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, telah didakwa membunuh Nazrin, 45, di rumahnya di Mutiara Damansara di antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokan harinya.

    Pada 23 Jun lepas, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin.

    Pada 30 Jun lepas pula, Samirah dan kedua-dua remaja turut memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin ‘dilakukan dengan sengaja.’

    Hakim Mahkamah Tinggi dalam penghakiman lisannya, berkata mahkamah menerima keterangan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Edwin Galan Teruki serta pegawai penyiasat kes Halim Zulkefeli yang merumuskan bahawa kebakaran itu telah dilakukan dengan sengaja.

  • PRU-15:Pas tanding lebih 60 kerusi Parlimen, ada penyandang tidak dicalon semula

    PRU-15:Pas tanding lebih 60 kerusi Parlimen, ada penyandang tidak dicalon semula

    TERDAPAT penyandang kerusi Parlimen tidak dicalonkan semula untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila Pas mengumumkan calonnya untuk bertanding di lebih 60 kerusi Rabu ini, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata penyandang yang tidak dicalonkan semula itu telah diberitahu lebih awal dan mereka menerima dengan hati terbuka. 

    Pas kini menyandang 17 kerusi Parlimen.

    “Bukan mereka tak bagus, kesemua 17 Ahli Parlimen Pas berkhidmat dengan baik tapi kita mahu beri peluang kepada muka baharu, itu perkara biasa dalam parti,” kata Takiyuddin, yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, kepada pemberita selepas majlis pengumuman Program Tenaga Hijau Korporat di Putrajaya hari ini. 

    Takiyuddin yang mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu berkata beliau percaya tidak ada yang merajuk atau bertindak di luar batasan jika tidak tercalon semula.

    “Dalam Pas kita berebut, bukan berebut kerusi, tapi berebut nak berundur (dari bertanding),” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon (5 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov. 

  • Kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis antara manifesto PN Perlis

    Kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis antara manifesto PN Perlis

    USAHA mengembalikan semula kegemilangan pasukan bola sepak Perlis akan menjadi satu daripada manifesto Perikatan Nasional (PN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusinya Abu Bakar Hamzah.

    “Sebelum ini, pasukan bola sepak negeri Perlis pernah menjuarai Piala Malaysia dua kali pada 2004 dan 2006, jadi kita ingin kembalikan semula detik nostalgia kegemilangan pasukan Singa Utara kepada rakyat negeri ini setelah sekian lama mengalami kejatuhan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Gegar Anak Muda Perlis (Gema Perlis Baharu) di Denai Larian, Pengkalan Asam di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersatu Perlis berkata PN Perlis akan mengumumkan nama calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 Nov ini.

    “PN Perlis akan bertanding di semua 15 kerusi DUN iaitu sembilan kerusi bagi calon PAS dan enam kerusi untuk Bersatu,” katanya.

    Beliau berkata bagi peringkat Parlimen, PAS akan bertanding di dua kerusi iaitu Padang Besar dan Arau manakala Bersatu di Kangar.

    Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Asrul Aimran Abd Jalil berkata PAS akan memperkasakan penggunaan media sosial sebagai ‘senjata’ baharu bagi menarik pengundi khususnya golongan muda pada PRU15 selain mengekalkan kaedah konvensional iaitu ceramah politik.

    Ketua Pemuda PN Negeri Perlis itu berkata PAS juga tidak lagi memberi tumpuan kepada ceramah secara besar-besaran sebaliknya akan menganjurkan kempen dalam bentuk skala kecil bagi memberi tumpuan mengikut bahagian atau kawasan.

    “PN Perlis telah memilih cogan kata ‘Perlis Baharu’ bagi mendekati generasi muda dalam media sosial seperti Tik Tok, Facebook, Instagram dan juga Twitter,” katanya kepada pemberita pada majlis sama.

    Asrul Aimran berkata selain media sosial, PN Perlis juga menganjurkan program sukan dan juga mengedar ‘Kad Keluar Mengundi’ sebagai sentuhan pertama mendekati golongan muda di negeri ini. – BERNAMA

  • PRU: Amanah tanding 54 kerusi Parlimen

    PRU: Amanah tanding 54 kerusi Parlimen

    PARTI Amanah Negara (Amanah) akan meletakkan calon untuk bertanding di 54 kerusi Parlimen di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 Nov ini.

    Jumlah itu meningkat 35 peratus berbanding kerusi Parlimen yang ditandingi Amanah semasa PRU14 pada 2018, iaitu sebanyak 27 kerusi.

    Timbalan Presiden Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Pulai manakala Presiden Mohamad Sabu akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja.

    Pada PRU14, Mohamad Sabu memenangi kerusi itu dengan majoriti 71,142 undi sementara Salahuddin   menewaskan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga penyandang kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 28,924 undi.

    Turut diumumkan sebagai calon ialah dua Naib Presiden iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena dan kerusi Parlimen Parit Buntar. 

    Selain itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad diumum sebagai calon bagi kerusi Parlimen Titiwangsa manakala Pengarah Strategi Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor.

    Dalam pengumunan di Wisma Amanah Negara dekat sini, empat penyandang digugurkan sebagai calon iaitu Naib Presiden Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Tampin Datuk Dr Hasan Bahrom dan Ahli Parlimen Temerloh Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir.

    Bagi calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Sepang ialah Raj Muni Aiman Athirah, Mohd Hasbie Muda (Temerloh), Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat) dan Muhammad Faiz Fadzil (Tampin), manakala kerusi Parlimen Shah Alam yang disandang Khalid sejak 2008 akan ditandingi oleh Azli Yusof.

    Khalid berkata keempat-empat penyandang sebelum ini tidak dinamakan sebagai calon bagi memberikan peluang kepada muka baharu untuk bertanding pada PRU15.

    “Ia tidak menggambarkan seolah-olah mereka tidak berprestasi dengan baik, (tetapi) hanya satu peralihan dan pertukaran yang kita nak galakkan berlaku di Amanah…kita ingin bakat baharu dan muka baharu diberi peluang. 

    “Mereka semua telah menunjukkan prestasi yang baik dan memuaskan dan kita anggap ini peluang untuk muka baharu,” katanya. 

    Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Mohamad berkata watikah pencalonan kesemua calon Amanah yang akan bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) akan dipersetujui Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu. 

    Katanya, watikah pencalonan itu akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon pada 5 Nov.

    Ditanya mengenai reaksi dua ahli Amanah yang keluar parti, Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Datuk Husam Musa yang bertanding di bawah tiket PKR, Mohamad berkata tindakan itu dialu-alukan memandangkan mereka masih di bawah PH. 

    Nik Omar akan bertanding di bawah tiket PKR di Parlimen Pasir Salak dan Husam menjadi calon PKR bagi kerusi Parlimen Pasir Mas. – BERNAMA

  • PRU-15: PN Kelantan bertanding sembilan kerusi, Bersatu lima

    PRU-15: PN Kelantan bertanding sembilan kerusi, Bersatu lima

    PERIKATAN Nasional (PN) Kelantan memperuntukkan sembilan kerusi kepada PAS dan lima kepada Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Setiausaha Perhubungan PN Kelantan Wan Roslan Wan Hamat.

    Beliau berkata pengumuman calon yang bakal bertanding itu akan dibuat pada Rabu ini (2 Nov) oleh Pengerusi PN Kelantan, merangkap Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

    Katanya kesemua calon PN yang akan bertanding di 14 kerusi Parlimen Kelantan, akan menggunakan logo PAS seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.

    “Kesemua calon PAS telah ditapis oleh Majlis Syura Ulama dan (demikian juga) calon Bersatu seperti diumumkan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassan sebelum ini,” katanya pada sidang media khas tarikh pengumuman Majlis Pengisytiharan Calon PN Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

    Ketika ditanya sama ada Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan kekal mempertahankan kerusi masing-masing, Wan Roslan berkata keputusan mengenai perkara itu belum dimuktamadkan.

    “Keputusan calon yang akan bertanding akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat. Kerjasama antara PAS dan Bersatu juga cukup mantap, kita akan mengatur gerak kerja sebaik selepas penamaan calon.

    “Semua kerusi insya-Allah PAS letak jentera yang akan bekerja dengan keras walaupun kerusi selesa, apatah lagi yang tidak selesa,” katanya.

    Pada PRU14, Tuan Ibrahim menang di kerusi Parlimen Kubang Kerian dengan majoriti 19,369 undi  manakala Takiyuddin memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu dengan memperoleh majoriti 5,869 undi.

    Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata gabungan itu menyasarkan untuk menyapu bersih semua kerusi Parlimen termasuk Parlimen Jeli, menerusi kerjasama antara semua parti dalam PN Kelantan. – BERNAMA

  • PRU-15: Pas kekalkan lebih 10 penyandang kerusi Parlimen

    PRU-15: Pas kekalkan lebih 10 penyandang kerusi Parlimen

    PAS akan mengekalkan sekurang-kurangnya 10 penyandang kerusi Parlimen termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci nama penyandang terbabit.

    “Pada PRU14, PAS memiliki 18 kerusi Parlimen, jadi untuk pilihan raya kali ini kita akan kekalkan lebih 10 penyandang untuk sekali lagi bertanding kerana kita percaya mereka boleh menang di kawasan berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Majlis Ramah Mesra bersama Kelab Media Kelantan di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata Perikatan Nasional optimis untuk memenangi kesemua kerusi Parlimen di Kelantan berdasarkan rekod pencapaian yang baik di negeri itu.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan  pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • PRU-15: PDRM kenal pasti kurang daripada 100 kawasan ‘panas’

    PRU-15: PDRM kenal pasti kurang daripada 100 kawasan ‘panas’

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti kurang daripada 100 kawasan berstatus ‘hotspot’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata penugasan pegawai dan anggota telah dibuat untuk ditempatkan di kesemua kawasan tersebut.

    “…melalui risikan daripada polis daerah, kita tahu beberapa kawasan agak hangat dari segi kempen, sentimen emosi dan seumpamanya. Kita sudah kenal pasti dan membuat penugasan sewajarnya untuk berusaha meredakan suhu apabila kempen tiba kelak,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Asas Tiger Platoon Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Batalion 6 PGA di sini hari ini.

    Katanya seorang anggota polis akan ditempatkan di setiap saluran mengundi yang melibatkan lebih 38,000 saluran, selain anggota dan pegawai untuk tugasan kawalan rondaan.

    “Kesemua mereka akan bertugas bermula hari penamaan calon, masa berkempen…bagi memastikan tiada unsur mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya.

    Acryl Sani turut mengingatkan mereka yang terlibat dengan kempen pilihan raya supaya berhemah dan tertib, mengikut peraturan yang ditetapkan.

    Sebelum ini, Acryl Sani dilaporkan berkata seramai 94,411 daripada 120,557 pegawai dan anggota PDRM akan digerakkan bagi menghadapi PRU15.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov dengan penamaan calon pada 5 Nov, manakala pengundian awal pada 15 Nov ini. – BERNAMA

  • PRU-15: Ahli Bersatu tak wajar ugut keluar parti jika tidak tercalon

    PRU-15: Ahli Bersatu tak wajar ugut keluar parti jika tidak tercalon

    AHLI Bersatu tidak wajar membuat ugutan keluar parti sekiranya tidak dicalonkan bagi kerusi tertentu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak itu berkata ahli parti perlu mengikut keputusan dan menyokong calon yang diperkenalkan bagi memastikan kejayaan dan kemenangan pada PRU15.

    “Kalau ada kalangan pemimpin yang sanggup meninggalkan parti sekiranya tidak dicalonkan serta menjadi calon Bebas, jelas pemimpin itu berjuang untuk diri sendiri tetapi bukan parti yang diwakilinya,” kata Menteri Belia dan Sukan itu ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Perak Youth Centre (PYC) Tambun di sini hari ini.

    Penyandang Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi kononnya penyandang Parlimen Bagan Serai dari Bersatu, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali telah memberi bayangan akan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi itu sekiranya dia tidak dicalonkan oleh PN pada PRU15.

    “Beliau (Dr Noor Azmi) tidak pernah menyatakan perkara itu kepada saya sendiri secara peribadi tetapi pada saya mana-mana ahli parti tidak sewajarnya membuat ugutan kepada parti,” katanya.

    Sementara itu, Ahmad Faizal berkata agihan kerusi antara parti dalam PN telah dimuktamadkan dan sebarang perubahan atau perkara berkenaan keputusan calon yang dipilih bagi kawasan tertentu perlu dibuat di peringkat tertinggi iaitu presiden parti masing-masing.

    “Ia akan diumumkan dalam masa terdekat. Kalau boleh hendak umum pada hari ini supaya tiada lagi spekulasi tetapi tunggu arahan parti untuk mengadakan pengumuman pada masa sesuai,” katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: PN selesai agih kerusi, Bersatu umum calon sehari dua

    PRU-15: PN selesai agih kerusi, Bersatu umum calon sehari dua

    PENGAGIHAN kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah selesai dan parti komponen, Bersatu, akan mengumumkan senarai calonnya dalam “sehari dua lagi”, kata Ketua Penerangan PN  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    “Pembahagian kerusi telah dibincangkan dengan baik dan masing-masing (parti komponen) juga gembira dengan pengagihan kerusi itu,” katanya dan menambah pengagihan kerusi itu dimuktamadkan dengan cukup harmoni.

    PN dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

    Mohamed Azmin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata Bersatu telah memuktamadkan calon PRU15 parti itu yang akan diumumkan dalam tempoh satu dua hari.

    “Tumpuan kita untuk pilihan raya ini adalah mewujudkan gabungan kerajaan yang kuat, bersih serta dapat menjamin masa depan rakyat dan negara,’’ katanya yang juga merupakan Pengerusi PN Selangor.

    Mohamed Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-sama Komuniti di Dewan Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa hari ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRU15 pada Sabtu ini (5 Nov),  hari pengundian pula pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • 19 warga asing maut tragedi rempuhan di Itaewon, Seoul

    19 warga asing maut tragedi rempuhan di Itaewon, Seoul

    SEKURANG-kurangnya 19 warga asing disahkan maut dalam kejadian rempuhan semasa sambutan Halloween di daerah Itaewon di Seoul, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan pihak bomba.

    Angka kematian meningkat kepada 151 dengan 19 daripadanya dikenal pasti sebagai warga asing berasal dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway, kata ketua jabatan bomba di Yongsan Choi Seong Beom dalam sesi taklimat.

    Mereka yang terbunuh terdiri 97 perempuan dan 54 lelaki.

    Presiden Yoon Suk Yeol dalam ucapannya secara langsung dari pejabat presiden berkata: “tragedi dan bencana pada Sabtu itu tidak sepatutnya berlaku.”

    Presiden juga mengumumkan negara akan berkabung susulan kejadian itu.

    Rempuhan itu disifatkan insiden terburuk di Korea Selatan sejak tragedi feri Sewol karam pada 2014 mengorbankan 304 nyawa, kebanyakannya pelajar sekolah menengah.

    Sambutan itu merupakan acara Halloween pertama di Seoul dalam tempoh tiga tahun selepas negara itu menarik balik kebanyakan sekatan COVID-19.

    Punca sebenar kejadian masih belum diketahui. – BERNAMA