Jabatan Peguam Negara bantah permohonan Bersatu

JABATAN Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, dan empat Ahli Parlimen di Sabah.

Bersatu telah memfailkan tindakan undang-undang memohon supaya Johari mengisytiharkan kerusi yang disandang empat Ahli Parlimen itu kosong.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili AGC, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa permohonan Bersatu itu perlu ditolak kerana keputusan berkenaan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman menurut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang antilompat (parti) seperti yang dinyatakan dalam Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan, tidak tertakluk kepada semakan kehakiman kerana Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh.

Menurut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, kesahan apa-apa prosiding dalam mana-mana Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu, pada 17 April lalu.

Bersatu menamakan Johari dan empat Ahli Parlimen terbabit, iaitu Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.

Sementara itu peguam, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mewakili Kiandee dan Muhammad Suhaimi pula berhujah bahawa permohonan semakan kehakiman berkenaan perlu didengar kerana ia bukan suatu yang remeh serta menyusahkan.

“Speaker telah melampaui bidang kuasanya kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan Bersatu atau membuat penentuan bila keanggotaan responden kedua hingga kelima dalam Bersatu terhenti.

“Penetapan Speaker itu adalah tidak rasional serta menyalahi undang-undang kerana ia menyalah tafsir peruntukan Perlembagaan Bersatu, dan sewajarnya adalah kesilapan undang-undang,” kata bekas Speaker Dewan Rakyat itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 November depan untuk keputusan permohonan itu.

Dalam permohonan itu, Bersatu memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lalu yang menyatakan responden kedua hingga kelima telah memberi penjelasan, dan mengesahkan tiada berlaku kekosongan kerusi Parlimen terbabit berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perlembagaan Bersatu.

Bersatu juga memohon satu deklarasi bahawa empat Ahli Parlimen itu telah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, selain perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi Parlimen terbabit.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *