Rampas jam ‘tema LGBTQ’, Swatch saman kerajaan

SWATCH Malaysia menfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar tindakan kerajaan merampas 172 jam tangan termasuk siri ‘Pride Collection’ jenama itu, pada Mei lalu.

Rampasan dibuat pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) di beberapa kedai Swatch yang dibuat kerana jam tangan terbabit dikatakan mempunyai unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Dalam permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman, syarikat itu mendakwa rampasan berkenaan tidak sah kerana aksesori berkenaan bukan ditakrifkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Menurutnya, berdasarkan akta itu istilah penerbitan terhad untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak.

“Jam tangan tersebut belum ditakrifkan sebagai penerbitan yang dilarang, oleh itu pegawai tidak mempunyai kuasa untuk memasuki cawangan pemohon (Swatch Malaysia) untuk merampasnya,” katanya memetik laporan FMT.

Swatch Malaysia berkata beberapa model antara 172 jam tangan yang dirampas telah dijual di Malaysia selama lebih setahun dan tiada notis aduan atau aduan mengenainya.

Syarikat itu berkata, peguamnya pada bulan lalu juga telah memohon KDN memulangkan jam dirampas, namun sehingga kini agensi itu belum berbuat demikian.

Menurut notis itu, pemohon juga menyifatkan tindakan itu bermotifkan politik memadangkan PRN bakal diadakan tidak lama lagi.

Susulan itu, Swatch menuntut jam tangan itu dikembalikan semula dan ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.

Hakim Amarjeet Singh akan mendengar permohonan semakan kehakiman itu pada 20 Julai.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *