Pasukan petugas 1MDB bukan untuk ‘jatuhkan’ Najib-Zeti

BEKAS gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pasukan petugas 1MDB yang dibentuk pada 2015 bukan bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan 1MDB Najib, Zeti berkata, pasukan petugas yang dianggotainya itu dibentuk untuk menyiasat sama ada 1MDB dan pegawainya melakukan sebarang salah laku.

“Apabila pasukan petugas itu pertama kali bermesyuarat pada 2015, tidak diketahui sama ada wujud kaitan antara dana 1MDB dan akaun bank Perdana Menteri.

“Kami tahu tentang (tahap) hutang 1MDB yang tinggi, dan keingkaran mungkin berlaku yang akan memberi impak pada generasi akan datang,” kata Zeti.

Pasukan petugas itu yang dianggotai wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, BNM, dan Jabatan Peguam Negara, dibentuk pada Julai tahun itu untuk menyiasat dakwaan yang dibuat berhubung dana negara itu.

Bagaimanapun, dilaporkan kemudian bahawa pasukan petugas itu dibubarkan.

Zeti menafikan dakwaan peguam, Tan Sri Shafee Abdullah bahawa pasukan petugas itu dibentuk bagi ‘mencari jalan untuk mendakwa Perdana Menteri dan menyebabkan perubahan dalam kerajaan’.

“Saya tidak tahu wujudnya draf pertuduhan (terhadap Najib),” katanya ketika ditanya mengenai tuduhan terhadap Najib yang didakwa ‘bocor’.

Tiada konflik kepentingan

Zeti juga menafikan bahawa peranannya sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan pada 2018 menyebabkan wujudnya konflik kepentingan baginya.

Dibentuk sejurus selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan berikutan PRU14 pada Mei 2018, majlis tersebut turut dianggotai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican; hartawan Robert Kuok; dan ahli ekonomi, Jomo Kwame Sundaram.

Zeti berkata, majlis itu bukan ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB. Tugas itu jatuh pada pasukan lain yang diketuai oleh bekas peguam negara Abu Talib Othman.

“Majlis Penasihat Kerajaan tidak menyiasat 1MDB. Ia tentang reformasi ekonomi.

“Saya hadiri 100 hari mesyuarat (majlis itu), dan 1MDB tidak pernah dibincangkan. Boleh dapatkan agenda dan tunjuk pada saya (kalau saya silap).”

Peguam itu mencadangkan bahawa wujud konflik kepentingan bagi Zeti kerana suami dan anak-anaknya didakwa menerima dana daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

“(Tun) Dr. M. (Mahathir Mohamad) berkata dalam satu temu bual bahawa anda memintanya mengambil tindakan terhadap PM (ketika itu) (Najib) kerana anda tahu dia (Najib) mempunyai banyak wang dalam akaun,” dakwa Shafee, yang disangkal Zeti.

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah kemudian secara berseloroh bertanya sama ada pihak pendakwaan berhasrat untuk memanggil Mahathir sebagai saksi, menggunakan sepina, untuk mengesahkan kandungan temu bual itu.

Secara berasingan, Zeti memberitahu mahkamah bahawa beliau berharap siasatan polis terhadap suaminya, Tawfiq Ayman, akan selesai segera.

Katanya, polis telah mengeluarkan kenyataan media sebelum ini, mengatakan bahawa mereka sedang menunggu respons daripada kerajaan Singapura.

Apabila ditanya sama ada beliau individu yang dilindungi kerana tiada tindakan diambil terhadap dirinya dan keluarganya, Zeti menjawab: “Saya rakyat biasa dan tidak dilindungi oleh sesiapa,” lapor FMT.

Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana didakwa milik 1MDB sebanyak RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *