SETAKAT artikel ini dihasilkan dan berdasarkan maklumat di lapangan ternyata gelombang Perikatan Nasional (PN) masih ‘bergelora’ di enam negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Kelantan masih lagi menjadi kubu kuat PN diketuai Pas, di Kedah aura Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Noor masih menjadi igauan ngeri kepada PH-BN manakala di Terengganu bayangan makin ketara bahawa negeri itu akan kekal di tangan PN dengan Pas menjadi terajunya.
Di Selangor dan Negeri Sembilan, PH-BN ibarat ‘bernafas dalam lumpur’ untuk mempertahankan kerajaan yang diterajui. Di Pulau Pinang pula, DAP masih selesa namun majoriti dua pertiga mungkin terlepas dalam genggaman.
Namun semua itu hanyalah analisis awal.Keadaan mungkin berubah apabila gelanggang PRN dijangka dibuka secara rasmi dengan penamaan calon pada penghujung Julai atau awal Ogos nanti. Tetapi apa yang pasti, gelombang PN makin meresahkan PH-BN sehingga mereka terpaksa mencari ‘muslihat politik’ bagi menahan gelombang itu yang bermula pada PRU-15 tidak terus bergelora dalam PRN di negeri-negeri tersebut.
Oleh itu tidak hairanlah apabila beberapa pemimpin kanan atau tertinggi PH-BN mula menghala ‘muncung serangan’ mereka ke arah PN khususnya Pas. Penulis percaya ‘serangan’ itu akan dipertingkatkan dengan ‘tatakelola dan wewenang’ yang ‘ lebih mengganas’ apabila kempen PRN bermula.
Namun itu bukanlah sesuatu yang luar biasa atau mengejutkan dalam keadaan analisis awal menunjukkan tahap sokongan terhadap PN khususnya dalam kalangan orang Melayu dan anak muda masih kukuh.
Dalam berhadapan dengan situasi ini, pemimpin PH-BN tidak ada modal selain cuba mengaitkan amalan politik perkauman atau 3R iaitu kaum,agama dan raja-raja sebagai ‘peluru’ untuk memburukkan PN. Pada masa sama ia juga mahu dijadikan ‘pelepah’ untuk menutupi ‘bangkai’ kegagalan PH-BN menguruskan negara yang kini semakin ‘hanyir baunya’.
Pelbagai isu yang melumuri negara seperti kejatuhan ringgit yang ‘menerima anugerah’ matawang paling rendah dalam kalangan negara Asia, kebuntuan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat dan ‘tatakelola’ ekonomi yang tidak tentu hala membimbangkan PH-BN.
Mereka bimbang PRN di enam negeri itu akan menjadi referendum rakyat terhadap kegagalan kerajaan campuran diterajui Anwar Ibrahim sebagai PM menguruskan negara. Walaupun pemimpin kanan UMNO dan penganalisis politik pro-kerajaan tidak selesa dengan andaian ‘referendum’ tersebut tetapi ia adalah fakta yang tidak boleh dipinggirkan begitu saja.
Atas sebab itulah ada pemimpin UMNO awal-awal lagi menegaskan, apapun berlaku dalam PRN tersebut ia tidak akan menggugat kedudukan Kerajaan Pusat yang dikuasai PH-BN kerana memiliki sokongan 148 ahli Parlimen. Fakta itu tidak boleh dinafikan malah pelajar sekolah menengah pun faham, apapun keputusan PRN ia tidak menjejaskan kedudukan kerajaan pusat sedia ada.
Kalau itulah yang menjadi sandaran maka tak perlulah pemimpin PH-BN ‘memerah otak’ mencari jalan bagaimana mahu memburukkan PN dalam usaha mereka menghakis sokongan rakyat khususnya orang Melayu terhadap PN. Tidak payahlah mahu memperbodohkan rakyat apatah lagi mahu menakutkan rakyat dengan istilah 3R atau minta rakyat jangan tertipu dengan politik muslihat Pas.
Kenapa perlu takut? Kenapa bergoncang ‘tulang rusuk’ politik pemimpin PH-BN melihat ribuan orang terus membanjiri majis politik PN? Kenapa perlu menggunakan hujah jahil dengan menganggap pemerintahan kerajaan negeri perlu dikuasai oleh parti yang sama memerintah pusat? Kenapa mahu ‘memesong’ fikiran pengundi dengan menyatakan masalah di negeri dikuasai PN boleh diselesaikan jika PH-BN memerintah?
Adakah dengan meminggirkan negeri diperintah PN bertepatan dengan amalan politik dan keadilan yang acap kali menjadi laungan pemimpin PH-BN?
Atas sebab itulah, penulis bersetuju dengan saranan Muhammad Sanusi bahawa PH-BN perlu bertanding seperti ‘anak jantan’.
“Kempen atas kekuatan dan kapasiti parti masing-masing. Bertandinglah secara anak jantan. Jangan cakap lain, buat lain,” kata Sanusi.
Kenyataan Sanusi itu tepat sekali kerana ‘pesta demokrasi’ tersebut perlu diraikan penuh berhemah dengan menghormati hak pengundi untuk membuat keputusan.
Penulis percaya rakyat sudah bijak untuk menentukan parti mana yang diinginkan bagi menerajui negeri kesayangan mereka. Justeru PH-BN perlu bertanding seperti anak jantan bukannya menjadi ayam jantan berkokok kuat tapi ekor bergelumang dengan tahi’ setelah ketika ini dianggap ‘cakap lain buat lain’.
Leave a Reply