SELAMA berpuluh-puluh tahun dan berbelas-belas Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK), Kedah bukanlah sebuah negeri yang diberi perhatian khusus dalam arena politik. Negeri Mahsuri itu hanya diberi perhatian jika tercetus kontroversi pertukaran pentadbiran kerajaan negeri dan Menteri Besar.
Malah ketika pilihan raya umum lalu apa berlaku di Kedah tidak lagi begitu menarik perhatian ramai biarpun bertukar MB daripada Mukhriz Mahathir kepada Muhamad Sanusi Md. Nor di pertengahan jalan berikutan perubahan pentadbiran kerajaan di peringkat pusat.
Namun apabila enam DUN termasuk Kedah dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN, negeri Jelapang Padi itu menjadi perhatian arena politik tanah air. Nama Sanusi jadi sebutan ramai apabila ada gerakan untuk memastikan Kedah jatuh ke tangan gabungan PH-BN.
Bermula daripada DUN dibubarkan hinggalah memasuki tempoh 24 jam sebelum pengundian, situasi Kedah ibarat ‘sang kancil yang sedang diserang sekumpulan dubuk’.
Sasaran utama PH-BN ialah Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) – kelantangan beliau mempertahankan Kedah dan misi beliau untuk mewujudkan The Greater Kedah tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin PHBN.Mereka mencari jalan bagaimana mahu memastikan Sanusi dan PN tumbang di negeri yang disahkan kaya dengan nadir bumi (REE).
Dalam ketandusan isu untuk melemahkan Sanusi, pemimpin PH khususnya membangkitkan isu kecurian REE. Walaupun kes itu boleh dianggap selesai setelah mereka yang terlibat diheret mahkamah dan dijatuhi hukum, pemimpin PH-BN mencari celah mana REE boleh dijadikan modal untuk merosakkan reputasi Sanusi. Mereka tahu jika Sanusi dilemahkan maka seluruh jentera PN di Kedah juga akan tergugat.
Dua panglima PH-BN iaitu Mahdzir Khalid dan Mahfuz Omar berganding bahu untuk menumbangkan Sanusi dan mereka mendapat bantuan cukup hebat daripada Saifuddin Nasution yang tewas di Parlimen Kulim Bandar Bahru pada PRU-15.
Sepanjang kempen PRN berlangsung di Kedah, tugas Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu hanyalah mencari segala ruang dalam isu kecurian REE untuk dikaitkan dengan Sanusi. Saifuddin begitu ghairah menyerang Sanusi dengan menggunakan isu berkenaan sehinggakan ia menimbulkan persoalan bukan sahaja dalam kalangan rakyat Kedah tetapi juga rakyat negeri lain.
Mereka hairan dengan telatah Saifuddin yang dilihat cuba merosakkan imej Sanusi menggunakan isu REE. Ia bertambah menarik apabila Sanusi bukan sahaja berjaya menepis secara fakta tuduhan Saifuddin tetapi juga mendedahkan kehadiran Ahli Perniagaan Indonesia, Reza Chalid ke Kedah.
Dakwa Sanusi, Ahli Perniagaan itu menemani Anwar Ibrahim menghadap Sultan Kedah pada Oktober lalu dan ia ada kaitan dengan REE. Reza Chalid juga didakwa oleh Sanusi membuka syarikat berkaitan perlombongan REE pada hari Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.
Bermula daripada detik itu, wujudlah persepsi yang menjawab kenapa Saifuddin begitu ghairah menyerang Sanusi. Namun keterujaan dan keghairahan Saifuddin dan PHBN untuk menjatuhkan Sanusi hanya memakan diri. Lebih parah apabila pendakwaan di bawah Akta Hasutan ke atas Sanusi mencetuskan fenomena yang dianggap oleh penganalisis politik dari luar negara amat jarang berlaku. Gaya Sanusi mengangkat tangan menjadi ikutan ramai dan ia juga dianggap satu intifadah (penentangan) oleh sebahagian besar rakyat Kedah.
Kemuncaknya ialah pada Sabtu lalu apabila anak Kedah berpusu-pusu pulang bukan sahaja dari seluruh negara tetapi juga anak Kedah di luar negara.
Hasilnya daripada 36 kerusi DUN, ‘badai’ fenomena Sanusi membolehkan PN menguasai 33 kerusi DUN, ‘menghanyutkan’ 3 pemimpin besar PH-BN iaitu Pengerusi Barisan Nasional Kedah Mahdzir Khalid (BN), Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Mahfuz Omar (PH-Amanah) dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew. PH hanya menang tiga kerusi iaitu di Sidam (PKR), Bakar Arang(PKR) dan Kota Darul Aman (DAP.
Keputusan tersebut adalah manifestasi kegagalan tiga pemimpin berkenaan untuk menasihatkan Saifuddin dan pemimpin PHBN lain supaya jangan terlalu ghairah menggunakan isu REE menyerang Sanusi. Akibat kegagalan itu PH-BN khususnya UMNO dan Amanah ‘ditimbus REE’ ‘Ranap Elok-Elok’ di Kedah. ‘Takziah’.
Leave a Reply