SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan mengugut mahu memecahkan cermin kereta jirannya, pada Jumaat lalu.
Ramlan Mohd Sanusi, 39, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin, lapor Sinar Harian.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan kepada Hussin @Mohd Hussin Jaapar, 55, dengan kata-kata ugutan “aku lama berdendam dengan kau” dan mengugut akan memecahkan cermin kereta sambil memegang sebatang besi pencakar tanah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Duyong Indah di Melaka pukul 4 petang pada 30 Jun lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding kes berlangsung.
Tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Izzuddin Malik memohon jaminan rendah diberikan terhadap tertuduh yang perlu menanggung enam orang anak dengan pendapatan bulanan RM1,500.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Leave a Reply