Apa lagi mesej yang UMNO mahu?

“BIAR kita buat dulu cara kita, tetapi jika cara kita ni tidak langsung didengari, maka kita akan melakukan sesuatu. Ini amaran keras kita berikan kepada (kepimpinan).”

Itulah penegasan Ketua Pemuda UMNO, Dr.Muhammad Akmal Saleh ketika berucap dalam perhimpunan ‘ Di mana Salah Kita’ – Post Mortem PR6N di Kuala Lumpur Khamis lalu.

‘Agak mengagumkan’ apabila Dr Muhammad  Akmal juga memberi amaran,”Jika kita terus lena dibuai mimpi, satu hari nanti pasti UMNO dikuburkan. Kita takkan benarkan benda itu terjadi”.

Penulis tidak pasti sejauh manakah apa yang ditegaskan oleh Ketua Pemuda UMNO itu didengari oleh kepemimpinan parti. Kalau memberi reaksi pun sekadar mempersoalkan tindakan Pemuda – reaksi yang sudah diduga. Tiada reaksi daripada barisan kepemimpinan tertinggi.

Sama ada mereka takut memberi maklumbalas atau beranggapan gertakan Pemuda UMNO itu sekadar luahan ‘kemarahan sementara’ selepas UMNO mencatatkan prestasi buruk dalam PRN di 6 negeri baru-baru ini.

Mungkin juga pemimpin-pemimpin UMNO sudah selesa dengan sindrom masih jadi kerajaan biarpun kalah pilihan raya. Sebelum ini UMNO sudah kalah teruk dalam PRU-15, walaupun kalah parti itu dijemput berada dalam kerajaan di bawah dua pentadbiran berbeza. Kali pertama bersama Perikatan Nasional dan kini dengan Pakatan Harapan.  Maka mendabik dada lah pemimpin kanannya dengan menganggap apa yang berlaku takdir Allah SWT. 

Oleh kerana sudah selesa dengan tanggapan itu maka apabila UMNO mencatatkan prestasi buruk dalam PRN barisan kepemimpinan  tidak berasa apa-apa ibarat ‘kebas satu badan’. UMNO ‘beroperasi’ seperti biasa yang bertanding kalah akan kata hormati keputusan rakyat, yang tak bertanding kata  akan buat post mortem.

Tetapi apa hasilnya selepas post mortem? Tidak apa-apa, malah laungan amaran seperti Pemuda UMNO pun ibarat ‘gas pepsi cola’ – buih sekejap sahaja.

Sebenarnya ramai tertanya-tanya apa lagi mesej yang UMNO mahu?  UMNO ditumbangkan dalam dua PRU, dapat ehsan’ PH untuk jadi kerajaan di Pahang dan Perak dan ‘dibungkus’ dalam PRN 6 negeri.  Tak kan kepemimpinan UMNO tidak faham mesej tersebut? UMNO kini hanya harap ‘bantuan oksigen’ PH untuk jadi kerajaan di peringkat pusat.

UMNO hanya ada kuasa mutlak memerintah di Melaka dan Johor. Di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dah jadi ‘lipat pisang’, di Pulau Pinang ‘nyawa-nyawa ikan’ (1 kerusi DUN), di Negeri Sembilan ‘menang hebat tapi kuasa orang lain yang rembat’. Di Pahang, Perak tanpa ehsan PH pasti UMNO tak jadi Menteri Besar. Kerusi Parlimen pun hanya tinggal 30 kerusi dan paling malang di beberapa negeri UMNO bukan kata tak ada ADUN malah Ahli Parlimen pun ‘ke laut’.

Tidak cukup dengan itu, keputusan PRN di negeri 6 membuktikan UMNO kini sudah setaraf Parti Amanah biarpun mempunyai lebih 3 juta ahli dan 191 bahagian. Apa gunanya ada ramai ahli berjuta-juta, kalau ‘tertiarap’ setiap kali pilihan raya? Apa gunanya 191 bahagian, kalau kerusi Parlimen yang dikuasai pun’semakin pupus’?

UMNO perjuang Melayu!UMNO bawa agenda Melayu! UMNO parti Melayu terbesar!…betulkah begitu? Lihatlah keputusan PRN 6 negeri ke mana orang Melayu? Bukankah lebih 80 peratus pengundi Melayu memihak kepada Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Bersatu dan Pas.

Jadi apa lagi mesej yang UMNO mahu? Benar UMNO belum tertiarap? Betul UMNO belum ‘berkubur’ tetapi dengan pencapaian setakat ini, jika sesuatu tidak dilakukan UMNO ‘akan diseret ke kuburan politik’. Justeru siapa akan selamatkan UMNO? Adakah Ahmad Zahid Hamid atau Mohamad Hasan? Dan adakah apa yang dilakukan oleh Pemuda UMNO akan mengubah wajah UMNO untuk kembali diterima oleh rakyat khususnya orang Melayu?

Setakat ini penulis tidak nampak UMNO akan berubah, boleh diubah atau terpaksa berubah, apa yang penulis nampak UMNO menanti masa untuk rebah. Ia memandangkan UMNO masih dikuasai oleh orang-orang Presiden yang jumlahnya bukan sahaja ramai tetapi juga ada kuasa dan kedudukan untuk menentukan hala tuju UMNO.

Bagaimana dengan Mohamad Hasan yang sebelum ini diharapkan oleh ahli UMNO melakukan sesuatu untuk memulihkan parti selepas kekalahan dalam PRU-15? Penulis tidak menaruh apa-apa harapan kepada Ahli Parlimen Rembau, ADUN Rantau dan Timbalan Presiden UMNO itu. 

Mohamad Hasan dianggap oleh ahli-ahli UMNO memilih jalan selamat untuk mengelakkan konfrantasi dengan Ahmad Zahid. Mungkin juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sudah melihat nasib yang menimpa rakan-rakannya apabila  ‘melawan tauke’.

Ada antara mereka dipecat, digantung atau ada yang ibarat ‘ada pun macam tiada…senyap sunyi’. Jadi siapa yang akan menjadi penggerak untuk memastikan mesej-mesej yang diberikan oleh rakyat sehingga parti itu terpuruk difahami kepemimpinan UMNO?

Secara jujur tidak nampak, cuma apabila Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Dr.Muhammad Akmal kelihatan bersuara tegas, ia memberi sedikit harapan tetapi tidak tahu sejauhmanakah ia mampu mengubah UMNO. Kalau UMNO mahu  terus kekal dengan kedudukan sekarang, sekadar buat post mortem bila kalah pilihan raya, yakin kalau kalahpun boleh menjadi kerajaan, ‘’ini parti kami, ikut suka kamilah nak berkawan dengan siapa’…teruskanlah.

Namun UMNO kena ingat, UMNO bukanlah satu-satu parti pilihan orang Melayu, UMNO bukan satu-satunya parti perjuangkan Melayu sebaliknya orang Melayu sudah ada alternatif iaitu Perikatan Nasional. Keputusan PRU-15 dan PRN di negeri ini sudah menjadi bukti. Oleh itu kalau UMNO masih leka dengan kedudukan kerajaan, masih seronok dapat ke hulu ke hilir dengan pemimpin PH, percayalah sikap tersebut ibarat sedang ‘menyusun ayat-ayat untuk ditalkinkan’ kepada parti Melayu berusia 77 tahun itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *