SEORANG elaki warga emas terlepas tali gantung selepas dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini setelah didapati bersalah membunuh jirannya yang berusia 77 tahun, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memerintahkan Mohamad Shaharudin Zakaria, 68, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 3 Mei 2020.
“Si mati dijerut dan dicampakkan ke dalam parit. Tertuduh sememangnya berniat membunuh si mati. Selain itu, terdapat kecederaan lain seluruh badan si mati seperti ditunjukkan post-moterm,” kataTimbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi ketika memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.
Mohamad Shaharudin didakwa menyebabkan kematian Zaharah Khalid, di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Manjung pada kira-kira pukul 8 malam pada 3 Mei 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dengan peruntukan yang sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, dalam prosiding hari ini, salah seorang anak mangsa, Hawa Isa, 48, tidak dapat menahan sebak apabila dipanggil memberi keterangan oleh pihak pendakwa tentang kesan kejadian pembunuhan itu kepada keluarga mereka.
“Memang meninggalkan kesan kepada kami sekeluarga semasa bulan puasa. Kami semua rapat dengan arwah mak terutamanya anak saya yang Orang Kurang Upaya (OKU) yang sehingga kini akan mengamuk apabila teringatkan opahnya.
“Semasa kejadian baru berlaku, orang kampung cakap macam-macam, tuduh mak saya walaupun tidak bersalah. Saya harap apa berlaku kepada mak saya, dia jerut mak saya, pijak mak saya, saya minta dia dapat hukuman yang setimpal,” kata anak ketujuh daripada 12 beradik itu.
Liyana Zawani memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati meskipun terdapat pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, kerana mangsa dibunuh dengan kejam oleh tertuduh.
Bagaimanapun peguam M. Saravanan yang mewakili tertuduh merayu supaya mahkamah mengurangkan hukuman anak guamnya yang sudah berusia dengan hukuman penjara.
“Sekurang-kurangnya biarlah dia menghabiskan saki-baki hidupnya di penjara dengan tenang. Janganlah ditambahkan deritanya dengan memberinya hukuman gantung kerana ada kemungkinan Shaharudin mungkin tiada lagi bila tibanya hari untuk dia digantung,” katanya.
Seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala hanya seorang mewakili pihak pembelaan sepanjang prosiding berlangsung sejak 2021.
Leave a Reply