Dua wanita Vietnam didenda RM2,000 tawar seks kepada polis

DUA wanita warga Vietnam yang menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis berpangkat koperal, bulan lalu masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini.

Tu Dong Thuy Hoa dan Thi Lan Giang masing-masing berusia 33 tahun, bekerja sebagai tukang urut, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Zhafran Rahim Hamzah.

Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda berkenaan, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencari langganan bagi persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada anggota polis berpangkat koperal di sebuah bilik hotel di Taman Equine, Seri Kembangan, pada pukul 6 petang, 27 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, Jasmine Faith yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman berbentuk denda kerana perlu menanggung anak masing-masing.

“Mereka baru sahaja mula bekerja sebagai tukang urut selama dua hari namun ekoran kesalahan berkenaan, mereka telah direman selama 15 hari, sekali gus menjadikan perkara ini sebagai pengajaran,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md. Kamal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *