Bekas anggota tentera perdaya 5 mangsa dipenjara 6 bulan

BEKAS anggota tentera dihadapkan di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini atas lima pertuduhan memperdayakan lima mangsa dengan membuat pembayaran dalam talian tidak wujud bagi pembelian pelbagai barangan dengan jumlah keseluruhan hampir RM20,000, bulan lalu.

Tertuduh, Mohammad Norikhwan Adha Mohamad, 26, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosni selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memperdayakan lima mangsa berbeza dengan membuat transaksi bayaran yang tidak wujud ke akaun mangsa bagi pembelian sebuah motosikal, pelbagai pakaian, tiga telefon bimbit jenama iPhone dan pelbagai aksesori telefon serta peranti dengan nilai keseluruhan RM19,916.

Dengan itu tertuduh dengan curangnya mendorong semua mangsa untuk menyerahkan semua barang berkenaan kepada tertuduh yang mana mangsa tidak akan melakukan sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan dilakukan di lima lokasi di daerah Nilai, pada dari pukul 5.02 petang 17 Mei hingga pukul 7.36 malam 18 Mei lalu, lapor Harian Metro.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh maksimum lima tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syed Fadil Syed Othman dan M. Parameswari yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara minimum memandang tertuduh kini tidak bekerja dan menanggung isteri, seorang anak serta ibu bapa yang uzur.

Pendakwaan yang dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Nurul Muhaimin Mohd Azman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman enam bulan penjara bermula dari tarikh sabitan.

Dalam kamar sama, tertuduh bersama Muhammad Asyraf Zaini, 27 dan Abdul Rahman Zaini, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis syabu anggaran berat 6.30 gram di sebuah rumah beralamat di Taman Desa Palma, dekat Nilai, pukul 10 pagi, 16 Jun lalu.

Justeru, ketiga-tiga tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama.

Ketiga-tiga tertuduh diberi jaminan sebanyak RM3,000 seorang dan sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Ogos depan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *