Author: Bernama

  • ‘Binatang juga ada perasaan’ – Warga emas pukul anjing guna kayu didenda RM23,000

    ‘Binatang juga ada perasaan’ – Warga emas pukul anjing guna kayu didenda RM23,000

    SEORANG buruh yang memukul seekor anjing betina dengan sebatang kayu sehingga cedera, didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang di Kuala Lumpur hari ini.

    Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu ke atas Yong Kay Sang, 62, selepas dia mengaku bersalah memukul haiwan milik Yee Chan Fai, 35, di sebuah rumah di Taman Saga di Kuala Lumpur, pada 9 pagi, 24 Mei lepas.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 hingga maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

    Mahkamah memerintahkan Yong sebagai orang kena saman (OKS) menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda itu.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Wan Mohd Norisham berkata OKS tidak sepatutnya bertindak memukul anjing itu menggunakan kayu sehingga cedera kerana binatang juga mempunyai perasaan.

    Berdasarkan fakta kes, Yong diserang anjing berkenaan semasa berada berdekatan keretanya sebelum bertindak melarikan diri apabila dikejar haiwan itu sehingga terjatuh dan mengalami luka di lutut kanan, siku kanan selain lebam di muka.

    Dia kemudian mengejar anjing itu sehingga masuk ke rumah Yee dan memukul haiwan tersebut menggunakan sebatang kayu menyebabkan bahagian ekornya berdarah.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat manakala peguam Hajinder Singh mewakili Yong memohon denda paling minimum kerana anak guamnya penanggung utama keluarga dan mempunyai penyakit darah tinggi serta diabetes.

    “OKS bertindak sedemikian (memukul) kerana diserang anjing tersebut. OKS menyesal dengan tindakan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata peguam.

    Sementara itu di mahkamah sama, Yee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal dalam kewajipannya untuk mengambil langkah-langkah munasabah memastikan keperluan haiwan dipenuhi hingga menyebabkan kecederaan, pada 8.30 pagi, pada tarikh dan lokasi sama.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 24 (1)(a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(3) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan maksimum RM75,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
    Mahkamah menetapkan 19 Jan untuk sebutan semula kes.

  • Gabenor wanita Islam pertama Thailand tekad banteras dadah

    Gabenor wanita Islam pertama Thailand tekad banteras dadah

    GABENOR wanita Islam pertama Thailand, Pateemoh Sadeeyamu komited dalam membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.

    Pateemoh, Gabenor Pattani yang baharu mahu bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk membasmi penyalahgunaan dadah khususnya di kalangan belia.

    “Kajian mendapati dadah adalah masalah utama mengancam keselamatan negara dan merosakkan masa depan para belia di empat wilayah di selatan Thailand.

    “Statistik daripada pihak penjara mendapati 80 peratus banduan terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah di selatan Thailand. Sehubungan itu, membasmi penyalahgunaan dadah merupakan salah satu fokus saya,” katanya kepada Bernama.

    Sehubungan itu, Pateemoh berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Santi Sakuntanark untuk mengkaji semula peraturan dan polisi kerajaan dalam usaha memerangi gejala penagihan dan penyalahgunaan dadah.

    Selain itu, beliau berikrar untuk meningkatkan sosio-ekonomi dan taraf hidup penduduk tempatan. 

    Pateemoh, 57, adalah antara 37 pegawai tinggi dari Kementerian Dalam Negeri (Interior Ministry) dilantik untuk mengisi kekosongan jawatan gabenor pada bulan lepas.

    Bekas timbalan gabenor Phatthalung, Narathiwat dan Yala itu mempunyai pengalaman luas dan pemahanan mendalam akan empat wilayah di selatan itu.

    Selain itu, beliau pernah berkhidmat di Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), sebuah agensi kerajaan tempatan yang menyelaraskan pentadbiran wilayah sempadan selatan.

    Pateemoh turut berterima kasih dengan lantikannya sebagai gabenor di Pattani.

    “Ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap golongan wanita dalam menerajui kerajaan tempatan khususnya di selatan Thailand.

    “Saya berharap lantikan ini akan memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan wanita bukan sahaja di selatan Thailand tetapi seluruh negara untuk membina kerjaya dan profesion dan sekaligus membukti wanita setanding dengan lelaki dalam setiap aspek,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Deep South Watch, satu kumpulan pemikir yang memantau keganasan di selatan,  Dr Srisompob Jitpiromsri berkata lantikan Pateemoh merupakan petanda positif bahawa kerajaan prihatin dan komited untuk membawa pembangunan ke wilayah paling selatan di Thailand.

    “Ini merupakan satu titik permulaan yang baik. Pateemoh akan memainkan peranan yang penting untuk membangun Pattani dan juga membawa kedamaian di wilayah selatan,” katanya. – BERNAMA 

  • Kerajaan Melaka mohon PM kaji semula keputusan projek RTB

    Kerajaan Melaka mohon PM kaji semula keputusan projek RTB

    KERAJAAN Melaka memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji semula keputusan projek rancangan tebatan banjir (RTB) bernilai RM7 bilion, yang telah tidak diteruskan baru-baru ini.

    Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia berikutan masalah banjir menjadi isu utama di negeri itu dan sekiranya ditangguh atau disiasat semula, ia dilihat akan menjejaskan usaha mengurangkan masalah tersebut.

    “Di Melaka terdapat empat atau lima projek RTB  ini yang telah bermula sejak September dan ada dilaksanakan melalui rundingan terus, juga ada yang melalui proses tender, kerana ia khusus untuk mengurangkan masalah banjir.

    “Saya mohon pertimbangan semula dan melihat semula kawasan-kawasan projek RTB ini yang perlu segera disiapkan,” katanya kepada pemberita di Duyong di sini hari ini.

    Terdahulu beliau hadir mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menyempurnakan majlis perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Seri Duyong di sini hari ini.

    Mengulas lanjut Sulaiman berkata Melaka menerima kelulusan peruntukan berjumlah RM932 juta bagi melaksanakan projek RTB, bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berisiko yang dikenal pasti.

    Beliau berkata antara projek RTB yang telah diluluskan sebelum ini ialah di Krubong, RTB Sungai Duyong, RTB Alor Gajah, RTB Jasin dan RTB Merlimau.

    Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion, daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender untuk diteliti semula.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. – BERNAMA

  • Buruh pukul anjing guna kayu hingga cedera didenda RM23,000

    Buruh pukul anjing guna kayu hingga cedera didenda RM23,000

    SEORANG buruh yang memukul seekor anjing betina dengan sebatang kayu sehingga cedera, didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat Ampang hari ini.

    Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu ke atas Yong Kay Sang, 62, selepas dia mengaku bersalah memukul haiwan milik Yee Chan Fai, 35, di sebuah rumah di Taman Saga di sini, pada 9 pagi, 24 Mei lepas.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 hingga maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. 

    Mahkamah memerintahkan Yong sebagai orang kena saman (OKS) menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda itu.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Wan Mohd Norisham berkata OKS tidak sepatutnya bertindak memukul anjing itu menggunakan kayu sehingga cedera kerana binatang juga mempunyai perasaan.

    Berdasarkan fakta kes, Yong diserang anjing berkenaan semasa berada berdekatan keretanya sebelum bertindak melarikan diri apabila dikejar haiwan itu sehingga terjatuh dan mengalami luka di lutut kanan, siku kanan selain lebam di muka.

    Dia kemudian mengejar anjing itu sehingga masuk ke rumah Yee dan memukul haiwan tersebut menggunakan sebatang kayu menyebabkan bahagian ekornya berdarah.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat manakala peguam Hajinder Singh mewakili Yong memohon denda paling minimum kerana anak guamnya penanggung utama keluarga dan mempunyai penyakit darah tinggi serta diabetes.

    “OKS bertindak sedemikian (memukul) kerana diserang anjing tersebut. OKS menyesal dengan tindakan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata peguam.

    Sementara itu di mahkamah sama, Yee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal dalam kewajipannya untuk mengambil langkah-langkah munasabah memastikan keperluan haiwan dipenuhi hingga menyebabkan kecederaan, pada 8.30 pagi, pada tarikh dan lokasi sama.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 24 (1)(a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(3) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan maksimum RM75,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 19 Jan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • SPR teliti panjangkan tempoh lebih 60 hari adakan pilihan raya

    SPR teliti panjangkan tempoh lebih 60 hari adakan pilihan raya

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sedang melihat kemungkinan memanjangkan tempoh untuk mengadakan pilihan raya melebihi 60 hari selepas pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sepertimana yang diperuntuk ketika ini.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata perkara itu bagi membolehkan suruhanjaya berkenaan melakukan persiapan sebaik mungkin berikutan pertambahan jumlah pengundi yang banyak setiap tahun di negara ini.

    “Kita akan cuba panjangkan lagi sebab tempoh sekarang ini (60 hari), daripada dahulu hingga sekarang agak sempit (suntuk) sikitlah dengan keadaan jumlah pengundi yang banyak iaitu daripada 14.9 juta sebelum ini meningkat kepada 21.1 juta.

    “Kita juga kena ingat pengundi berusia 18 tahun ini tiap-tiap tahun akan bertambah sebanyak setengah juta, jadi (jumlah pengundi) akan bertambah dan terus bertambah,” katanya pada sidang media malam tadi.

    Terdahulu, beliau hadir ke pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim.

    Menjelas lanjut, Abdul Ghani berkata berikutan peningkatan jumlah pengundi, SPR perlu melakukan persiapan termasuk menyediakan pusat dan saluran mengundi serta petugas agar proses pilihan raya dapat dilaksana dalam keadaan selesa.

    Beliau juga berkata pihaknya berharap pilihan raya bagi enam negeri yang belum mengadakannya dapat dilaksanakan secara serentak bagi memudahkan urusan SPR.

    “Ia akan memudahkan petugas kita, memudahkan kita membuat penyelarasan, itu yang terbaik tapi dari segi kos, sama juga,” katanya.

    Ditanya waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan, Abdul Ghani berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa dalam hal itu dan ia terpulang kepada kepimpinan negeri terbabit.

    Beliau juga berkata pilihan raya bagi keenam-enam negeri dianggarkan menelan belanja kira-kira RM450 juta.

    Abdul Ghani berkata secara keseluruhan, proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah dan DUN Tioman di Pahang berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi agak baik.

    “Secara keseluruhan saya lihat untuk PRU15, peratus keluar mengundi ialah sebanyak 74.71… satu gambaran masyarakat kita mengambil tanggungjawab untuk keluar mengundi,” katanya.

  • PU Azman didakwa lagi, hadapi 4 tuduhan jenayah seksual terhadap 4 remaja

    PU Azman didakwa lagi, hadapi 4 tuduhan jenayah seksual terhadap 4 remaja

    PENDAKWAH selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman dihadapkan ke dua mahkamah di Klang hari ini, atas empat pertuduhan jenayah seksual membabitkan tiga remaja lelaki antara Februari hingga Ogos lepas.

    Azman Syah, 41, didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, di Klang, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Feb serta 29 Jun lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

    Azman Syah turut didakwa atas satu pertuduhan menggalakkan seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun dengan berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp sekitar 4 petang hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Meru, di sini pada 16 Ogos lepas.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 11 (1)(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

    Hakim Syafeera Mohd Said membenarkan Azman Syah diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan itu.

    Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Azman Syah didakwa atas satu lagi pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, di sini pada 9.15 malam pada 10 Jun lepas.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

    Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000.

    Pendakwaan bagi kesemua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala Azman Syah diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah.

      Kedua-dua mahkamah juga mengenakan syarat jaminan tambahan kepada tertuduh iaitu tidak boleh mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran rumahnya setiap awal bulan bermula bulan ini. 

    Sebutan semula bagi kesemua kes ditetapkan pada 12 Jan tahun depan. 

    Azman Syah sebelum ini mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual ke atas dua remaja lelaki bawah umur di Mahkamah Sesyen di Seremban pada 12 Okt lalu.  – BERNAMA

  • Rasuah: Naib Presiden Argentina dipenjara enam tahun

    Rasuah: Naib Presiden Argentina dipenjara enam tahun

    MAHKAMAH persekutuan di Argentina menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Naib Presiden Cristina Fernandez de Kirchner pada Selasa dan melarangnya memegang jawatan awam.

    Panel tiga hakim mendapati Fernandez de Kirchner bersalah melakukan penipuan berhubung pemberian kontrak kerja awam di wilayah selatan Santa Cruz, lapor Agensi Anadolu (AA).

    Hakim Jorge Gorini membacakan keputusan itu melalui sidang video yang turut dihadiri dua hakim lain, Rodrigo Gimenez Uriburu dan Andres Basso.

    Gorini berkata “gerakan penipuan yang luar biasa berlaku” merujuk kepada hukuman itu yang diputuskan selepas tiga tahun.

    Fernandez de Kirchner tidak perlu menjalani hukuman serta-merta kerana keputusan itu perlu disahkan Mahkamah Agung.

    Menurut keputusan itu, Fernandez de Kirchner dihalang memegang jawatan awam, namun sebagai ketua Senat dan penggubal undang-undang, beliau dilindungi daripada pendakwaan.

    Sebelum ini, naib presiden itu mendakwa beliau menjadi sasaran seteru politiknya.

    Pendakwa raya persekutuan menuduh Fernandez de Kirchner memberi kontrak kerja awam palsu dan terlalu mahal di Santa Cruz semasa tempoh dua penggalnya sebagai presiden dari 2007-2015 dan mendesak hukuman penjara 12 tahun dan larangan seumur hidup daripada memegang jawatan awam.

    Banyak kontrak yang dikatakan menguntungkan sekutu rapat keluarga Kirchner dengan beberapa telah disabitkan dengan rasuah. – BERNAMA

    Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner, hukuman, rasuah, kes mahkamah, pedakwaan

  • Seminggu diperlukan soal bekas pegawai bank urus akaun Najib

    Seminggu diperlukan soal bekas pegawai bank urus akaun Najib

    PASUKAN pembelaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil masa selama seminggu untuk pemeriksaan balas bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping yang mengendalikan akaun milik bekas perdana menteri itu.

    Peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika ditanya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Sequerah berapa lama bekas pegawai bank itu akan disoal balas dalam perbicaraan kes Najib yang melibatkan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB. 

    Muhammad Shafee berkata beliau akan memulakan pemeriksaan balas ke atas Yu esok dan ia memerlukan beliau seminggu untuk menghabiskan pertanyaan  terhadap saksi. Yu telah selesai menghadapi pemeriksaan utama. 

    Sebelum itu, Yu memberi keterangan bagaimana akaun peribadi Ambank Najib dibuka dan bagaimana ahli perniagaan dalam perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low telah menghubungi AmBank pada 2009 untuk penerbitan bon RM10 bilion dengan tempoh 30 tahun untuk pendahulu 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA), “yang tidak pernah berlaku sebelum ini”. 

    Hari ini, mahkamah juga mendengar hujahan daripada Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengenai sama ada rakaman audio antara Najib dan seorang kerabat diraja Saudi boleh diterima dalam perbicaraan. 

    Muhammad Shafee berhujah bahawa hak Najib untuk satu perbicaraan yang adil mungkin terjejas jika mahkamah membenarkan kemasukan perbualan peribadinya dengan anggota kerabat Saudi itu yang ingin dibawa pendakwaan ke dalam perbicaraan itu, mungkin dicemari dengan maklumat palsu. 

    “Jika pematuhan undang-undang yang mentadbir kemasukan bukti dokumentari tidak dipatuhi, tertuduh berada di dalam keadaan  yang merugikannya kerana bukti itu tidak akan dikecualikan.

    Malah lebih buruk lagi, tiada cara untuk tertuduh membangkitkan sebarang bantahan berkaitan ketidakpatuhan itu kerana susunan kata dan terjemahan kepada Seksyen 41(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Pihak pendakwaan telah menyalahgunakan proses mahkamah dengan tidak memasukkan komunikasi yang dipintas di bawak Seksyen 43 Akta SPRM tetapi sebaliknya menggunakan pintu belakang dengan memaksa mahkamah menerima “bukti dokumen” di bawah Seksyen 41(A) Akta SPRM,” kata beliau. 

    Muhammad Shafee menegaskan untuk menerima rakaman audio itu di bawah Seksyen 41 (A) Akta SPRM adalah tidak mengikut perlembagaan kerana ia tidak memakai peruntukan di bawah Akta Keterangan 1950.

    Di bawah Seksyen 41 (A) Akta SPRM menyatakan apa-apa dokumen atau salinan apa-apa dokumen diperoleh SPRM di bawah Akta ini dokumen itu hendaklah diterima sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding di bawah Akta ini.   

    Pihak pendakwaan semalam berhujah adalah sukar untuk mereka untuk membawa individu korup ke muka pengadilan jika mereka perlu mematuhi peraturan di bawah Akta Keterangan.

    Sri Ram berkata keperluan pendakwaan untuk membuktikan setiap dokumen menurut peraturan ketat Akta itu menyebabkan ramai pesalah rasuah boleh melepaskan diri.

    Najib, 69 berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

    Perbicaraan bersambung esok. – BERNAMA 

  • Polis siasat individu muat naik video cemar imej PDRM

    Polis siasat individu muat naik video cemar imej PDRM

    POLIS sedang menyiasat satu video berunsur fitnah terhadap seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas di Petaling Jaya di sini yang tular di media sosial.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya mengesan video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu pada 6.30 petang semalam.

    “Klip video dimuat naik pemilik akaun @goodmorninglim memaparkan seorang pegawai polis sedang bertugas semasa operasi penguatkuasaan lalu lintas berhampiran lampu isyarat Jalan PJS 3/44 bagi mengesan pemandu yang menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

    “Video tersebut turut disertakan dengan kapsyen menyindir iaitu “05/12 Look got people here (Lihat ada orang di sini) cari makan” dan emoji muka ketawa bersama karung wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata perbuatan individu memuat naik video klip tersebut boleh mendorong masyarakat memandang serong terhadap tugas polis selaku penjawat awam dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan fitnah dan penyalahgunaan media sosial.

    “Polis menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial, menyebarkan berita tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.

    Semalam, tular di media sosial satu video berdurasi 25 saat dimuat naik individu berkenaan yang memaparkan seorang anggota polis trafik sedang menjalankan tugas berhampiran lampu isyarat di Petaling Jaya beserta kapsyen berunsur negatif. – BERNAMA

  • Isu dana RM600b: SPRM buka kertas siasatan

    Isu dana RM600b: SPRM buka kertas siasatan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan perkara itu namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung siasatan yang sedang dilaksanakan agensi berkenaan. 

    “Ya, SPRM ada membuka kertas siasatan berhubung isu ini,” katanya ringkas. 

    Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu. 

    Menurut Anwar, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.

    Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini. – BERNAMA