MAHKAMAH Tinggi di Georgetown hari ini menolak saman fitnah oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng terhadap Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng dan akhbar berbahasa Inggeris The Star.
Menurut laporan FMT, Hakim Quay Chew Soon memutuskan bahawa artikel yang ditulis Tan dalam akhbar itu mengenai Lim dan pembiayaan untuk sekolah Cina tahun lepas, adalah komen yang adil dan bukan fitnah.
Lim diperintah membayar kos RM20,000 kepada Tan, dan RM30,000 kepada The Star.
Lim menyaman Tan dan The Star tahun lepas berhubung artikel yang disiarkan yang mendakwa Lim sebagai menteri kewangan ketika itu telah menuntut SJK(C) Kuek Ho Yao menukar nama dengan pertukaran RM4 juta dana kerajaan.
“Ini adalah palsu dan tidak benar. RM4 juta telah diserahkan walaupun pembinaan belum dimulakan.
“Sebagai menteri kewangan, saya tidak pernah menetapkan syarat SJK(C) Kuek Ho Yao mesti menukar namanya untuk menerima peruntukan saya sebanyak RM4 juta,” kata Lim ketika itu.
Menurut peguam Lim, K. Simon Murali, anak guamnya akan merayu keputusan hari ini.
SJK(C) Kuek Ho Yao merupakan sebuah sekolah baru di Johor Bahru yang ditubuhkan pada zaman pentadbiran BN. Ia dinamakan sempena mendiang Kuek, yang merupakan seorang dermawan.
Leave a Reply