MAHKAMAH Majistret Kangar menolak permohonan reman pendakwah bebas, Ahmad Husam Ahmad Baderudin, bagi membantu siasatan kes tipu dengan menyamar menggunakan gelaran ‘Datuk’ tidak diiktiraf.
Permohonan perintah reman terhadap ustaz berusia 33 tahun itu ditolak Majistret Siti Hasliza Md. Ali selepas mengambil maklum alasan dikemukakan peguam mewakilinya.
Husam diwakili peguam Nur Iman Nor Azmi, Siti Hajar Ahmad, Zuhair Ahmad Zakuan, dan Nurul Hanani Che Nor.
Nur Iman yang mengetuai barisan peguam berkata, pihaknya membantah permohonan reman daripada polis kerana “tiada keperluan bagi menahan anak guam mereka untuk satu tempoh yang lama”.
“Ustaz Ahmad Husam sudah bebas dengan jaminan polis, namun kami sudah beri aku janji untuk beri kerjasama kepada polis sekiranya dipanggil selepas ini.
“Untuk ke hadapan, kita akan berbincang dengan pihak anak guam kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya menurut Harian Metro ketika bercakap di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah sekitar 9.30 pagi diiringi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
Sementara itu, Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd. Yusop, mengesahkan suspek dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau berkata, suspek ditahan semalam selepas dipanggil untuk memberikan keterangan di Balai Polis Kangar sekitar 1 tengah hari berhubung kes berkenaan.
“Suspek ditahan berhubung satu laporan polis yang dibuat pada 2 Mei lalu apabila seorang pelanggan sebuah kedai makan di Jalan Kaki Bukit, Kangar terbaca satu hantaran dimuat naik oleh suspek.
“Hantaran berkenaan dimuat naik sekitar 10 malam hari sebelumnya oleh suspek pada Facebooknya serta mempunyai seramai 306,000 pengikut.
“Berdasarkan pada hantaran berkenaan, suspek menggunakan gelaran dan anugerah ‘Datuk’ pada profil akaun Facebook dan pada paparan poster tertera nama beliau yang menggunakan gelaran berkenaan,” kata laporan itu.
Katanya, sehubungan itu tiga kertas siasatan dibuka polis antaranya mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.
“Selain itu, kita turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 3(2) Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017,” katanya.
Leave a Reply