Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG peniaga pakaian ‘online’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas tuduhan memiliki dua keping wang kertas RM100 palsu pada awal bulan ini.
Cheoh Chuan Wang yang berusia 24 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang suspek yang masih bebas didapati memiliki dua keping RM100 palsu dengan niat hendak menggunakannya sebagai wang tulen.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 4 petang di sebuah stesen minyak di Batu 21, Kulai pada 1 Julai lalu.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Eddlyn Wong manakala tertuduh diwakili peguam, Omar Kutty Abd. Aziz.
Sebelum itu, pihak pendakwaan memohon jaminan tinggi berjumlah RM15,000 dikenakan kerana tertuduh berisiko melarikan diri memandangkan seorang lagi suspek kes tersebut masih bebas.
Omar Kutty seterusnya menjelaskan bahawa tiada alasan untuk tertuduh untuk melarikan diri selain anak guamnya itu telah memberikan kerjasama yang baik apabila tampil menyerah diri ke balai polis.
Peguam terbabit memohon jaminan yang rendah kepada tertuduh yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik kerana perlu menanggung ibunya yang berusia 60 tahun dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.
Mahkamah membenarkan lelaki itu dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.
Leave a Reply