Author: Bernama

  • Pelakon Syazlin Zainal maut dipercayai jatuh dari tingkat 22 pangsapuri

    Pelakon Syazlin Zainal maut dipercayai jatuh dari tingkat 22 pangsapuri

    PELAKON drama Oh My Hantaran, Syazlin Zainal maut dipercayai akibat jatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru, semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat wanita berusia 26 tahun itu di bahagian bawah pangsapuri tersebut pada 12.50 tengah hari.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita yang bekerja sebagai pelakon sambilan.

    “Sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Bernama.

    Beliau berkata menerusi siasatan awal, pihaknya tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Raub meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Balai Polis Taman Pelangi atau Pegawai Penyiasat ASP Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.

  • Aset Rafizi: KDN hanya siasat jika terdapat keperluan – Hamzah

    Aset Rafizi: KDN hanya siasat jika terdapat keperluan – Hamzah

    KEMENTERIAN Dalam Negeri hanya akan melakukan siasatan jika terdapat keperluan berhubung aset milik Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

    Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata siasatan berhubung perkara itu setakat ini akan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Kalau satu agensi ambil tindakan maka biar satu agensi dahulu yang ambil tindakan. Bila diperlukan baru kita ambil tindakan,” katanya ketika ditanya pemberita adakah polis akan melakukan siasatan terhadap Rafizi berhubung perisytiharan hartanya.

    Semalam, media melaporkan SPRM akan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta dilakukan Rafizi.

    Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara sebelum itu menggesa SPRM menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytiharkan Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Pandan.

    Presidennya, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz mempersoal deklarasi aset Rafizi dengan RM16 juta diperoleh melalui pegangan saham dalam syarikat yang diasaskannya sendiri.

    Sementara itu, Hamzah berkata sebanyak 92 kes dilaporkan di seluruh negara berkaitan kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat semalam, merangkumi pelbagai kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan penyalahgunaan media sosial.

    “Kita sedang buat siasatan dan kesalahan dalam akta lain akan kita teliti. Kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku seperti rusuhan,” katanya.

    Terdahulu, Hamzah melancarkan pas digital (ePASS) pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di sini hari ini.

    ePASS ialah perkhidmatan dalam talian dan digital terbaharu Jabatan Imigresen yang membolehkan majikan mencetak sendiri pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja mereka.

  • PRU-15: Manifesto PN Labuan tumpu tujuh perkara

    PRU-15: Manifesto PN Labuan tumpu tujuh perkara

    PERIKATAN Nasional (PN) Labuan melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 dengan mengetengahkan tujuh perkara dengan tumpuan kepada melonjakkan pembangunan ekonomi pulau ini.

    Ketua Bersatu Bahagian Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman berkata ia akan melengkapkan manifesto gabungan itu di peringkat persekutuan.

    “Kami sedang melihat untuk meningkatkan peranan Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan dan menjadikannya lebih berdaya saing,” katanya ketika melancarkan manifesto itu malam tadi.

    Beliau berkata tumpuan pertama ialah memulihkan semula Hab Halal Labuan yang terbiar lama sedangkan pada awalnya ia direka bentuk bagi menjana peluang pekerjaan dan perniagaan untuk orang tempatan.

    “Tumpuan lain ialah untuk menambah baik kemudahan telekomunikasi dan jalan raya sekitar pulau ini termasuk di kawasan kampung,” katanya.

    Suhaili berkata status Labuan sebagai sebuah pulau bebas cukai perlu diberi perhatian.

    “Penduduk mengadu mengenai kenaikan harga dan bekalan barangan yang terhad di kedai bebas cukai … kami hanya dapat harga coklat dan minuman beralkohol yang murah sementara yang lain adalah lebih tinggi daripada bandar-bandar yang bukan bebas cukai,” dakwanya.

    Bekas Ahli Parlimen Labuan itu berkata tumpuan lain manifesto itu ialah melonjakkan sektor pelancongan pulau ini dengan kemudahan dan produk pelancongan seperti taman tema air.

    Suhaili juga berkata pembangunan sukan juga tersenarai dalam manifesto itu dan menekankan keperluan untuk menambah baik kemudahan dan membina prasarana sukan yang baharu.

    Beliau berkata kebajikan nelayan di pulau ini perlu dijaga dengan pelbagai skim bantuan akan dimudah cara selain menambah baik kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

    “Masih ada lagi pesakit di pulau ini yang memerlukan rawatan terpaksa ke Kota Kinabalu dengan kos yang lebih tinggi dan isu ini perlu diselesaikan,” katanya.

    Suhaili berhadapan pertandingan enam penjuru bagi merebut kerusi Parllimen Labuan menentang penyandangnya Datuk Rozman Isli daripada Parti Warisan, Datuk Bashir Alias (Barisan Nasional), Datuk Dr Ramli Tahir (Pakatan Harapan), Dayang Rusimah @ Raynie Datuk Mohd Din (Parti Bangsa Malaysia) dan Datuk Seri Ramle Mat Daly (Parti Pejuang Tanah Air).

  • Budak 9 tahun lemas ketika mandi sungai

    Budak 9 tahun lemas ketika mandi sungai

    Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di alur sungai Kampung Batu 9, Chukai, Terengganu petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Aman A. Suhimi sedang mandi bersama dua rakannya.

    “Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman menerima panggilan pada 5.37 petang daripada MERS999 memaklumkan berlaku kejadian lemas di Kampung Batu 9 lbok.

    “Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.


    Sementara itu, bapa mangsa, A. Suhimi Salleh, 58, berkata jenazah anaknya ditemukan pekebun di ladang kelapa sawit, kira-kira 100 meter dari lokasi anaknya mandi sekitar 5.15 petang.


    “Saya tidur selepas solat zohor. Kira-kira 3 petang, anak saya balik dari sekolah dan terus pergi main air (di alur sungai Kampung Batu 9) dengan kawan-kawan. Pagi itu, dia ada sukan di sekolah dan kemudian pada petang, kawannya datang (ke rumah) memberitahu Aman
    (Muhammad Aman) lemas,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Kemaman, malam tadi.


    A. Suhimi berkata anaknya sering mandi di alur sungai tersebut bersama rakan-rakannya namun semalam paras sungai tersebut meningkat kira-kira dua meter susulan hujan.


    Beliau berkata Muhammad Aman yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik juga berkelakuan agak berbeza daripada kebiasaan sejak kebelakangan ini.

    “Perangai anak saya memang berbeza sedikit, dia memang mahu saya bersama isteri pergi ke sekolah untuk melihat dia bersukan. Masa pergi ke sekolah itu (Sekolah Kebangsaan Ibok),memang dia suka, di sekolah pun hari ini (semalam), semua cikgu dia salam,” katanya.

  • Kempen calon PRU-15 di Selangor jadi misi santuni mangsa banjir

    Kempen calon PRU-15 di Selangor jadi misi santuni mangsa banjir

    KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 beberapa calon di Selangor terpaksa ditangguhkan dan beralih kepada misi menyantuni mangsa banjir di Meru, Klang, Kapar dan Shah Alam. 

    Pusat Operasi Smart Selangor memaklumkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat 9 malam ini termasuk di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, Klang yang menempatkan 147 mangsa banjir kilat.

    Bagaimanapun, jumlah mangsa di dua PPS yang baharu dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai di Meru dan Dewan Orang Ramai Kampung Budiman dekat sini masih dalam bancian.

    Halimah turun padang melihat penduduk Meru terjejas banjir

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Gombak dan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Kapar Dr Halimah Ali antara yang membatalkan aktiviti kempen untuk meninjau keadaan banjir di kawasan terlibat. 

    Pihak sekretariat bagi calon PH di Gombak itu memaklumkan Amirudin membatalkan kempennya selepas solat Isyak dan akan ke kawasan terkesan serta menyelaras agensi kerajaan bagi menyegerakan bantuan kepada mangsa.

    Wakil calon PN di Kapar pula memaklumkan media bahawa aktiviti Dr Halimah ditangguhkan bagi membolehkan beliau menyantuni mangsa banjir di Meru.  

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, melalui perkongsiannya di laman Twitter turun ke Taman Setia Warisan dekat sini petang tadi bagi meninjau keadaan banjir yang berlaku akibat limpahan dari sungai berdekatan.

    Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang juga calon PH di Parlimen Kota Raja, turut melawat PPS Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

    Semalam, calon BN di Parlimen Kota Raja D. Kajendran melawat kediaman yang terjejas akibat ribut di Taman Desawan. – BERNAMA

  • Sokongan terhadap PN semakin meningkat – Muhyiddin

    Sokongan terhadap PN semakin meningkat – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sokongan rakyat kepada gabungan itu semakin meningkat, berdasarkan sambutan luar biasa yang dilihatnya sepanjang sesi turun padang berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata kebanyakan rakyat yang ditemuinya sepanjang tempoh itu, menyatakan hasrat mahukan pembaharuan pada pentadbiran negara. 

    “Saya fikir situasi ini mungkin disebabkan mereka mahukan satu kerajaan lebih prihatin dan bertanggungjawab, selepas situasi kehidupan yang tidak begitu baik selepas pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bersama Masyarakat di Felda Lepar Hilir 3 di sini hari ini. 

    Turut hadir Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    Mengulas secara spesifik penerimaan masyarakat FELDA kepada PN, Muhyiddin berkata golongan itu juga semakin terbuka untuk mendengar tawaran daripada PN dan bukannya seperti dahulu yang dilihat menjurus ke arah Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

    “FELDA yang kita tahu, dikatakan macam kubu UMNO dan BN tapi kini tidak begitu lagi, orang sudah berubah. Kalau (dahulu) buat (program) di FELDA, jarang sambutan begini. 

    “Tapi sekarang mereka (peneroka FELDA) bersikap lebih terbuka dan bersedia mendengar. Ini perubahan besar dalam kalangan peneroka FELDA,” katanya.

    PN meletakkan calon di semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada PRU15. – BERNAMA

    Muhyiddin Yassin, PRU15, PN, turun padang, kerajaan

  • Kerjasama GRS-BN akan diteruskan pasaca PRU-15 – Hajiji

    Kerjasama GRS-BN akan diteruskan pasaca PRU-15 – Hajiji

    KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkeyakinan bahawa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) akan berterusan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).  

    Pengerusi GRS itu berkata formula GRS-BN telah terbukti di peringkat negeri dengan kerjasama erat untuk mentadbir dan membawa banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat.  

    “Sudah tentu…ia adalah suatu kesinambungan mandat yang diberikan rakyat semasa Pilihan Raya Negeri lepas. Jadi, kami perlu ada kerjasama kukuh bagi memastikan kami mendukung mandat ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Advent Tamparuli (SMAT) di sini hari ini.

    Ditanya sama ada Kerajaan Negeri Sabah akan mengisytiharkan Nov 18 sebagai cuti umum, beliau berkata perkara itu harus diteliti terlebih dahulu.  

    Menyentuh mengenai pendidikan, beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM3.38 juta kepada badan agama bukan Islam, sekolah Cina dan mubaligh di Tuaran tahun ini.  

    Daripada angka itu RM1.078 juta untuk badan agama bukan Islam dan selebihnya untuk sekolah Cina dan mubaligh di Daerah Tuaran.

    Beliau menegaskan kerajaan negeri telah bersetuju untuk meningkatkan peruntukan keseluruhan untuk badan agama bukan Islam,  sekolah Cina dan mubaligh sebanyak RM7 juta kepada RM54 juta tahun depan.

    Dalam ucapan perasmian bangunan baharu SMAT yang boleh menampung 500 pelajar pada satu-satu masa,  Hajiji memuji sekolah itu yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Seventh-Day Adventist kerana menghasilkan ramai pelajar berjaya sepanjang lebih dari 80 tahun kewujudannya.

    “Saya yakin SMAT akan meneruskan kecemerlangannya dalam pendidikan dengan menyediakan peluang kepada pelajar untuk cemerlang terutamanya mereka dari kawasan luar bandar,” katanya.

    Sebagai menghargai tenaga pengajar SMAT, Ketua Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk membantu pengurusan sekolah dalam meningkatkan program akademik dan pada masa sama beliau berkata kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan permintaan SMAT untuk kemudahan lain  termasuk gelanggang bola keranjang berbumbung.

    Terdahulu, Hajiji berkata pendidikan merupakan aganda utama Kerajaan Negeri GRS-BN, maka pembangunan modal insan adalah antara teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan kerana itu kerajaan negeri tidak teragak-agak meluluskan permohonan tanah seluas 0.1 hektar  daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Chung Hwa untuk projek “Green and Nature Park”.

    Hajiji juga mengejutkan guru dan murid SJK Cina Chung Hwa dengan meluluskan sumbangan untuk papan tanda pintar “Green and Nature Park” dan pancaragam sekolah itu berjumlah RM150,000 seperti yang dipohon Pengerusi Lembaga Pengarah sekolah itu   Chong Hong Kong dalam ucapannya terdahulu. – BERNAMA

  • Lebih 6,000 PPS siap siaga hadapi banjir – Rina

    Lebih 6,000 PPS siap siaga hadapi banjir – Rina

    SEBANYAK 6,010 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku bencana banjir sepanjang musim tengkujuh atau monsun timur laut.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pihaknya, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, telah siap siaga mendepani bencana itu dengan semua barangan keperluan bagi kegunaan mangsa banjir ditempatkan di depoh simpanan seluruh negara dan hanya menunggu arahan untuk dihantar ke PPS yang memerlukan.

    Beliau berkata bagaimanapun, timbul sedikit kegusaran apabila 35 peratus PPS yang dikenal pasti adalah pusat pengundian untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini. 

    “Jadi kita sama-sama berdoa agar banjir tidak berlaku dalam masa terdekat atau pada masa yang sama dengan hari mengundi nanti,” katanya kepada pemberita di Pentas PRU15 Perikatan Nasional (PN) untuk Parlimen Kuala Langat di sini hari ini.

    Turut hadir calon PN bagi Parlimen Kuala Langat iaitu Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat bagi empat negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor serta Sarawak. – BERNAMA

  • PRU-15: Undi luar bandar jadi penentu kemenangan

    PRU-15: Undi luar bandar jadi penentu kemenangan

    UNDI daripada masyarakat luar bandar dan pedalaman boleh dianggap ‘emas’ kepada parti politik susulan kumpulan itu adalah suara penentu kepada kemenangan pada setiap kali pilihan raya umum diadakan.

    Jumlah kerusi parlimen di luar bandar dan pedalaman termasuk kawasan yang memiliki penempatan FELDA merekodkan lebih separuh daripada keseluruhan 222 kerusi dipertandingkan iaitu sebanyak 155 kerusi mengikut rekod parti politik dan menurut beberapa penganalisis politik, ia tidak lagi bersifat ‘putih’ kepada sesebuah parti politik berbanding sebelum ini.

    Berikutan perubahan landskap politik negara yang kian dinamik selain disumbang dengan kerancakan proses urbanisasi, tahap pendidikan serta kadar liputan Internet semakin meluas, mereka percaya persaingan politik di kawasan-kawasan berkenaan yang kini disifatkan terbuka, akan bertambah sengit.

    Menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah PRU paling sukar diramal, penganalisis politik juga melihat Sabah dan Sarawak yang masing-masing memiliki 25 dan 31 kerusi serta kawasan yang mempunyai kem tentera juga tidak lagi bersifat deposit tetap kepada sesebuah gabungan politik.

    Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA Kampus Raub, Pahang Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata berdasarkan kepada kajian terhadap dua siri pilihan raya umum sebelum ini, negeri yang mempunyai kawasan tanah rancangan FELDA menunjukkan trend penyusutan sokongan daripada pengundi kepada Barisan Nasional (BN).

    “Kawasan FELDA umpamanya, saya melihat dari segi trend sokongan pengundi sekitar 60.7 peratus pada PRU13 telah menurun secara drastik kepada 46.2 peratus pada PRU14. BN tidak lagi boleh mengharapkan kemenangan mudah di kerusi-kerusi di kawasan rancangan FELDA.

    “Parti-parti politik ini berkongsi segmen pengundi yang sama maka dari segi pola pengundian, ia memberi kelebihan kepada parti yang mampu meraih sokongan maksimum pengundi,” katanya kepada Bernama.

    Antara kawasan Parlimen yang dikategorikan luar bandar dan pedalaman adalah Jempol, Jelebu dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan; Pagoh, Sekijang, Labis, Segamat, Ledang, Kulai dan Tebrau di Johor); Bentong, Raub dan Temerloh (Pahang); Dungun, Setiu, Kuala Nerus (Terengganu) serta Jerlun, Padang Terap, Pokok Sena, Baling, Sik (Kedah).

     Di Sabah, ia membabitkan antaranya Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran dan Papar manakala di Sarawak pula adalah Batang Lupar, Batang Sadong, Lubok Antu, Saratok, Kapit, Hulu Rajang, Sibu dan Baram.

    Che Hamdan berkata selain mengharapkan sokongan pengundi setia, kelompok pengundi muda termasuk yang pertama kali mengundi juga bakal menentukan kemenangan di sesebuah kawasan.

    Senada dengan Che Hamdan, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata pola pengundian masyarakat luar bandar kini semakin berubah berikutan kepesatan pembangunan selain tahap pendidikan yang diterima.

    Mengambil contoh FELDA, beliau berkata ada sebahagiannya kini adalah kawasan bandar dan pengundi khususnya generasi ketiga dilihat bersifat lebih terbuka berbanding dua generasi sebelum itu.

    “Generasi pertama misalnya, mereka mungkin cenderung memilih parti sebelum ini manakala generasi kedua yang memiliki tahap pendidikan lebih baik, mereka akan melihat kepada isu namun masih mengenang jasa kerajaan.

    “Generasi ketiga termasuklah pengundi 18 tahun, mereka inilah yang lebih terbuka dan cenderung mengundi mengikut play group mereka serta melihat tawaran yang memberi kelebihan kepada mereka. Oleh itu, pilihan raya kali ini tiada kawasan boleh dianggap deposit tetap kepada mana-mana parti,” katanya.

    Beliau berkata berlainan dengan kawasan bandar, ia masih dilihat sebagai deposit tetap kepada Pakatan Harapan (PH) dan untuk parti lain memenanginya, ia memerlukan usaha berlipat ganda manakala bagi Sabah dan Sarawak, parti-parti politik di kedua-dua negeri itu boleh memberikan sokongan kepada mana-mana gabungan di Semenanjung.

    Presiden Gabungan Wawasan Generasi FELDA Tan Sri Rozali Ismail dalam sidang media pada 3 Nov lepas dilapor berkata gabungan itu yang mempunyai keahlian seramai 135,000 di 317 tanah rancangan di seluruh Malaysia termasuk Sabah, berikrar menyokong BN pada PRU15.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • Shahidan ‘Panglima Perang’ bantu PN gempur Perlis

    Shahidan ‘Panglima Perang’ bantu PN gempur Perlis

    TOKOH politik yang tidak asing lagi di negara ini, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam arena politik Perlis akan menjadi ‘panglima perang’ kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengatur strategi serta menggempur negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Shahidan yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Arau, digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15 dan kini beliau menjadi taruhan PN dalam misi mempertahankan kerusi itu dan menggempur Perlis.

    Pengerusi PN Perlis Mohd Shukri Ramli yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berkata Shahidan akan melaksanakan tugasnya sebagai ‘panglima perang PN’ bagi membantu rakan-rakan ahli gabungan lain melepaskan Perlis daripada genggaman BN.

    “Kita (PN) yakin dengan kemampuan beliau (Shahidan) dapat membimbing gabungan jentera PN. PAS Perlis akan memberi sokongan dan bantuan penuh kepada Shahidan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Pengerusi Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Shahidan sebagai perancang utama yang mampu membawa perubahan di Perlis yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat BN.

    “Dengan bantuan Shahidan, saya yakin jentera parti gabungan PN akan lebih kukuh dan kebal kerana beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas sebagai panglima perang BN sebelum ini.

    “Shahidan bukan hanya akan membantu dari sudut sokongan moral tetapi mungkin boleh membantu kita (PN) dari sudut lain seperti menyusun gerak kerja dan strategi,” katanya yang merupakan Naib Pengerusi PN Perlis.

    Shahidan yang digugurkan keahliannya daripada UMNO kerana bertanding atas tiket PN berkata beliau akan menggunakan pengalamannya sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Perlis sebelum ini bagi membawa kemenangan kepada PN.

    “Sebelum ini saya orang yang bertanggungjawab menyusun strategi dari ‘A to Z’ bagi memastikan kemenangan BN di Perlis pada PRU14 dan tidak mustahil saya dapat membantu PN pula,” katanya.

    Shahidan berkata beliau bukan hanya berkempen untuk Parlimen Arau sebaliknya akan membantu rakan-rakan dalam gabungan PN yang lain sehingga hari mengundi pada 19 Nov nanti.

    Beliau meletakkan sasaran untuk menawan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu empat yang terletak dalam Parlimen Arau dan masing-masing tiga kerusi DUN di Kangar dan Padang Besar.

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyidin Yassin pada Selasa dilaporkan berkata PN mampu menawan Perlis pada PRU15  berdasarkan gelombang sokongan yang ditunjukkan oleh pengundi di negeri ini.

    Shahidan memenangi kerusi Parlimen Arau pada pilihan raya umum 1986, 1990, 2013 dan 2018 serta pernah menjadi Menteri Besar Perlis dari 1995 hingga 2008.

    Sejak 1986, Shahidan tidak pernah tewas bertanding DUN atau parlimen dalam gelanggang pilihan raya umum dan pernah mengalahkan dua Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Haron Din dan Datuk Hashim Jasin.- BERNAMA