SEORANG bapa dijatuhkan hukuman penjara 702 tahun dan 234 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku bersalah atas 30 tuduhan rogol dan amang seksual fizikal terhadap dua anaknya, sejak enam tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 53 tahun didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dua anaknya, kini masing-masing berusia 12 dan 15 tahun dengan seorang daripadanya hamil lima minggu.
Lelaki yang juga pekerja pembersihan itu membuat pengakuan bersalah selepas setiap pertuduhan termasuk 19 kes rogol dan 11 kes cabul kehormatan dua anaknya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, lapor Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu sejak 2017 ketika salah seorang mangsa berusia 10 tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada 4 Julai lalu membabitkan dua lokasi berasingan di Jeram dan Bakri, Muar.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan.
Hakim menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan merogol, 10 tahun penjara serta dua sebatan bagi kesalahan amang seksual fizikal serta tambahan hukuman bagi Seksyen 16 (1) Kanun Keseksaan iaitu dua tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan 10 Julai lalu, manakala sebatan secara berasingan.
Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 42 tahun, manakala hukuman sebatan kekal 234 kali.
Namun, Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah hanya membenarkan maksimum hukuman sebatan adalah 24 kali.
Mengikut fakta kes, pegawai perubatan dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar membuat laporan polis selepas mendapati seorang mangsa hamil ketika mendapat rawatan akibat sakit dada.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Abu Bakar berkata tidak ada faktor yang boleh dipertimbangkan untuk hukuman terhadap tertuduh kerana mangsa adalah anak kandungnya selain seorang daripadanya hamil.
Leave a Reply