TUJUH ejen kastam yang ditahan terbabit sindiket kereta mewah mengurangkan duti secara tidak sah dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini.
Mahkamah mengarahkan tiga orang membayar wang jaminan RM5,000 manakala empat lagi perlu membayar wang jaminan RM10,000 setiap seorang.
Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes ini dan perlu menyemak beberapa dokumen yang dirampas dalam operasi itu.
“Setakat ini sindiket kereta mewah mengurangkan duti secara tidak sah sehingga mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.
“SPRM juga sedang mengesan individu lain yang terbabit dalam sindiket ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Sumber berkata, kereta mewah itu semuanya datang dari Langkawi, Kedah yang dibawa keluar sebelum dikurangkan duti secara tidak sah.
“Mereka ini ditahan kerana bersubahat mengemukakan maklumat palsu sedangkan kenderaan mewah itu tidak layak mendapat pengurangan penilaian duti kastam,” ujarnya.
Antara jenis kenderaan mewah yang terbabit dan dirampas setakat ini adalah jenis McLaren dan Ferrari, namun difahamkan terdapat banyak lagi kenderaan mewah lain.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai, ketika dihubungi mengesahkan tujuh individu terbabit dibebaskan dengan jaminan oleh mahkamah selepas tamat tempoh tahanan reman hari ini.
Menurutnya, mereka perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM sebulan sekali.
Leave a Reply