Payang Walk dalam versi, nafas baharu

SUDAH agak lama penulis tidak berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan atau pementasan kesenian popular yang terdapat di daerah-daerah di negeri Terengganu.

Seperti sedia maklum, Terengganu sememangnya cukup terkenal dengan kesenian tradisi dan mempunyai pertalian rapat dengan sektor pelancongan negeri.

Sebab itulah, dalam memajukan sektor pelancongan, kerajaan negeri pernah memperkenalkan slogan Negeri Cantik, Budaya Menarik lalu ia menjadi ‘trademark’ dan sebutan ramai hingga sekarang.

Antara kesenian popular yang sering menjadi tumpuan ramai ialah Ulek Mayang, Rodat, Tarian Balai, Tarian Saba, Mak Yong, Wayang Kulit, Dikir Barat, Silat Kura-Kura, Main Puteri, Tarian Abang, Gendang Besar, Tumbuk Emping serta lagu-lagu rakyat.

Kesemua kesenian ini pernah penulis kumpul dan persembahkan dalam program tahunan, bulanan dan mingguan sewaktu penulis bersama Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu (MKNT) beberapa tahun lalu.

Antara program tersebut termasuklah Pesta Pantai, Pekan Budaya daerah, KT Walk, Payang Walk serta program Hujung Minggu di Pantai Batu Burok dan Teluk Ketapang.

Selain bertujuan untuk mengekal serta mengembangkan kesenian popular negeri, menerusi aktiviti ini secara tidak langsung mampu menjana ekonomi peniaga dan penduduk setempat.

Apa yang membanggakan penulis, ada di antara program berkenaan masih diteruskan sehingga kini, cuma pendekatanya sahaja yang berbeza.

Dengan erti kata lain, hanya konsep dan format persembahannya sahaja dalam versi yang berbeza.

Sebagai contoh, setiap persembahan kesenian yang diadakan di negeri ini perlu patuh syariah di samping tidak dibenar melibatkan penari lelaki dan wanita.

Ini bermakna, kesenian Ulek Mayang, Mak Yong, Tarian Saba dan Main Puteri yang mengandungi unsur ritual tidak boleh dipersembahkan secara terbuka.

Bercakap mengenai program Payang Walk yang dilancarkan pada tahun 2012, penulis yang mewakili MKNT pernah berada dalam Urus Setia Persembahan.

Program yang diadakan tiga hari seminggu, berjaya menghidupkan suasana malam di Bandaraya Kuala Terengganu yang sebelum itu kelihatan sepi tanpa pengunjung.

Program dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), MKNT dan persatuan peniaga itu melibatkan laluan pejalan kaki bermula dari Pejabat Pos Besar Terengganu sehingga ke Simpang Jalan Banggol.

Sepanjang tiga hari program berlangsung, iaitu Jumaat hingga Ahad, pelbagai acara kesenian dari setiap daerah serta pameran dan jualan secara ‘bundle’ dibuka sepanjang laluan ‘Payang Walk’.

Selain itu, ia turut memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan di lokasi satu hentian yang memberi keselesaan kepada pelancong tanpa kekangan kesesakan lalu lintas di Kuala Terengganu.

Melalui aktiviti ini juga ia dapat menjenamakan semula destinasi pelancongan di bandaraya ini seperti Istana Maziah, Bukit Puteri, Dataran Shahbandar, Bazar Warisan dan Pasar Besar Kedai Payang.

Kemudahan pengangkutan beca turut disediakan bagi membawa dan menurunkan penumpang.

Kini, selepas 10 tahun berlalu Payang Walk kembali semula dilokasi asalnya dengan versi dan nafas baharu.

Program anjuran Kerajaan negeri melalui MBKT ini turut menekankan operasi beca warisan di sekitar Pasar Besar Kedai Payang sebagai salah satu usaha untuk memperkasa destinasi ikonik itu yang juga merupakan aset pelancongan utama Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman pada Sidang Medianya minggu lalu berkata, Payang Walk yang berkonsepkan jualan dengan pendekatan aktiviti pelancongan di pinggiran jalan yang beroperasi pada hujung minggu (setiap Jumaat) di Pesisir Payang (bersebelahan Pasar Besar Kedai Payang) akan dilancarkan pada 21 Julai ini.

Katanya, antara segmen jualan dan aktiviti tersebut termasuklah barangan tempatan, makanan tradisional serta persembahan kebudayaan dan kesenian.

Beliau turut mengharapkan Payang Walk dan laluan beca warisan di Pesisir Payang ini merupakan ‘pilot projek’ untuk melihat sejauhmana keberkesanannya sebelum sebarang penambahbaikan dilakukan.

Program yang turut melibatkan seramai 100 peniaga ini akan dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samuri Mokhtar.

Justeru, penulis berharap Payang Walk yang diadakan kali ini mampu mencipta fenomena baharu dalam sektor pelancongan negeri.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *