Zahid ke mesyuarat Kabinet, perbicaraan rasuah ditangguh lagi

PERBICARAAN rasuah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur ditangguhkan lagi.

Peguam Datuk Hisyam Teh memberitahu wartawan, Presiden UMNO itu perlu menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Mahkamah membenarkan (perbicaraan) hari ini ditangguhkan dan kita sambung esok,” katanya, lapor FMT.

Bekas setiausaha Zahid, Rosiah Osman akan meneruskan keterangannya di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi, serta menerima rasuah berhubung pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Sebanyak 12 tuduhan membabitkan pecah amanah, lapan bagi rasuah dan baki untuk pengubahan wang.

Pada Januari dan Februari lalu, Zahid menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara berkaitan tuduhan itu.

Tetapi, mahkamah diberitahu semalam, pendakwaan masih mempertimbangkan representasi itu.

Pasukan pembelaan kemudian memanggil saksi untuk memberi keterangan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *