Gelandangan marah tak dipanggil ‘baby’ kena denda RM300

SEORANG gelandangan didenda sebanyak RM300 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini kerana mengamuk di sebuah kedai makan di Subang Jaya, awal bulan lalu.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Asri Abdullah, 50, mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Darlis Nasi Dagang di Putra Heights, Subang Jaya sekitar jam 9 pagi pada 4 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman manakala tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

UtusanTV sebelum ini melaporkan seorang pelanggan mengamuk selepas permintaan untuk memanggil dirinya abang atau ‘baby’ tidak dilayan pekerja sebuah kedai makan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki itu bertindak agresif dengan menjerit, memaki hamun, mengugut serta membuat kacau selepas pelayan di kedai itu tetap memanggilnya dengan gelaran pakcik.

Suspek juga telah membaling bungkusan makanan dan minuman panas ke dalam ruang restoran lalu terkena anak pengadu berusia empat tahun.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *