HARI ini 2 Julai 2023 bersamaan 13 Zulhijah 1444, umat Islam di seluruh dunia masih lagi berada dalam suasana sambutan Hari Raya Aidiladha atau hari raya korban.
Walaupun hari raya korban yang disambut di negara ini tidak semeriah Hari Raya Aidilfitri, namun ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.
Ketika penulis di zaman kanak-kanak dahulu, hari raya korban juga dikenali sebagai hari raya ‘pak Haji’ atau hari raya haji.
Sebenarnya hari raya haji ini tetap bermakna dan disambut penuh meriah oleh masyarakat kampung.
Bagi mereka yang tinggal di kampung-kampung, menjelang petang hari raya haji persiapan awal ialah menyediakan bahan-bahan makanan untuk di masak seperti ayam, ikan tongkol dan sebagainya.
Seperti juga Hari Raya Aidilfitri, antara menu yang dihidangkan penduduk kampung ialah nasi dagang, lemang, nasi himpit, ketupat daun palas dan nasi minyak.
Maka, riuh rendahlah suasana kampung ketika itu apabila ada anak-anak jiran yang bertindak mengejar ayam sehingga keliling rumah.
Pada sebelah malam pula, bermulalah pelbagai aktiviti bercorak keagamaan sama ada dilakukan di rumah, surau ataupun masjid berhampiran.
Selain golongan dewasa, boleh dikatakan surau-surau dan masjid akan dikunjungi ramai penduduk kampung.
Ia termasuk golongan remaja dan kanak-kanak sama ada lelaki atau perempuan.
Selepas menunaikan solat Isyak, semua jemaah akan sama-sama menyertai takbir hari raya serta bertahmid sehingga lewat malam.
Begitulah betapa indahnya kehadiran malam Hari Raya Aidiladha, menyebabkan tradisi menyambut hari yang penuh keberkatan ini sentiasa meninggalkan kenangan indah bagi mereka yang mengerjakan ibadah tersebut.
Pada sebelah pagi pula, selepas menunaikan solat sunat Aidiladha penulis bersama kawan-kawan akan terus ke lokasi tempat penyembelihan lembu korban.
Apa yang menarik dan amat menyeronokkan penulis dan rakan-rakan ketika itu ialah turut diberikan agihan daging korban untuk dibawa pulang.
Bagaimanapun itu cerita zaman dahulu, iaitu zaman manusia hidup tanpa alat komunikasi seperti telefon bimbit, telivisyen, gajet dan Internet.
Kalau dahulu, kebanyakan umat Islam terutama yang tinggal di kampung-kampung sentiasa meraikan ketibaan setiap hari raya sama ada Hari Raya Aidilfitri ataupun Aidiladha dengan penuh kesyukuran.
Malah, hubungan akrab masyarakat ketika itu adalah lambang perpaduan.
Ketika itu juga kebanyakan penduduk kampung belum ada kemudahan jalan bertar atau mereka yang memiliki motosikal.
Kalau pun ada kemudahan, sesetengah penduduk hanyalah memiliki basikal gajah.
Jadi, pada sekitar awal tahun 1970-an dahulu, gejala mat rempit atau berlumba basikal gajah secara haram belum berlaku.
Sebab itulah anak-anak muda dahulu aktivitinya lebih tertumpu di surau atau rumah.
Bagi kanak-kanak yang tinggal di pesisir pantai, aktiviti harian di siang hari banyak dihabiskan dengan bermain rakit di kolam atau sungai.
Dengan perkembangan itu juga menjadikan sambutan hari raya haji dahulu sememangnya cukup meriah.
Selain gotong royong melapah daging, memasak gulai kawah, masyarakat ketika itu berlumba-lumba untuk membantu antara satu sama lain.
Kini, penulis mendapati suasana tersebut semakin lenyap ditelan zaman.
Walaupun ketibaan hari raya haji masih disambut oleh masyarakat Islam, namun ‘kelibatnya’ hanya singgah sekejap sahaja.
Ia hanya dapat dirasai melalui takbir hari raya yang berkumandang dari masjid dan surau serta corong radio disamping kesibukan dan kesesakan kenderaan di jalan raya.
Malah penulis perhatikan konsep sambutan hari raya Haji itu sendiri telah berubah.
Sejak kebelakangan ini tiada lagi kunjung mengunjung serta pertukaran juadah dalam kalangan jiran tetangga pada pagi hari raya.
Bagi mereka yang mengerjakan korban pula, ada juga yang jauh tersasar di mana agihan daging korban diberikan sesama sendiri: Awang agih kepada Mamat, Mamat pula agih kepada Awang tanpa membabitkan golongan fakir miskin.
Melihat situasi ini tidak mustahil sambutan hari raya haji ini akan terus lenyap ditelan zaman kerana ia tidak lagi diraikan oleh generasi akan datang.
Leave a Reply