Inspektor polis percubaan didakwa terima suapan RM3,000

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG inspektor percubaan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah bernilai RM3,000 daripada seorang wanita, tahun lepas.

Tertuduh, Basree Ibrahim, 38, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Dalam pertuduhan dibacakan itu, dia didakwa menerima rasuah daripada wanita berusia 35 tahun tersebut sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak mengambil tindakan terhadap wanita berkenaan, yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Rasuah itu didakwa diterimanya sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak mengambil tindakan terhadap wanita berkenaan, yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 8.30 malam, 17 September 2022 di sebuah restoran dekat Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu Mohd. Zulfadli mencadangkan agar mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 buat tertuduh dengan seorang penjamin.

Tertuduh bagaimanapun memohon agar kadar jaminan dikurangkan dengan alasan anaknya masih bersekolah. Hakim lalu menetapkan kadar jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Julai depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam dengan tertuduh turut diarahkan untuk melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *