TIGA anggota polis ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret, Georgetown, Pulau Pinang kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM3,000, baru-baru ini.
Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Mohd. Hadi Hakimi Harun selepas dipohon pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Difahamkan, dua anggota polis itu yang berpangkat Koperal berusia 38 dan 36 tahun dan seorang Konstabel berusia 20 tahun itu bertugas di Balai Polis Bukit Mertajam, dekat sini.
Dalam pada itu, sumber SPRM memberitahu, kira-kira pukul 7.15 malam pada 20 Julai lalu, kereta peronda polis telah menahan seorang lelaki yang menaiki motosikal di Jalan Berapit, Mengkuang, Bukit Mertajam.
Katanya, ketiga-tiga suspek telah membuat pemeriksaan dan mendapati cukai jalan motosikal dinaiki lelaki itu telah tamat tempoh selain dia turut memiliki sebungkus air ketum dan beberapa kotak rokok.
“Ketiga-tiga suspek ditangkap kerana disyaki telah menerima wang rasuah berjumlah RM3,000 daripada individu tersebut sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan yang dilakukannya,” katanya.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek itu ditahan oleh SPRM kira-kira pukul 7.25 petang semalam di Pejabat SPRM Pulau Pinang di Georgetown.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ASPRM 2009.
Leave a Reply