Pelihara kemerdekaan tanpa pemikiran, budaya songsang LGBT

KEMERDEKAAN ke-66 tahun yang dikecapi negara perlu dipelihara oleh seluruh rakyat tanpa pemikiran atau budaya songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mahu pun hiburan secara berlebihan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, semua individu terutama generasi baharu wajib belajar dan menghargai pengorbanan yang dilakukan generasi terdahulu demi meraih sebuah kemerdekaan.

“Semangat menentang penjajah perlu dikenang, dihargai dan disyukuri.

“Erti kemerdekaan perlu dihayati bukan sekadar dizahirkan dengan perbuatan tetapi perlu berlandaskan syariat Islam dan al-Quran.

“66 tahun kemerdekaan mengajar kita banyak perkara supaya negara terus kekal berdaulat, makmur dan sejahtera. Sesebuah negara bukan merdeka apabila rakyat berbangga meniru atau membawa pemikiran dan budaya songsang seperti LGBT mahupun hiburan berlebihan,” katanya dalam ucapan ketika Sambutan Kemerdekaan ke-66 peringkat negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

Sambutan meriah dengan pertunjukan bunga api itu dihadiri hampir 30,000 rakyat negeri Kelantan sambil mengira detik jam 12 malam dan laungan merdeka.

Mohd. Nassuruddin berkata, budaya negatif yang tidak dibendung boleh menjadi wabak dan barah khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Mereka ini mudah terpengaruh seterusnya hilang jati diri sebagai rakyat yang merdeka.

“Pun begitu, Malaysia sangat bertuah dengan adanya masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam keadaan aman damai dan begitu juga di Kelantan,” ujarnya.

Perarakan basikal tua menarik perhatian hadirin di Kota Bharu.
Perarakan basikal tua menarik perhatian hadirin di Kota Bharu.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Nassuruddin, kerajaan negeri itu sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya yang menjadi asas utama agar usaha untuk mengekalkan nikmat kemerdekaan dapat dilakukan.

Katanya, hubungan yang harmoni antara pelbagai kaum di Kelantan juga harus dikekalkan agar keamanan sentiasa terpelihara dalam keadaan Kelantan mengamalkan pembangunan berlandaskan syariat Islam.

“Saya juga amat menghargai dan berterima kasih kepada semua anggota keselamatan yang sentiasa menjaga keamanan di negeri ini,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *