SEORANG lelaki tempatan berusia 56 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Lebuh Chulia, George Town, Pulau Pinang malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.35 malam itu, suspek turut mencederakan anggota polis selain mengeluarkan perkataan kesat terhadap anggota tersebut ketika hendak ditahan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek juga dipercayai menumbuk muka dan kereta milik orang awam.
“Pihak polis yang tiba di tempat kejadian telah menangkap suspek, namun semasa tangkapan dilakukan, suspek mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial video yang berdurasi tujuh saat memaparkan seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk yang bertindak menumbuk muka dan kereta orang awam di kawasan itu.
Menurut Soffian, berlaku pergelutan semasa tangkapan dibuat sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan luka di tangan.
Jelasnya, suspek yang tidak bekerja dan berasal dari George Town itu mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah.
Ujarnya, hasil ujian air kencing suspek juga didapati positif dadah dan dia direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam dari menjalankan kewajipan.
“Pihak polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.
“Kami juga menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan rakaman video berkenaan kejadian tersebut di mana-mana laman media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.
Leave a Reply