Author: Bernama

  • Shahidan buat laporan Polis berhubung edaran risalah palsu

    Shahidan buat laporan Polis berhubung edaran risalah palsu

    PERIKATAN Nasional (PN) telah mengesan kempen pengedaran risalah palsu yang memaparkan wajah calon PN kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), esok.

    Risalah tersebut mengajak orang ramai mengundi BN.

    Justeru, wakil calon PN Arau, Mohd Faizal Mohd Arif, berkata laporan polis dibuat kerana melihat edaran risalah itu sebagai tindakan yang boleh mengelirukan pengundi di kawasan Parlimen berkenaan.

    “Pada mulanya saya menerima satu pesanan WhatsApps dalam satu group Arau yang memaklumkan terdapat beberapa risalah yang telah tersebar luas di kawasan Parlimen Arau.

    “Pada risalah itu tertera yang kononnya Shahidan akan bertanding bagi Parlimen Arau atas tiket BN dan tertera marilah bersama-sama kita mengundi BN,” katanya ketika ditemui di hadapan Balai Polis Arau, Arau, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Supt Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan. 

  • 20.8 juta rakyat Malaysia mengundi esok, mandat kepada siapa?

    20.8 juta rakyat Malaysia mengundi esok, mandat kepada siapa?

    RAKYAT Malaysia yang layak mengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka esok dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menentukan parti atau gabungan yang diberikan mandat membentuk kerajaan baharu di peringkat Persekutuan dan tiga negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

    Sebanyak 20,853,681 daripada keseluruhan 21,173,638 pemilih berdaftar akan membuat pilihan masing-masing mulai 8 pagi hingga 6 petang di Semenanjung Malaysia dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi pengundi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

    Bagi memudahkan proses itu, sejumlah 38,348 saluran disediakan di 8,958 pusat mengundi seluruh negara pada pilihan raya kali ini yang melibatkan kos RM1.01 bilion iaitu peningkatan kira-kira RM500 juta berbanding PRU14.

    Proses demokrasi Malaysia, yang berasaskan sistem ‘first past the post’ itu, dimulakan menerusi pengundian awal yang dilaksanakan pada Selasa di 970 saluran di 578 pusat pengundian dengan 94.72 peratus atau 212,961 pengundi yang melibatkan kalangan anggota keselamatan dan pasangan menunaikan tanggungjawab mereka.

    Menyedari kepentingan hak mengundi dan bagi memudahkan urusan orang ramai menunaikan kewajipan sebagai pengundi, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan hari ini dan esok sebagai hari kelepasan am, manakala Kerajaan Negeri Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah mengumumkan cuti gantian pada Ahad.

    Tanpa mengetepikan aspek keselamatan dan kesihatan ramai, individu positif COVID-19 wajib memakai pelitup muka, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam, mematuhi penjarakan fizikal selamat serta pulang segera selepas selesai mengundi.

     Sebagaimana ditegaskan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan selain menggunakan pensanitasi tangan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan.

    Dalam keadaan negara kini berhadapan dengan musim tengkujuh (Monsun Timur Laut), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan ribut petir di tujuh negeri membabitkan Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor manakala hujan di Kelantan, Perak, Sabah, Terengganu dan Labuan pada sebelah pagi hari pengundian.

    Cuaca baik dilaporkan di Pahang, Sarawak, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada sebelah pagi.

    Bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan banjir yang berlaku di beberapa negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis berkata kerajaan sudah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan bagi membantu mangsa dan menyelaraskan gerak kerja operasi di kawasan dan negeri terlibat banjir. 

    Parlimen dibubarkan pada 10 Okt lepas bagi memberi laluan PRU15, tiga hari selepas Bajet 2023 dibentangkan di Parlimen. 

    PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15). Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya diadakan serentak dengan PRU15 selepas tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

    Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini menetapkan pertandingan bagi Parlimen Padang Serai diadakan pada 7 Dis ini susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi berkenaan M. Karupaiya pada Rabu. 

    Menyaksikan seramai 1,380 calon bertanding iaitu 939 (kerusi Parlimen), 434 (kerusi DUN Perlis, Perak dan Pahang) dan tujuh calon Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya, PRU15 diamati paling sengit dalam sejarah demokrasi negara serta menjadi medan tempur parti politik dan rakan sekutu yang membentuk gabungan.

     Pilihan raya kali ini menyaksikan gabungan utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti-parti lain mengharapkan sokongan kira-kira 1.4 juta pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun buat pertama kalinya layak menentukan kepimpinan negara.  

    Tidak kurang pentingnya, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dikuatkuasakan bermula 5 Okt lepas.

    Kempen PRU15 berlangsung selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 5 Nov lepas dan diwarnai dengan pelbagai akviti ceramah, perang poster parti-parti politik, pendekatan konvensional bertemu pengundi selain penggunaan platform media sosial bagi meraih sokongan dibuat sehingga 11.59 malam, hari ini.

    Memberi jaminan keselamatan pada hari pengundian, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Polis Diraja Malaysia memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

    Acryl Sani menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang berita palsu yang bertujuan membangkitkan kegelisahan dan rasa takut sehingga mencetuskan spekulasi negatif.

    Apa yang pasti, PRU15 yang diadakan bukan sekadar pelengkap proses demokrasi sebaliknya turut menjadi platform penting dalam memilih kerajaan yang stabil serta mampu mengemudi negara, termasuk mengharungi pelbagai cabaran seiring dengan unjuran ketidaktentuan ekonomi global pada tahun depan.

    Tidak harus dilihat sebagai peluang menunaikan hak mengundi semata-mata, setiap pengundi pada PRU15 menggalas tanggungjawab besar dalam membuat pilihan tepat demi memastikan kelangsungan hala tuju, kejayaan serta kemakmuran negara. – BERNAMA

  • Tambang percuma pada hari mengundi esok – Prasarana

    Tambang percuma pada hari mengundi esok – Prasarana

    PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) memberi tambang percuma sepanjang hari esok sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kesemua perkhidmatan di bawah kendaliannya.

    Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan tambang percuma itu meliputi perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Transit Aliran Bas (BRT) atau bas henti-henti. 

    “Ini adalah langkah Prasarana sebagai sebuah syarikat Malaysia memudahkan rakyat keluar mengundi demi menjalankan tanggungjawab dan hak mereka,” menurut kenyataan itu.

    Prasarana memaklumkan pengguna My50 boleh menggunakan pas seperti biasa manakala pengguna kad Touch ‘n Go boleh menggunakan kad tanpa sebarang caj.

    Sementara itu, pengguna token pula perlu ke mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala.

    Bagi perkhidmatan Rapid Bus di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan termasuk bas perantara MRT, Prasarana memaklumkan pengguna tidak perlu menyentuh kad di mesin pengimbas apabila menaiki atau turun daripada bas.

    Menurut Prasarana tambang percuma itu bagi memudahkan rakyat Malaysia keluar mengundi dengan mudah, tenang dan selamat.

    Untuk maklumat lanjut, rujuk laman media sosial Prasarana serta laman web https://myrapid.com.my. Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store untuk maklumat terkini serta bagi merancang perjalanan.

    PRU15 akan berlangsung esok. – BERNAMA

  • Bayi lelaki ditemukan di hadapan rumah di Kajang

    Bayi lelaki ditemukan di hadapan rumah di Kajang

    SEORANG bayi lelaki dipercayai berusia 14 hari ditemukan ditinggalkan di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Saujana Impian, Kajang, semalam.

    Ketua Polis Derah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis menerima laporan berhubung penemuan bayi itu pada 11.39 malam daripada pengadu yang juga pemilik rumah teres berkenaan.

    Beliau berkata ketika ditemui bayi tersebut dalam keadaan terbaring, tidak berpakaian dan hanya dibaluti kain lampin.

    “Tiada sebarang pakaian atau nota ditinggalkan bersama bayi tersebut dan pengadu kemudian telah menguruskan bayi itu sebelum melaporkannya ke Balai Polis Kajang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya bayi yang masih bertali pusat itu dibawa ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan awal dan disahkan dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan.

    Mohd Zaid berkata bayi berkenaan masih lagi ditahan di Wad Kanak-kanak untuk pemantauan sebelum diserahkan ke Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

    Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi terus mana-mana balai berdekatan atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804 bagi membantu siasatan.

  • Banjir: Satu pusat mengundi di Parlimen Sepang ditukar

    Banjir: Satu pusat mengundi di Parlimen Sepang ditukar

    SATU pusat mengundi di Parlimen Sepang iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Dengkil ditukarkan ke lokasi baharu di Sekolah Rendah Agama Dengkil, setelah bangunan berkenaan terjejas akibat banjir.

    Berdasarkan salinan surat daripada Pegawai Pengurus Pusat Mengundi Parlimen Sepang Datuk Abd Hamid Hussain kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor, ia menyatakan pusat mengundi tersebut mengalami banjir dan tenggelam sepenuhnya, semalam.

    Susulan itu, Abd Hamid menerusi suratnya bertarikh 17 Nov telah memohon pihak Pilihan Raya Negeri Selangor menukar pusat mengundi tersebut ke Sekolah Rendah Agama Dengkil.

    Pengarah Pilihan Raya Negeri Shafie Taib pula hari ini telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan perkara tersebut untuk tujuan perwartaan semula pusat mengundi berkenaan.

    Parlimen Sepang menyaksikan pertembungan lapan penjuru membabitkan calon Barisan Nasional Anuar Basiran, Perikatan Nasional diwakili Datuk Seri Rina Mohd Harun, Datin Che Asmah Ibrahim (Pejuang), Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu (Pakatan Harapan),  Mohd Daud Leong Abdullah mewakili Parti Utama Rakyat (PUR), R. Nageswaran (Parti Rakyat Malaysia), Mohd Syahrul Amri Mat Sari (Bebas) dan M. Muneswaran (Bebas).

  • Saf kepimpinan Pas diingat tak terjebak provokasi – Hadi

    Saf kepimpinan Pas diingat tak terjebak provokasi – Hadi

    SAF kepimpinan PAS diingatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang provokasi dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau sebaliknya menasihatkan mereka supaya mengambil pendekatan damai dalam menyampaikan mesej selaras dengan dasar ‘menerang dan bukannya menyerang.’

    Katanya jika terdapat pemimpin yang dilihat agresif dan bertentangan dengan dasar tersebut, mereka akan disekat daripada menyampaikan sebarang mesej seperti ceramah dan akan dipantau.

    “Itulah konsep dan prinsip yang kita bawa. Mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan ‘menyerang,’ kita ‘gam.’ Hentikannya daripada berceramah. Tindakan itu ada, kita tidak mahu (perkara sedemikian) kerana PAS adalah parti demokratik dan aman sejak dahulu lagi. 

    “Kita hentikan dia berceramah termasuk menulis (di media sosial),” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Jelajah PN Best Grand Finale PRU15 di Padang Astaka dekat sini malam tadi.

    Sementara itu Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa kerjasama dengan Barisan Nasional tidak akan berlaku sama sekali.

    Beliau berkata PN akan berusaha untuk mendapatkan majoriti kerusi di Parlimen pada hari penentuan esok.

    “Dasar kita, kita tidak akan bersama dengan parti yang agresif, yang ekstrem seperti Pakatan Harapan dan parti yang tidak bersih daripada rasuah. Kita tidak buat rasuah dan kita tidak akan ikut (perbuatan itu),” katanya. 

    Turut hadir Pengerusi PN Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, calon PAS Parlimen Kemaman Che Alias Hamid dan calon PAS Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli. – BERNAMA 

  • MH17: Mahkamah Belanda putuskan dua warga Rusia, seorang Ukraine bersalah

    MH17: Mahkamah Belanda putuskan dua warga Rusia, seorang Ukraine bersalah

    MAHKAMAH Daerah The Hague hari ini memutuskan bahawa dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014 serta menyebabkan kesemua 298 penumpang dan krunya terbunuh.

    Mereka ialah Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Leonid Kharchenko.

    Bagaimanapun, mahkamah itu membebaskan seorang lagi warga Rusia iaitu Oleg Pulatov daripada pertuduhan sama.

    Prosiding jenayah terhadap keempat-empat lelaki bermula pada 9 Mac 2020.

    Bagaimanapun, kesemua defendan tidak pernah hadir pada prosiding itu sehingga menyebabkan mahkamah memutuskan bahawa mereka dibicarakan secara ‘in absentia’ di bawah undang-undang Belanda. – BERNAMA

  • Tiga jajahan di Kelantan dikenal pasti miliki unsur nadir bumi

    Tiga jajahan di Kelantan dikenal pasti miliki unsur nadir bumi

    JAJAHAN Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang di negeri ini dikenal pasti berpotensi mempunyai unsur nadir bumi berjumlah 2.56 juta tan dengan nilai RM125 bilion sekali gus bakal memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu.

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata mengikut kajian awal, nadir bumi bukan radioaktif itu paling banyak ditemukan di Aring, Gua Musang dengan keluasan 100,000 hektar manakala di Stong, Batu Melintang di Jeli dan Tanah Merah masing-masing seluas 80,000 dan 25,000 hektar.

    “Setakat ini, prosedur operasi standard untuk mencari sumber nadir bumi sudah siap dan proses seterusnya akan dilaksanakan selepas perbincangan bersama kerajaan negeri selain melakukan beberapa persediaan termasuk tender dan mengeluarkan permit sebelum pengeluaran bahan mineral itu. 

    “KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) melalui Jabatan Mineral dan Geosains akan memberi khidmat nasihat bagi membolehkan kelancaran prosedur seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Stong Geopark Kebangsaan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Takiyuddin berkata Stong Geopark menerima pengiktirafan sebagai geopark kebangsaan kelapan di Malaysia kerana mempunyai 25 geotapak dengan empat daripadanya mempunyai nilai kepentingan bertaraf antarabangsa.

    “Kerajaan sasarkan setiap negeri mempunyai satu geopark yang diktiraf di peringkat kebangsaan. 

    “Geopark adalah satu konsep atau kaedah pembangunan sesebuah wilayah dan membangunkan ekonomi masyarakat melalui pelbagai produk dan perkhidmatan geopelancongan,” katanya.

    Sementara itu, Ahmad berkata pengiktirafan itu mampu meningkatkan pertumbuhan sektor ekonomi pelancongan Kelantan dan memastikan Stong Geopark dapat dibangunkan secara mampan dan holistik khusus kepada masyarakat setempat. – BERNAMA

    Takiyuddin, nadir bumi, Stong Geopark,KeTSA

  • Skuad prihatin Bersatu sedia bantu mangsa banjir ketika hari mengundi

    Skuad prihatin Bersatu sedia bantu mangsa banjir ketika hari mengundi

    SKUAD Prihatin Bersatu sedia membantu dan membawa mangsa banjir termasuk dari pusat pemindahan sementara ke pusat pengundian bagi melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

    Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata skuad itu, yang dilancar pada Oktober lepas, ditubuhkan bagi mengatur gerak aset dan sukarelawan misi bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

    “Itu tugas jentera kita, angkut keluar mengundi, kita angkut, tak ada masalah. Dalam kita menghadapi PRU15, saya juga mengarahkan supaya jentera kita ini menguruskan soal pemindahan, bantuan makanan, keperluan lain, lampin pakai buang dan sebagainya.

    “Jawatankuasa di bawah pimpinan Mohd Rafiq Mohd Abdullah (Anggota Majlis Tertinggi Bersatu) akan menguruskan perkara ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Jawa di Lenga di sini hari ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung keputusan untuk menghentikan PRU15 sekiranya berlaku banjir besar. – BERNAMA 

  • PRU-15: Trafik lebuh raya utama negara mulai perlahan, sesak

    PRU-15: Trafik lebuh raya utama negara mulai perlahan, sesak

    ALIRAN trafik di lebuh raya utama negara dilaporkan perlahan ekoran pertambahan bilangan kenderaan yang bergerak menuju ke destinasi pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

    Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kesesakan ketara petang tadi dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) hala utara iaitu dari Sungai Buloh ke Rawang iaitu sepanjang 10 kilometer (km), Tanjung Malim ke Behrang, Sungkai ke Bidor, Tapah ke Gopeng dan Juru Auto City ke Perai.

    Laluan menghala ke Pantai Timur pula dilaporkan sesak bermula dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah sejauh 19 km, Bukit Tinggi ke Lentang, dan keadaan trafik sama turut dilaporkan berlaku selepas Bentong Timur ke Karak.

    Laluan menghala ke selatan iaitu dari Nilai ke Bandar Ainsdale pula trafik dilaporkan perlahan kerana berlakunya kemalangan di KM 269.0, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak, Jalan Duta dan Sungai Besi menghala keluar dari ibu negara mendapati jumlah kenderaan semakin meningkat menyebabkan trafik bergerak perlahan.

    Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter melalui www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM 1800-88-7752 serta laman Twitter www.twitter.com/llminfotrafik.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 Nov bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15. – BERNAMA

    aliran trafik, sesak, perlahan, PRU15, lebuh raya