Guru muzik dituduh pandu secara berbahaya hingga sebabkan kematian wanita

SEORANG guru muzik sambilan berusia 28 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita pada 8 Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Oo Cheng Sing, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret Jenayah.

Mengikut pertuduhan, Cheng Sing didakwa memandu sebuah kereta secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang wanita.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Loh Poh Heng, 8 Mei lalu, kira-kira pukul 10.20 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu lima tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Zainal Akram Zainal Azahar memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya akan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 26 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian kemalangan yang tular di media sosial pada 8 Mei lalu itu, seorang penunggang motosikal wanita dilaporkan maut selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang kemudiannya menyebabkan insiden pergaduhan di lokasi kejadian.

Susulan kejadian itu, polis menahan enam individu bagi membantu siasatan termasuk ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *