SEORANG pengarah syarikat bergelar Datuk Seri memohon untuk mengetepikan empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dihadapinya.
Datuk Seri Sim Choo Thiam, 53, selaku pemohon yang memfailkan notis permohonan itu di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai, memohon supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu.
Sim mendakwa pendakwa raya selaku responden, telah melanggar kewajipan statutori mereka di bawah Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan siasatan kes itu tidak lengkap.
Ahli perniagaan itu juga memohon, supaya responden menyerahkan kepadanya pernyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan, di bawah Seksyen 51A (1)(c) KTJ dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah, lapor Bernama.
Menurut Sim fakta yang memihak kepada pembelaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hanya merekodkan kenyataan bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin pada petang 10 Mei, selepas beliau didakwa pada hari yang sama.
“Fakta bahawa kedua-dua kenyataan beramaran pemohon yang telah direkodkan pihak SPRM pada 16 dan 28 Feb 2023, masing-masing mengandungi pelbagai kenyataan yang melepaskan, yang tidak menyokong mana-mana unsur kesalahan seperti dalam setiap pertuduhan rasuah yang saya hadapi,” katanya dalam notis permohonan.
Pada 28 Jun, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan perbicaraan kes itu selama 10 hari bermula 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Mei 2024.
Sim didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.
Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam, Hamzah yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, membantu Asia Coding Centre untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN.
Sim juga berdepan tiga lagi pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama (Hep), sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Shaas Holdings dan di kawasan letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 di sini antara Jun 2021 dan 30 Julai 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Leave a Reply