Wanita hamil 9 bulan, rakan ditahan larikan gelang emas

SEORANG wanita yang sarat hamil sembilan bulan antara dua yang ditahan polis tidak sampai 24 jam selepas melarikan dua utas gelang tangan emas bernilai RM45,000 dari sebuah kedai emas, dekat Arau semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek ditahan berusia 29 tahun dan bekerja sebagai peniaga berasal dari Beseri, Padang Besar.

“Wanita tersebut ditahan bersama rakannya, 36, dari Simpang Empat, Kangar yang bertugas sebagai pembantu kantin bersama barang kemas.

“Polis menerima laporan daripada jurujual di sebuah kedai emas di Arau pada pukul 5.25 petang memaklumkan didatangi seorang perempuan yang ingin membeli barang kemas dan mengambil dua utas gelang tangan emas pada pukul 4.20 petang.

“Wanita tersebut bertindak mengambil dan membelek selama 10 minit sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama rakannya yang menunggu di hadapan kedai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Mohsin berkata, pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis berjaya menemui kesan cap jari suspek di lokasi kejadian dan terus memburu mereka.

Jelasnya, suspek berjaya ditahan di sekitar daerah itu dalam tempoh tidak sampai 24 jam laporan dibuat.

“Polis turut menemukan semula dua utas gelang bernilai RM45,000 berada pada salah seorang suspek dan mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Arau Perlis untuk siasatan lanjut,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula Khamis sehingga 10 Jun bagi membantu siasatan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *