‘Saya mahu jumpa emak saya’, kata Ismahalil selepas dibebaskan

BEKAS penyampai radio, Ismahalil Hamzah meluahkan hasrat untuk bertemu dengan ibunya yang sedang sakit selepas dilepaskan dan dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, hari ini.

Katanya, niatnya itu menjadi keutamaan apabila dia ingin kembali memikul tanggungjawab untuk menjaga ibu kesayangannya itu selepas hampir dua tahun di dalam penjara.

Pengasas Bapakku FM itu turut menzahirkan rasa syukur apabila berkesempatan untuk menjadi wali kepada anak sulungnya, Saidatul Nadia, 27, yang akan berkahwin dalam masa terdekat.

“Mak saya sedang sakit. itu adalah keutamaan saya. Anak saya juga akan menikah (dalam masa terdekat), Alhamdulillah saya dapat menjadi wali.

“Saya nak balik kampung dan saya mahu jaga ibu saya buat seketika. Saya dah berjanji dengan arwah ayah saya untuk jaga ibu saya,” katanya.

Ismahalil berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas prosiding keputusan di akhir pembelaan bagi kes pertuduhan yang dihadapi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selesai, tengah hari tadi.

Menurut Ismahalil, dua tahun di dalam penjara cukup memberi pengajaran terhadapnya apabila menyifatkan kehidupan di penjara seolah-olah ‘mati namun masih bernafas’.

“Dua tahun ini banyak memberi pengajaran kepada saya. Banyak sangat saya belajar. Terima kasih kepada semua.

“Bila di dalam penjara sebenarnya kita seperti mati namun masih bernafas. Tiada hubungan luar, tiada apa-apa, seperti kita mati.

“Namun Alhamdulillah hari ini Allah bagi kita ‘bernafas’ kembali. Pengalaman itu sangat memberikan pengajaran kepada saya,” luahnya.

Dalam pada itu, lelaki berusia 52 tahun itu memberitahu akan kembali sebagai penyampai radio selepas Bapakku FM ditutup sejak dia ditahan, dua tahun lalu.

“Insyallah dengan semangat yang ada, saya akan buka kembali radio Bapakku FM. Namun bagi saya masa. Saya akan teruskan kembali sebagai penyampai radio kerana ia merupakan nyawa dan kehidupan saya.

“Bagi saya waktu untuk berehat. Saya telah berehat dalam ‘mati’ selama dua tahun, bagi saya masa untuk berehat dalam hidup pula buat seketika,” ujarnya, lapor Utusan TV.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas penyampai radio Ismahalil Hamzah daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut kertas pertuduhan,Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *