BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengaku tidak bersalah pada Selasa atas 37 pertuduhan yang difailkan oleh pendakwa raya persekutuan berkaitan dakwaan dia menyimpan dokumen sulit kerajaan selepas penggal pentadbirannya berakhir.
Trump membuat pengakuan itu seperti yang dijangka semasa perbicaraannya di mahkamah persekutuan di Miami, Florida, menurut beberapa laporan.
Dia dijadual menyampaikan ucapan umum pada malam Selasa dari kelab golfnya di Bedminster, New Jersey, menurut Agensi Anadolu.
Trump dilihat duduk sambil menyilangkan tangannya sepanjang perbicaraan dan tidak bercakap melainkan berbisik kepada Todd Blanche, seorang peguam yang mewakilinya, menurut akhbar The Washington Post.
Hakim Daerah AS Jonathan Goodman memaklumkan Trump bahawa dia akan mengarahkan bekas presiden agar tidak berinteraksi dengan mana-mana saksi kes atau defendan bersamanya Walt Nauta.
Dalam pada itu, kekecohan tercetus semasa Trump meninggalkan kamar mahkamah, dengan penunjuk perasaan — kedua-duanya penyokong dan penentang — bergegas ke hadapan konvoi bekas presiden itu.
Dia didakwa atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan, kata peguam daerah Manhattan pada petang Selasa, lapor Xinhua.
Trump menjadi bekas presiden pertama AS yang didakwa dengan kesalahan jenayah selepas didakwa di sebuah mahkamah Florida minggu lalu. Dia berdepan pertuduhan di negeri berasingan berkaitan urusan perniagaannya di New York.
Sebanyak 37 pertuduhan dihadapi Trump itu termasuk 31 pertuduhan sengaja menyimpan maklumat pertahanan negara, kebanyakannya berhubung kait dengan dokumen yang dirampas FBI semasa mengeledah kediaman di estet Mar-a-Lago miliknya pada 8 Ogos tahun lalu.
Sejumlah 11 lagi pertuduhan berkaitan dengan dokumen yang diserahkan kepada penyiasat FBI oleh peguam Trump pada Jun.
Sementara itu, Trump mengulangi dakwaan bahawa pertuduhan ke atasnya bermotifkan politik bagi menjejaskan reputasinya.
Leave a Reply