Perbicaraan kes cerai di Perlis diadakan secara tertutup

MAHKAMAH syariah di Perlis akan melaksanakan sesi perbicaraan kes perceraian secara tertutup bermula Julai ini.

Istana Arau dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat melalui arahan Ketua Hakim Syarie Perlis Jaidi Ahmad setelah dipersembah maklum dan diperkenankan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan agar perbicaraan secara tertutup dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) bermula 1 Julai 2023.

Titah perkenan itu dizahirkan ketika program Forum Safar Ilmu MAIPs bersempena cerapan Rukyah Hilal Awal Zulhijjah 1444 Hijrah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis di Masjid Al Hussain Kuala Perlis semalam.

Menurut kenyataan itu keputusan berkenaan dibuat bagi menjaga aib pihak-pihak yang terlibat terutamanya membaitkan kes yang mendedahkan keaiban peribadi selain bagi mengelakkan unsur ghibah dan boleh membawa kepada fitnah.

Jaidi dalam kenyataan sama berkata pelaksanaan berkenaan dibuat hasil penelitian terhadap amalan yang dilaksanakan di Doha, Qatar.

Sementara itu, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata Islam menegaskan kewajiban menutup aib peribadi seseorang yang tidak boleh diketahui dan diulas oleh pihak lain untuk dimanipulasikan.

“Masyarakat sering membuat penilaian sendiri tentang hubungan rumah tangga orang lain tanpa memahami situasi yang sebenarnya, padahal tiada kepentingan untuk mereka ambil tahu atau memberi komentar,” katanya dalam kenyataan sama.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *