AGC wakili Tun M dalam saman Halim Saad

PEJABAT Peguam Negara (AGC) akan mewakili bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua individu lain dalam saman difailkan taikun Tan Sri Halim Saad berhubung pengambilalihan pegangannya dalam kumpulan Renong-UEM oleh kerajaan pada 2001.

Peguam Dr Mahathir, Rafique Rashid Ali, berkata peguam negara mengambil alih perkara itu kerana kejadian didakwa berlaku semasa Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri.

“Peguam plaintif menghantar kertas kausa kepada Mahathir, tetapi peguam negara menelefon dan memberitahu mereka akan mewakili beliau dalam tuntutan tersebut,” katanya kepada FMT

Awal bulan ini, Halim mengemukakan tuntutan terhadap kerajaan, Mahathir, dan bekas menteri kewangan kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, kerana “memaksa” beliau melepaskan pegangannya dalam kumpulan Renong-UEM serta hak yang diberikan kepadanya tanpa pampasan mencukupi, 22 tahun lalu.

Mahathir,98, adalah perdana menteri dari Julai 1981 hingga Oktober 2003 dan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Bagaimanapun, Rafique berkata beliau akan memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk membenarkannya mengambil peranan pemerhati bagi Mahathir.

Sementara itu, FMT difahamkan peguam negara memohon untuk mewakili Mahathir, Nor Mohamed, dan kerajaan semalam.

Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Sept.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Halim yang juga bekas pengerusi eksekutif dan pengarah Renong mendakwa, beliau berniat membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong, dengan pelaksanaan itu membolehkan plaintif memperoleh kawalan serta milikan penuh ke atas UEM.

“Namun, saya diarahkan oleh Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui entiti yang ditetapkan, iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.

“Saya juga diarahkan keluar daripada UEM dan Renong sebagai pemegang saham, dan juga pengarah termasuk anak-anak syarikat dua syarikat itu.

“Ini mewajibkan saya menyerahkan kawalan ke atas Renong dan UEM kepada kerajaan, dan selanjutnya melupuskan saham Renong milik saya dengan kerugian,” dakwanya dalam pernyataan tuntutan itu.

Mahathir dalam kenyataan pada 11 Ogos lalu berkata, saman itu agak pelik kerana Halim juga cuba menyaman Nor Mohamed dan Khazanah pada 2013 tetapi gagal.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *