MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan difailkan tiga ahli Barisan Nasional (BN) untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengecualikan dua jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan pada pemilihan parti Januari lalu.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Amarjeet Singh menolak permohonan kebenaran oleh Satarriah Abdul Karim, Zaidi Abdul Majid dan P Vellasamy atas alasan mahkamah tidak boleh menyiasat perkara melibatkan parti politik.
Ini seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan.
Mahkamah tidak membuat sebarang perintah untuk kos.
Satarriah, Zaidi dan Vellasamy mendakwa bahawa keputusan Saifuddin bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan, sambil menambah bahawa ia telah menafikan peluang ahli lain mencabar penyandang jawatan presiden dan timbalan presiden.
“Pemohon dinafikan hak mereka untuk didengari oleh menteri sebelum membuat keputusan. Sehingga hari ini, tiada penjelasan munasabah daripada menteri mengenai keputusannya,” dakwa mereka dalam permohonan itu.
Dalam perhimpunan agung tahunan UMNO 2022 pada 14 Jan lalu, parti itu meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.
Ketiga-tiga mereka menegaskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melancarkan siasatan kemungkinan pelanggaran Perlembagaan UMNO berhubung usul tidak bertanding untuk dua jawatan teratas.
Mereka mahu mahkamah membatalkan keputusan Saifuddin yang mengecualikan jawatan itu daripada dipertandingkan. Mereka juga menamakan UMNO dan JPPM dalam cabaran undang-undang tersebut.
Peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff mewakili ahli BN, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Saifuddin dan JPPM.
Leave a Reply