3 bekas pelajar menang saman guru tak hadir kelas 7 bulan

MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan tiga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud, dibayar pampasan masing-masing RM50,000 atas kegagalan guru Bahasa Inggeris hadir ke kelas selama tujuh bulan pada 2017.

Hakim Leonard David Shim membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung yang semua berusia 22 tahun.

Dalam penghakimannya, mahkamah memerintahkan pampasan dibayar kepada tiga bekas pelajar itu akibat trauma yang dialami mereka.

Ketiga-tiganya dalam saman yang difailkan pada 7 Disember 2020, menamakan bekas guru mereka, Mohd Jainal Jamran sebagai defendan pertama.

Pengetua SMK Taun Gusi ketika itu, Suid Hanapi; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; Menteri Pendidikan; dan Kerajaan Malaysia pula masing-masing sebagai defendan kedua, ketiga, keempat serta kelima.

Dalam penghakiman setebal 74 muka surat, mahkamah mendapati plaintif berjaya membuktikan kes berdasarkan imbangan kebarangkalian, selepas mempertimbang keterangan kedua-dua pihak dan kesemua bukti yang dikemukakan.

Mahkamah mendapati kes itu membabitkan persoalan berhubung hak perlembagaan kepada pendidikan, selain isu yang mempunyai kepentingan awam.

“Defendan melanggar hak perlembagaan plaintif bawah Perkara 5 yang dibaca bersama Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan.

“Defendan juga melanggar hak perlembagaan kepada pendidikan dan hak untuk disediakan guru yang menghadiri kelas bagi mengajar serta mempersiapkan plaintif untuk peperiksaan Bahasa Inggeris,” katanya, lapor Berita Harian.

Malah, mahkamah mendapati bukti juga menunjukkan tarikh defendan pertama tidak hadir itu adalah sama dengan rekod Jabatan Pendidikan Sabah (JPNS).

Mahkamah turut mendapati tiada bukti menunjukkan defendan pertama sedang bercuti atau terbabit aktiviti sekolah yang lain sepanjang tempoh ketidakhadiran itu.

Dalam perbicaraan yang bermula pada 5 September 2022, seramai 10 saksi dipanggil memberi keterangan bagi pihak plaintif.

Perbicaraan yang tamat pada Januari 2023 itu turut menampilkan tiga saksi hadir memberi keterangan bagi pihak defendan.

Ketiga-tiga plaintif diwakili oleh peguam, Sherzali Herza Asli.

Peguam Kanan Persekutuan, Mohd. Hafizi Abd Halim, bersama Peguam Persekutuan, Fazrul Fardiansyah Abdul Kadir pula bertindak bagi pihak defendan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *