MAHkAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan saman oleh PKR untuk menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin, kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.
Hakim, Datuk Akhtar Tahir, membuat keputusan itu berhubung saman difailkan PKR menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada 28 September 2020, lapor Berita Harian.
Menerusi saman itu, PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Pada 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).
PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Leave a Reply